SASTERA BUDAYA
TANPA WARNA-WARNI PUN KL TETAP MENAWAN
SETELAH
terlibat dengan dunia korporat, serta komunikasi dan multimedia lebih suku
abad, Azul Adnan beralih menyalurkan pengalaman, dan bakatnya untuk menjadi
jurugambar, dan pengajar.
Menurut anak
kelahiran Kuala Lumpur ini, sebagai jurugambar bebas, dia mengambil gambar
untuk acara korporat, perkahwinan, konsert, industri makanan dan minuman, dan
lain-lain. Tambahnya, dia juga meminati fotografi pelancongan, dan dokumentari.
Setakat ini,
gambar-gambar yang diambil oleh Azul telah terbit dalam majalah Lonely Planet, dan Philippine Airlines, akhbar The
Star, dan New Straits Times,
serta laman sesawang National Geographic,
BBC, dan Levi’s. Selain itu, dia pernah menulis artikel untuk majalah
fotografi dan pelancongan.
Selepas
menyertai enam pameran fotografi secara berkumpulan sejak 2012, Azul yang
belajar bidang fotografi sendiri diberi peluang mengadakan pameran fotografi
perseorangan di ibu kota, iaitu ‘Perbandaran Kuala Lumpur’.
Sebanyak 35 foto
hitam putih hasil bidikan kamera Azul, pada 2017, 2018, dan 2019 dipamerkan
dalam pameran di Ruang Kreatif (MaTiC) dari 24 Mei 2019 lalu sehingga 21 Julai
2019 depan. Dua puluh lapan daripadanya bersaiz 24 inci X 36 inci, sementara
tujuh lagi berukuran 12 inci X 18 inci.
Pameran
berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya
Malaysia;
Balai Seni Negara, MaTiC (Pusat Pelancongan Malaysia), Epson, Festival
Fotografi
Kuala Lumpur, dan Ruang Kreatif Balai Seni Negara.
Foto dalam warna-warni
memang lebih menarik dan disukai ramai. Namun demikian, jelas Azul, dia menghasilkan
foto dalam hitam putih kerana mahu memberi penekanan terhadap garisan dan
bentuk, serta cahaya dan bayang. Katanya lagi, dia mahu mengabadikan intisari keberadaan,
dalam landskap bandar yang dibesarkan. Menyisihkan warna juga, tegasnya, mampu mendalamkan
lagi rasa individualisme, dan kesendirian.
Dalam
sebahagian besar usianya Azul, 55, menghuni Kuala Lumpur (KL). Jadi, dia dapat
menyaksikan pembangunan KL dari kota raya kecil menjadi kota metropolis moden.
Di sepanjang
tempoh tersebut, jumlah penduduk meningkat kepada kira-kira 1.8 juta orang. Pertambahan
itu seiring dengan pembandaran kota raya, sehingga membawa kepada pembinaan
besar-besaran bangunan komersil, dan sistem pengangkutan awam.
Menurut Azul,
dia selalu menyusuri jalan-jalan di KL memerhatikan gelagat orang ramai. Jelasnya
lagi, dia perasan serta dapat mengagak bahawa dalam kesibukan dan kesesakan
kota raya seperti KL, setiap orang akhirnya ada masa bersendirian juga.
Semua orang,
katanya yang juga mengajar fotografi secara sambilan di kolej dan sekolah, ada
kehidupan, agenda dan destinasi sendiri. Pada zahirnya berhubung, tetapi mereka
kelihatan terpisah dalam perasaan, dan fizikal.
Jelas
pensyarah tamu kolej multimedia, The One Academy ini lagi, dia mahu
mengabadikan ‘adegan-adegan’ penghuni KL yang bersendirian berlatarbelakangkan
landskap bandar yang melingkungi kehadiran mereka itu dalam foto hitam putih.
Sama ada disedari atau tidak, ulang-alik dan aktiviti harian mereka dalam
beberapa cara dipengaruhi, atau dicorakkan oleh persekitaran masing-masing.
Hasil
pemerhatiannya, Azul mengakui ruang dan struktur bandar raya KL memang cantik,
dan menggoda. Kawasan-kawasan di sebelah-menyebelah seperti siar kaki, stesen,
atau taman dengan figura tanpa wajah sendirian mencipta visi bentuk, cahaya dan
bayang bergandingan dengan konsep ‘makna’, ‘tujuan’, dan ‘rasa keberadaan’.
Ringkasnya,
Azul mahu mengabadikan penceritaan yang menumpukan kepada, malah persoalan,
perhubungan antara perbandaran KL dengan persekitaran penduduknya.
Antara foto
yang dipamerkan dalam pameran itu termasuklah Y (2017/24 inci X 36 inci), Mahkota
(2017/24 inci X 36 inci), Cahaya Kota
Raya (2017/24 inci X 36 inci), Berhubung
tetapi Terpisah (2018/24 inci X 36 inci), Aku Mahu Bersendirian di Sentul (2018/24 inci X 36 inci), Turun (2018/24 inci X 36 inci), dan Mengikut (2018/24 inci X 36 inci).
Dipamerkan
juga Berlian (2019/12 inci X 18
inci), Puncak (2019/24 inci X 36
inci), Terlepas (2019/24 inci X 36 inci),
Pertumbuhan (2019/24 inci X 36 inci),
Nafas (2019/24 inci X 36 inci), Pagi Ahad (2019/24 inci X 36 inci), Tidak Sedar (2019/24 inci X 36 inci), Kuala (2019/24 inci X 36 inci), dan Satu Langkah Satu Masa (2019/24 inci X
36 inci).
Azul turut diundang
sebagai pembicara dalam Festival Fotografi Kuala Lumpur pada setiap tahun sejak
2009. Selain itu, dia pernah dijemput menjadi ahli panel hakim untuk beberapa
pertandingan fotografi.
Antara
pameran berkumpulan yang pernah disertainya termasuklah ‘Ahli-ahli Sahaja’ di
Balai Seni Lukis Negara pada 2012, Festival Fotografi Kuala Lumpur (2012, 2013,
dan 2017), ‘Fotografi Jalanan’ (MaTiC/2017), ‘Fotografi pada Poskad’
(London/2017), ‘Festival Foto Antarabangsa Jeonju (Korea/2018), dan ‘Mata
Melihat Jalan Besar’ (Wilson, Carolina Utara/2019).
Selain lulus
Sijil Pelajaran Malaysia dari St John Institution, Kuala Lumpur, Azul memiliki A
Level (Kolej Universiti Buckland, England), Sijil City & Guilds dalam
Program Komputer (London), dan Sarjana Muda Sains Sistem Maklumat Pengurusan
(USIUE, England).
No comments: