Pages

Wednesday, 24 July 2019


SASTERA BUDAYA












Wanita Cantik yang Sentiasa Tersenyum


DEMI mendukung dasar kerajaan menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, iaitu menggalakkan hubungan dua hala, serantau dan antarabangsa dalam bidang kerjasama pelancongan, Balai Seni Negara (BSN), Kedutaan Itali di Kuala Lumpur, Kementerian Luar Negara Itali, dan Syarikat Rangkaian Televisyen Awam Itali (RAICOM) menganjurkan pameran pelukis tersohor dunia Leonardo da Vinci, ‘Leonardo Opera Omnia’ di Galeri 3A, BSN dari 15 Julai sehingga 15 Ogos 2019 lalu.
Pameran tersebut merupakan pameran jelajah beberapa buah negara yang diadakan bersempena dengan sambutan kelahiran Leonardo yang ke-500 (beliau dilahirkan pada 1452 di Vinci, Republik Florence [kini Itali], meninggal dunia pada 1519 di Amboise [kini Perancis]). Beliau dikenali sebagai antara pelopor bidang kesenian, arkitek, kejuruteraan, penyelidikan, penciptaan, sains, matematik, muzik, literasi, anatomi, geografi, astronomi, botani, penulisan sejarah, dan kartografi. Leonardo juga berjaya mencipta pelbagai alatan, serta merekodkan hasil kajian, dan ciptaan beliau dalam Codex (teks manuskrip).
‘Leonardo Opera Omnia’ merupakan pameran reproduksi berteknologi tinggi yang mampu menaikkan semula perincian karya-karya 500 tahun Leonardo yang semakin pudar. Para pengunjung boleh merasai pengalaman melihat karya-karya tersebut dengan terperinci yang sukar diperoleh meskipun melihat karya sebenar kerana dikawal ketat, dan terdapat halangan untuk menghayatinya seperti jarak, kotak kaca, serta berada di pelbagai lokasi.
Tujuh belas lukisan salinan karya Leonardo yang mengikut saiz asal dipamerkan. Ia memaparkan kehidupan dan kepintaran luar biasa tokoh seniman agung ini menerusi karya-karyanya, serta menggambarkan perjalanan seni beliau. Dibuat dengan menggunakan kaedah-kaedah digital yang canggih, dan pencahayaan yang dilaraskan dengan begitu bijak hampir-hampir membuatkan penonton seperti berasa berada di hadapan karya-karya aslinya.
Karya asalnya dipamerkan berasingan di muzium sekitar Eropah. Antaranya termasuklah La Gioconda o Mona Lisa, The Last Supper, Madona Benois, Cecilia Gallerani, dan Bacco., lukisan-lukisan salinan ini berjaya menimbulkan pelbagai macam perasaan yang selalunya muncul ketika berdiri di hadapan karya-karya sebenar.
Kedutaan Itali di Malaysia turut membawakan Codex secara khusus, iaitu kajian Leonardo tentang cara penerbangan burung yang tidak terdapat dalam pameran jelajah negara lain.
Loeonardo anak seorang nortari di kota Florence, pada asasnya seniman yang belajar sendiri. Berdasarkan kemampuan hebatnya meneliti alam sekeliling, keingintahuannya yang sentiasa membuak-buak, dan dipupuk serta dipupuk oleh imaginasi yang meluap-luap, kecemerlangan kajian saintifiknya, dan kehandalan daya ciptaan seninya, beliau merupakan tokoh yang mewakili manusia Renaissance, atau zaman Pembaharuan.
Bakat kreatif Leonardo yang pelbagai ragam mengejutkan masyarakat pada zamannya sendiri, dan juga zaman-zaman berikutnya apabila kemasyhuran beliau tersebar luas ke seluruh dunia.
Keseluruhan pengalaman menghayati karya-karya tersebut menyajikan satu perspektif luar biasa untuk memahami pelbagai kepintaran seni, dan kreativiti Leonardo. 
Perasmian pameran ‘Leonardo Opera Omnia’ disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Datuk Mohamaddin Ketapi di BSN pada 23 Julai 2019 yang lalu. Turut hadir ialah Ketua Pengarah BSN, Prof Dato’ Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa; Pengerusi Lembaga Pengarah Pembangunan BSN, Datuk Rashidi Hasbullah; Chargee f’affairs Kedutaan Itali di Kuala Lumpur, Counselor Silvia Marrara, dan Ketua Pengarah Istana Budaya, Dato’ Mohamed Juhari Shaarani.           



No comments:

Post a Comment