SASTERA BUDAYA
PAMERAN ANGKAT GENRE SENI ISLAM
CITI Jeleha
Yousoff merupakan artis kaligrafi Islam yang pertama dari Malaysia yang
mendapat tunjuk ajar, dan ‘ijazah’ (pengiktirafan) daripada ‘Reis ul-Hattatin’,
guru tunggal Khat Uthmaniah - Hassan Celebi di Turki dalam penulisan kaligrafi
gaya Nasakh, dan
Thuluth.
Pameran ‘Oleh
Tangan yang Berkata Citi Yousoff’ di Galeri Potret Balai Seni Negara (BSN)
mulai 20 Ogos lalu sehingga 20 September depan mengangkat genre kesenian Islam
yang mempamerkan 30 karya terbaik hasil gabungan pengalaman, dan penglibatan Citi
Yousoff dalam bidang seni kaligrafi, seni tradisi Islam termasuk seni ukiran
batu, kayu dan seni artis kontemporari.
Kesemuanya ditampilkan
dalam pameran ini menerusi tujuh skrip berlainan, iaitu Jali
Thuluth, Thuluth,
Nasakh, Jali Diwani, Diwani, dan Ijazat. Citi Yousoff merupakan artis yang
memegang kuat prinsip-prinsip khat tradisional yang dipelajari, dan tidak
terkeluar daripada batas asalnya.
Pameran
‘Oleh Tangan yang Berkata Citi Yousoff’ dibahagikan kepada tiga bahagian utama,
iaitu biografi artis sebagai penulis kaligrafi wanita, karya-karya beliau, dan
cara pembelajaran tradisi seni khat Uthmaniah yang masih hidup pada zaman ini
bersama-sama paparan alat, dan bahan yang beliau gunakan untuk menyiapkan
karyanya.
Citi Yousoff
menggunakan pelbagai medium bagi menghasilkan karya seperti kanvas, kayu, dan
batu. Kemahiran beliau bereksperimentasi dengan pelbagai permukaan bahan, serta
teknik penghasilan tulisan kaligrafi merupakan anugerah yang tidak dimiliki
oleh ramai penulis, terutamanya wanita.
Bersempena
dengan pameran ini, sebuah katalog diterbitkan untuk diwariskan kepada generasi
pelapis hari ini, dan masa depan Malaysia.
Pada 10
September 2019 lalu telah diadakan majlis perasmian ‘Pameran Oleh
Tangan yang
Berkata Citi Yousoff’ di BSN. Majlis tersebut disempurnakan oleh Datuk Prof Dr
Azizan Baharuddin (Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia). Selain
Citi Yousoff, turut hadir ialah Zanita Anuar (Kurator Kanan BSN).
Dalam ucapan
perasmiannya, Datuk Prof Dr Azizan berkata, gabungan pengalaman dan penglibatan
Citi Yousoff yang diutilasi dengan kepelbagaian penyampain menjadikan karya
beliau begitu mempesonakan.
Tambah Dr
Azizan, Islam mengajak kita menghargai, dan menikmati keindahan, dan
menerusinya memberi panduan kepada para seniman Malaysia untuk berdaya kreatif,
sejajar dengan prinsip Dasar Kebudayaan Kebangsaan dalam prinsip ketiga, iaitu
‘Islam menjadi unsur yang penting dalam pembentukan kebudayaan kebangsaan’.
Menurut
beliau lagi, para seniman Malaysia turut menjadikan prinsip ini dalam
mengenengahkan konsep karya mereka.
Dr Azizan
berharap para seniman Malaysia akan sentiasa memperjuangkan kesenian Islam yang
menjadi salah satu unsur penting dalam pembentukan identiti negara kita.
Peranan kesenian Islam dalam kita mentauhidkan Allah, tambah beliau, dengan
berlandaskan falsafah seni Islam melalui kebenaran, keindahan dan kebaikan
ialah penting dalam pengkaryaan oleh para seniman.
No comments:
Post a Comment