Pages

Wednesday, 11 September 2019









SASTERA BUDAYA


PATRIOTISME, PERPADUAN DI PADANG BOLA


FILEM bergenre drama/sejarah/sukan ini ditayangkan mulai 12 September 2019 ketika negara masih hangat dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-62, dan Hari Malaysia ke-56. Tambah menarik, persembahannya yang memikat boleh menangkis tanggapan bahawa filem patriotik membosankan.
Oleh kerana perancangan untuk membikinnya dimulakan pada 2011, filem Suatu Ketika tidak mendapat ilham daripada kejayaan Ola Bola (2016) walaupun penggambaran bermula enam tahun kemudian. Tidak patut pula jika mahu membandingkannya dengan filem arahan Chiu Keng Guan itu kerana perbezaan aspek pengarahan, lakon layar, para pelakon, dan bajet penerbitan. Namun demikian, kedua-duanya mengagumkan sebagai filem patriotik, serta dalam aspek sinematografi/visual, unsur dramatik, dan lakonan.
Seperti Ola Bola, Suatu Ketika turut membuktikan filem patriotik tidak semestinya/hanya menampilkan kisah peperangan fizikal pada zaman penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris, dan Jepun. Latar masa filem ini pada 1952 - ketika negara masih bergelar Tanah Melayu, serta di bawah pemerintahan Inggeris (sebelum tahun kemerdekaan yang pertama), dan dalam Darurat (1948-1960), tetapi ia tidak menampilkan peperangan/pertempuran fizikal/ketenteraan, sebaliknya menerusi perlawanan bola sepak.
Saya fikir tayangan Suatu Ketika juga bertepatan dengan keadaan semasa negara yang agak panas oleh api perkauman yang pihak-pihak berkepentingan politik nyalakan.
Diakui sukar memberi kesan positif segera, tetapi sekurang-kurangnya dapat menyuntik kesedaran, dan inpsirasi kepada penonton mengenai kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, dan perlu sentiasa dipupuk/diamalkan. Filem atau karya audio visual sepertinya lebih berkesan, dan itu memang amat diharapkan.
Di samping itu, patriotisme juga (boleh/harus) terbina dengan semangat hormat-menghormati, tolong-menolong, bersatu-padu, dan bergotong-royong. Kesemuanya perlu/wajar berada dalam patriotisme.
Suatu Ketika menampilkan 12 kanak-kanak atau lebih tepatnya, pelajar Sekolah Ujong Pasir, iaitu Syukri (Daniel Akmal Fariz), Atan (Farez Iqmal), Husin (Daniel Syahidan), Dol (Azlan Raihan), Guna (Kuhan Divagaran), Suresh (Dheva Naish), Usop (Armand), Lee Meng (Lim Xuan), Bakri (Putera Syazwan), Tuah (Daniel Iman), Panjang (Ahmas), dan Kudin (Adeq Jiey).
Namun begitu, tumpuan dan konflik/krisis ditumpukan pada Syukri, Husin, Dol, Atan, dan Kudin. Mereka yang menggerak dan menghidupkan cerita. Walaupun tidak berdasarkan sejarah negara, tetapi penulis skrip yang juga pengarahnya, Prakash Murugiah, mengambil/menggabungkan kisah daripada beberapa orang individu.
Masalah kesihatan yang dihadapinya tidak menghalang impian Syukri yang cuba menubuhkan sebuah pasukan bola sepak dengan tukang kebun, Pak Sa’ad (NamRon), dan guru sekolahnya, Cikgu Sulaiman (Pekin Ibrahim). Itu selaras dengan tagline filem ini, ‘Langitkan Impianmu’.
Oleh kerana masalah jantung, Syukri dilarang oleh ayahnya, Selamat (Dintamam) dengan serba-salah bermain bola sepak. Keadaan kesihatan Syukri itu mengingatkan saya kepada pemain kebangsaan dari Perak, Mohd Shahrel Fikri – juga pemain posisi penyerang - yang tidak dapat bermain 90 minit penuh.
Namun demikian, Syukri tiada masalah ketika menjalani latihan, dan beraksi dalam perlawanan demi perlawanan, kecuali semasa perlawanan akhir Piala JG Davidson menentang sekolah Inggeris yang berprestij, dan juga juara bertahan, Sekolah St James. Syukri tidak sedarkan diri selepas dijatuhkan oleh pemain sekolah itu, dan bola sengaja disepak mengenai dada sebelah kirinya.
Walau bagaimanapun, Syukri pulih semula dan dapat membantu sekolahnya menewaskan Sekolah St James 3-2 untuk muncul sebagai sekolah Melayu pertama menjuarai Piala JG Davidson. Bukankah itu patriotisme, dan berkaitan dengan motivasi? Walaupun klise, Syukri mendapat suntikan semangat dalam ‘khayalan’, seperti ketika koma - daripada Pak Sa’ad (yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya) sewaktu pengsan.
Husin dan Dol selalu bergaduh yang berpunca daripada mereka sendiri. Husin yang suka mengusik Dol, ada masalah kewangan keluarga sehingga mahu meninggalkan pasukan bola sepak, dan cepat marah. Dol pula selalu berlagak seperti pengarah fotografi ketika bermain. Namun demikian, dengan campur tangan Cikgu Sulaiman, dan bantuan Dol yang sanggup melupakan sengketa (memberikan wang tabungnya kepada Husin), Husin dan Dol berdamai.
Atan pula cepat marah, dan itu tidak disenangi oleh Pak Sa’ad. Mujurlah Pak Sa’ad yang kelihatan seperti bukan tukang kebun tipikal, tetapi bijaksana (rupa-rupanya dia bekas anggota tentera yang luas pergaulan), memberikan nasihat. Pak Sa’ad meminta Atan pergi ke satu sudut di padang bola sepak, dan menjerit sekuat hati melepaskan kemarahannya. Petua itu diamalkan oleh Atan, termasuk ketika perlawanan akhir yang menarik perhatian penonton, jurulatih serta para pemain Sekolah St James, dan pengulas.
Kudin tempang kaki kirinya. Sudah tentu dia tidak dipilih bermain. Itu menyedihkan hatinya yang juga diberikan kata-kata semangat oleh Pak Sa’ad. Namun demikian, atas semangat perpaduan, Kudin diberikan tugas menyediakan minuman untuk rakan-rakannya yang berjuang di padang. Tidak salah. Pembuat air minuman juga lambang perpaduan, dan kehadirannya melengkapkan pasukan bola sepak Sekolah Ujong Pasir.

No comments:

Post a Comment