SASTERA BUDAYA
PATRIOTISME, PERPADUAN DI PADANG
BOLA
FILEM bergenre drama/sejarah/sukan ini
ditayangkan mulai 12 September 2019 ketika negara masih hangat dengan sambutan
Hari Kemerdekaan ke-62, dan Hari Malaysia ke-56. Tambah menarik, persembahannya
yang memikat boleh menangkis tanggapan bahawa filem patriotik membosankan.
Oleh kerana perancangan
untuk membikinnya dimulakan pada 2011, filem Suatu Ketika tidak mendapat ilham daripada kejayaan Ola Bola (2016) walaupun penggambaran
bermula enam tahun kemudian. Tidak patut pula jika mahu membandingkannya dengan
filem arahan Chiu Keng Guan itu kerana perbezaan aspek pengarahan, lakon layar,
para pelakon, dan bajet penerbitan. Namun demikian, kedua-duanya mengagumkan
sebagai filem patriotik, serta dalam aspek sinematografi/visual, unsur dramatik,
dan lakonan.
Seperti Ola Bola, Suatu Ketika turut membuktikan filem patriotik tidak semestinya/hanya
menampilkan kisah peperangan fizikal pada zaman penjajahan Portugis, Belanda,
Inggeris, dan Jepun. Latar masa filem ini pada 1952 - ketika negara masih
bergelar Tanah Melayu, serta di bawah pemerintahan Inggeris (sebelum tahun
kemerdekaan yang pertama), dan dalam Darurat (1948-1960), tetapi ia tidak
menampilkan peperangan/pertempuran fizikal/ketenteraan, sebaliknya menerusi
perlawanan bola sepak.
Saya fikir tayangan
Suatu Ketika juga bertepatan dengan
keadaan semasa negara yang agak panas oleh api perkauman yang pihak-pihak berkepentingan
politik nyalakan.
Diakui sukar
memberi kesan positif segera, tetapi sekurang-kurangnya dapat menyuntik
kesedaran, dan inpsirasi kepada penonton mengenai kepentingan perpaduan dalam
kalangan masyarakat berbilang kaum, dan perlu sentiasa dipupuk/diamalkan. Filem
atau karya audio visual sepertinya lebih berkesan, dan itu memang amat
diharapkan.
Di samping
itu, patriotisme juga (boleh/harus) terbina dengan semangat hormat-menghormati,
tolong-menolong, bersatu-padu, dan bergotong-royong. Kesemuanya perlu/wajar
berada dalam patriotisme.
Suatu Ketika menampilkan 12 kanak-kanak atau
lebih tepatnya, pelajar Sekolah Ujong Pasir, iaitu Syukri (Daniel Akmal Fariz),
Atan (Farez Iqmal), Husin (Daniel Syahidan), Dol (Azlan Raihan), Guna (Kuhan
Divagaran), Suresh (Dheva Naish), Usop (Armand), Lee Meng (Lim Xuan), Bakri
(Putera Syazwan), Tuah (Daniel Iman), Panjang (Ahmas), dan Kudin (Adeq Jiey).
Namun begitu,
tumpuan dan konflik/krisis ditumpukan pada Syukri, Husin, Dol, Atan, dan Kudin.
Mereka yang menggerak dan menghidupkan cerita. Walaupun tidak berdasarkan
sejarah negara, tetapi penulis skrip yang juga pengarahnya, Prakash Murugiah, mengambil/menggabungkan
kisah daripada beberapa orang individu.
Masalah
kesihatan yang dihadapinya tidak menghalang impian Syukri yang cuba menubuhkan
sebuah pasukan bola sepak dengan tukang kebun, Pak Sa’ad (NamRon), dan guru
sekolahnya, Cikgu Sulaiman (Pekin Ibrahim). Itu selaras dengan tagline filem ini, ‘Langitkan Impianmu’.
Oleh kerana masalah
jantung, Syukri dilarang oleh ayahnya, Selamat (Dintamam) dengan serba-salah bermain
bola sepak. Keadaan kesihatan Syukri itu mengingatkan saya kepada pemain
kebangsaan dari Perak, Mohd Shahrel Fikri – juga pemain posisi penyerang - yang
tidak dapat bermain 90 minit penuh.
Namun
demikian, Syukri tiada masalah ketika menjalani latihan, dan beraksi dalam perlawanan
demi perlawanan, kecuali semasa perlawanan akhir Piala JG Davidson menentang
sekolah Inggeris yang berprestij, dan juga juara bertahan, Sekolah St James.
Syukri tidak sedarkan diri selepas dijatuhkan oleh pemain sekolah itu, dan bola
sengaja disepak mengenai dada sebelah kirinya.
Walau
bagaimanapun, Syukri pulih semula dan dapat membantu sekolahnya menewaskan
Sekolah St James 3-2 untuk muncul sebagai sekolah Melayu pertama menjuarai
Piala JG Davidson. Bukankah itu patriotisme, dan berkaitan dengan motivasi? Walaupun
klise, Syukri mendapat suntikan semangat dalam ‘khayalan’, seperti ketika koma
- daripada Pak Sa’ad (yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya) sewaktu
pengsan.
Husin dan
Dol selalu bergaduh yang berpunca daripada mereka sendiri. Husin yang suka
mengusik Dol, ada masalah kewangan keluarga sehingga mahu meninggalkan pasukan
bola sepak, dan cepat marah. Dol pula selalu berlagak seperti pengarah fotografi
ketika bermain. Namun demikian, dengan campur tangan Cikgu Sulaiman, dan
bantuan Dol yang sanggup melupakan sengketa (memberikan wang tabungnya kepada Husin),
Husin dan Dol berdamai.
Atan pula
cepat marah, dan itu tidak disenangi oleh Pak Sa’ad. Mujurlah Pak Sa’ad yang
kelihatan seperti bukan tukang kebun tipikal, tetapi bijaksana (rupa-rupanya
dia bekas anggota tentera yang luas pergaulan), memberikan nasihat. Pak Sa’ad meminta
Atan pergi ke satu sudut di padang bola sepak, dan menjerit sekuat hati melepaskan
kemarahannya. Petua itu diamalkan oleh Atan, termasuk ketika perlawanan akhir
yang menarik perhatian penonton, jurulatih serta para pemain Sekolah St James,
dan pengulas.
Kudin
tempang kaki kirinya. Sudah tentu dia tidak dipilih bermain. Itu menyedihkan hatinya
yang juga diberikan kata-kata semangat oleh Pak Sa’ad. Namun demikian, atas
semangat perpaduan, Kudin diberikan tugas menyediakan minuman untuk rakan-rakannya
yang berjuang di padang. Tidak salah. Pembuat air minuman juga lambang
perpaduan, dan kehadirannya melengkapkan pasukan bola sepak Sekolah Ujong
Pasir.
No comments: