SASTERA BUDAYA
BUSUK DAHULU SEBELUM WANGI
JIKA mampu mencetuskan pelbagai
persoalan di minda penonton dalam 10 minit awal durasinya, sesebuah filem itu
dianggap baik, dan menarik.
Mengapa/bagaimana
Khuzairi (Sharnaaz Ahmad) boleh berubah dari lemah-lembut bersopan/berhemah
kepada ganas, dan kejam sehingga membunuh Bella (Nabila Huda), dan Azlan
(Syazwan Zulkifli), teman lelaki Bella, malah isterinya sendiri, Nor (Erra Fazira)!
Ini persoalan yang paling besar dalam filem Wangi
yang telah memulakan tayangannya di seluruh negara pada 5 September 2019.
Bella ialah
adik angkat Nor. Penonton dapat melihat Khuzairi begitu berhemah dalam
pergaulan/kehidupan
harian dengan keluarganya dari awal durasi lagi. Tidak berlebih-lebihan jika
dikatakan ucapan salam olehnya ‘paling lembut dalam dunia’.
Kita
tertakluk pada hukum sebab dan akibat bagi setiap perkara (kecuali kalau
kehendak Allah SWT). Mustahil Khuzairi menjadi ganas tanpa sebab kukuh. Tiada
tanda/punca perlakuan Khuzairi itu yang boleh/dapat meyakinkan penonton Wangi. Malang sekali kalau persoalan
tersebut menjadi sandaran Mohd Latiff Zami untuk filem arahannya yang keenam
ini ‘pecah panggung.
Namun
demikian, Latiff tidak bersalah jika Wangi
gagal di pawagam. Barangkali ia tidak patut dibangkitkan kerana itu seolah-olah
menunjukkan kebodohan sendiri sebagai
penonton. Walau
bagaimanapun, ia menjejaskan Wangi.
Oleh sebab ada
kesempatan, ditanyakan juga kepada mereka yang berkenaan. Memang bukan salah
pembikinnya, tetapi angkara Lembaga Penapis Filem (LPF).
Sharnaaz
mengatakan Khuzairi berubah mendadak kerana dia takut/tidak sanggup kehilangan
semua kekayaan yang dimiliki jika Nor mengetahui skandalnya dengan Bella. Namun
demikian, jawapan itu tidak mantap.
Penjelasan
Latiff bahawa adegan Khuzairi memukul ayahnya ketika kanak-kanak pada
penghujung durasi yang telah dipotong oleh LPF yang menjawab segala persoalan.
LPF memberi
alasan bahawa adegan keganasan oleh kanak-kanak tidak wajar dipaparkan. Ia tetap
dengan keputusan meskipun Latiff telah memberi penjelasan.
Malanglah
pihak berwajib kurang arif dengan soal tersebut, sedangkan adegan itu membuka
kunci kekeliruan. Sementelah pula adegan Khuzairi ketika kanak-kanak itu ada hubungan
dengan pertanyaan mengapa judul filem ini Wangi.
Penonton yang tahap tafsirannya rendah tidak akan tahu mengapa. Demikian juga
dengan pengkritik mentah. Sebaliknya, penonton dan pengkritik yang
berinterpretasi tahap tinggi boleh faham sendiri.
Walau
bagaimanapun, peluang bertanya elok dimanfaatkan. Wangi sebenarnya merupakan siratan bagi keinginan pembikin untuk
disampaikan kepada penonton/pengkritik.
Khiri (Nik
Muhammad Adam Mikael) anak istimewa berusia tujuh tahun, skandal
Khuzairi-Bella, dan keganasan Khuzairi ialah keburukan yang keterbalikannya
diingini oleh semua orang, dan diistilahkan sebagai ‘wangi’ yang bererti
kebaikan/keindahan.
Dalam hal
ini, saya teringat pada kata-kata pelakon veteran Dato’ Baharuddin Haji Omar,
iaitu jika kita mahu mencari yang baik, paparkan dahulu keburukan (dalam filem
dan drama televisyen/radio). Ia merupakan penyampaian mesej secara tersirat,
dan falsafah tinggi.
Memang kita/penonton
tidak dapat lari daripada logik dalam kehidupan, dan logik dalam cerita filem. Walaupun
aneh dan sukar diterima akal, misteri kehilangan Bella terjawab apabila roh
Bella sendiri memberitahu (memanggil-manggil nama Nor) Nor jasadnya diletakkan
di belakang sebuah lukisan pada dinding oleh Khuzairi. Jika mengikut logik dalam
dan luar filem, bau mayat Bella dapat dihidu oleh Nor (malah siapa sahaja,
lebih-lebih lagi bau mayat memang paling busuk), apatah lagi dia menjenguk ke dalam
lubang di belakang lukisan itu. Namun demikian, reaksi Nor biasa sahaja.
Penonton
juga dapat melihat kepura-puraan Khuzairi, dan Bella. Sebagaimana yang Azlan nyatakan
sambil marah-marah kepada Khuzairi sebelum dia dibunuh oleh lelaki itu, skandal
Khuzairi-Bella bermula selepas hari pengebumian ibu Bella (Ruminah Sidek).
Khuzairi dan Bella ‘berlakon’ di hadapan Nor, ibu Nor (Mak Wan), dan Khiri.
Besar dosa mereka – berzina dan berpura-pura.
Hukum karma dikatakan
tiada dalam Islam, tetapi pembalasan terhadap Khuzairi tetap dipaparkan. Dalam
adegan semasa kredit (satu pembaharuan kerana biasanya adegan selepas kredit?),
Khuzairi dibunuh oleh Mia (Mia Nasir), isteri baharunya. Tubuhnya pula dibalut
dengan plastik seperti yang pernah dilakukan olehnya terhadap Azlan, dan Nor.
Kalau
pembikin ingin menjawab persoalan identiti Khuzairi dalam filem, saya fikir lebih
baik diterbitkan prekuel Wangi, bukan
sekuel kerana Khuzairi sudah mati.
No comments: