EJEN ALI DARI TV KE PAWAGAM
PADA 23 Oktober 2019 lalu, Primeworks Studio dan Wau
Animation mengumumkan tayangan serentak Ejen
Ali the Movie di pawagam seluruh Malaysia, Singapura, dan Brunei Darussalam
mulai 28 November 2019.
Ejen Ali the Movie merupakan
filem pertama yang diangkat dari siri animasi popular televisyen ‘Ejen Ali’
yang telah bersiaran selama dua musim. Ia ke layar lebar atas sambutan hebat
penonton.
Ejen Ali kini menjadi antara jenama animasi popular Asia
yang telah berjaya meraih lebih dua juta penonton di TV3, serta mempunyai lebih
1.4 juta pengikut di laman rasmi YouTube.
Sejak tayangan pertama siri ‘Ejen Ali’ di Malaysia pada
2016, karya animasi ini telah menarik minat stesen media antarabangsa, dan
berjaya menembusi siaran di lebih 50 negara, termasuk di rangkaian Disney Asia,
Nickelodeon India, MNCTV Indonesia, dan AlMajeed TV di serantau Timur Tengah,
dan Afrika Utara.
Ejen Ali the Movie mengisahkan
Ali (suara Ida Rahayu Yusoff), 12, yang telah direkrut menjadi perisik bagi
sebuah agensi perisikan, dikenali sebagai Agensi Taktikal Maju Mata (Mata Advance Tactical Agency - MATA)
yang berperanan melindungi kota futuristik Cyberaya daripada ancaman luar.
Konflik mula timbul apabila Ali mendapat tahu dia bukan ejen
tunggal yang boleh mengawal gajet istimewa, Sistem Perisikan Retina Tanpa Had (Infinity Retinal Intelligence System -
IRIS). Gajet tersebut telah diubah suai menjadi IRIS Neo, gajet yang boleh
dikawal, serta digunakan oleh ejen-ejen lain. Inovasi baharu ini dipertikai
oleh Ali apabila dia berasa terpinggir, dan kedudukannya sebagai ejen istimewa
MATA tergugat.
Pada saat itu, Ali didatangi individu misteri yang
mendakwa mengetahui akan kisah silamnya. Bermulalah pengembaraan baharu Ejen
Ali demi membongkar kebenaran walaupun kesetiaannya terhadap MATA bakal teruji.
Dalam sidang media majlis pengumuman tersebut di sebuah
pawagam kompleks beli-belah di Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Izham Omar (Ketua
Pegawai Eksekutif Primeworks Studios) memberitahu bahawa 2019 ialah tahun di
mana animasi tempatan mendominasi carta industri perfileman negara.
Datuk Ahmad Izham mengucapkan kepada Wau Animation atas
karya hebat, dan sumbangan mereka yang sekali gus berjaya membawa industri
perfileman Malaysia ke peringkat lebih tinggi. Pihak beliau juga mengharapkan
peminat dan pencinta filem akan ke pawagam untuk menyokong Ejen Ali the Movie yang bakal menjengah pawagam pada musim cuti
sekolah akan datang.
Tambah Izham, Primeworks Studios yakin filem tersebut
bakal diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat hasil impak, dan populariti
animasi berkenaan. Primesworks Studios mensasarkan kutipan RM20 juta untuk
filem animasi terbaharu terbitan mereka ini.
Ejen Ali the Movie merupakan
kesinambungan musim kedua siri ‘Ejen Ali’ dan filem pertama yang diterbitkan
oleh WAU Animation, arahan Usamah Zaid Yasin.
Watak Ejen Ali dan kucingnya yang luar biasa, Comot
menggunakan suara Ida Rahayu Yusoff. Ejen Alicia pula Noorhayati Maslini Omar.
Watak-watak lain ialah Ejen Bakar (Shafiq Isa), General Rama dan Viktor (Azman
Zulkiply), Ejen Fit (Megat Zarin), Ejen Bobby (Ahmad Sufian), Dr Ghazali (Haziq
Khushairi), Dato’ Othman (Abu Shafian Abg Hamid), Niki (Nabilah Rais), Surya
(Amir Mustaqim), dan Vikram (Azuan Wanji).
Usamah Zaid (Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation) yang
turut hadir amat menghargai sokongan padu daripada peminat ‘Ejen Ali’ yang
sentiasa memberi semangat, dan mendorong pihaknya terus mencapai penanda aras
yang tinggi bagi filem pertama ini.
Tambah Zaid yang turut menulis lakon layar, Wau Animation
juga berharap agar segala usaha serta keringat yang dicurahkan dalam
penghasilan Ejen Ali the Movie dapat
menjangkaui harapan peminat tegar animasi ‘Ejen Ali’.
Selain pengumuman kolaborasi Ejen Ali the Movie, majlis tersebut turut memperkenal lagu runut
bunyi (OST) filem berkenaan, pratonton eksklusif Ejen Ali the Movie, serta pengenalan dan sesi temu bual
bersama-sama Wau Animation, Primeworks Studios, dan pelakon suara Ejen Ali the Movie.
Penyanyi/komposer Altimet dan Malik Abdullah hadir,
bersama-sama Ida Rahayu, Noorhayati, Shafiq, dan Nabilah menjawab beberapa
soalan daripada pengacara majlis.
Single pertama
OST bagi Ejen Ali the Movie, ‘Bukalah Matamu’, nyanyian Aisyah Aziz
bersama-sama penyanyi rap muda, Bunga telah dilancarkan pada 20 September 2019
lalu telah mendapat tempat di semua platform siaran digital tempatan. Lirik
video yang dihasilkan dan dimuat naik di YouTube
turut mendapat sambutan hangat, dan berjaya mencecah 700,000 tontonan.
Lagu tema kedua, ‘Kita Jaga Kita’ nyanyian Altimet
bergandingan dengan Cuurley dan Malik Abdullah pula dilancarkan di semua
platform digital mulai 25 Oktober 2019, diikuti lirik video yang dipertonton di
saluran YouTube Ejen Ali pada jam 12
tengah hari. Selain menyanyi, Altimet turut meminjamkan suaranya untuk watak
Andik.
Skor muzik untuk filem ini mendapat sentuhan hebat Azri
Yunus dan Hakim Kamal, dua individu yang terawal menjadi tulang belakang
pembikinan siri animasi ‘Ejen Ali’.
No comments:
Post a Comment