Pages

Saturday, 30 November 2019









SASTERA BUDAYA

Perpaduan Membina Patriotisme


Tayangan filem bergenre drama/sejarah/sukan di seluruh negara mulai 12 September 2019 lalu ini sangat bersesuaian dengan sambutan ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-62, dan Hari Malaysia ke-56. Tambah menarik, persembahannya yang memikat boleh menangkis tanggapan bahawa filem patriotik membosankan.
Oleh sebab perancangan untuk membikinnya dimulakan pada tahun 2011, filem Suatu Ketika ini tidak diinspirasikan daripada kejayaan Ola Bola (2016) walaupun penggambaran bermula enam tahun kemudian. Tidak wajar pun membandingkannya dengan filem arahan Chiu Keng Guan itu kerana pengarahan, lakon layar, para pelakon, dan bajet penerbitan berbeza. Namun begitu, kedua-duanya mengagumkan sebagai filem patriotik, serta dalam aspek sinematografi/visual, unsur dramatik, dan lakonan.
Suatu Ketika, sebagaimana Ola Bola, juga membuktikan filem patriotik tidak semestinya/hanya menampilkan kisah peperangan fizikal pada zaman penjajahan Portugis, Belanda, Inggeris, dan Jepun. Latar masa filem ini pada tahun 1952, iaitu ketika negara masih bergelar Tanah Melayu, serta di bawah pemerintahan Inggeris (sebelum tahun kemerdekaan yang pertama), dan dalam Darurat (1948-1960), tetapi ia tidak menampilkan peperangan/pertempuran fizikal/ketenteraan, sebaliknya menerusi perlawanan bola sepak.
Tayangan Suatu Ketika juga bertepatan dengan keadaan semasa negara yang agak panas oleh api perkauman yang pihak-pihak berkepentingan politik nyalakan.
Memang mustahil memberi kesan positif segera, tetapi setidak-tidaknya dapat menyuntik kesedaran, dan inpsirasi kepada penonton akan kepentingan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, dan perlu sentiasa dipupuk/diamalkan.
Filem atau karya audio visual seumpama dengannya lebih membekas, dan itu memang amat diharapkan.
Patriotisme juga (boleh/harus) terbina dengan semangat hormat-menghormati, tolong-menolong, bersatu-padu, dan bergotong-royong. Semua ‘saling’ itu perlu/wajar berada dalam patriotisme.
Suatu Ketika menampilkan 12 orang kanak-kanak atau lebih tepatnya, pelajar Sekolah Ujong Pasir, iaitu Syukri (Daniel Akmal Fariz), Atan (Farez Iqmal), Husin (Daniel Syahidan), Dol (Azlan Raihan), Guna (Kuhan Divagaran), Suresh (Dheva Naish), Usop (Armand), Lee Meng (Lim Xuan), Bakri (Putera Syazwan), Tuah (Daniel Iman), Panjang (Ahmas), dan Kudin (Adeq Jiey).
Walau bagaimanapun, tumpuan dan konflik/krisis ditumpukan pada Syukri, Husin, Dol, Atan, dan Kudin. Mereka yang menggerak dan menghidupkan cerita. Tidak berdasarkan sejarah negara, tetapi penulis skrip yang juga pengarahnya, Prakash Murugiah, mengambil/menggabungkan kisah daripada beberapa orang individu.
Masalah kesihatan yang dihadapinya tidak menghalang impian Syukri yang cuba menubuhkan sebuah pasukan bola sepak dengan tukang kebun, Pak Sa’ad (NamRon), dan guru sekolahnya, Cikgu Sulaiman (Pekin Ibrahim). Itu selaras dengan tagline filem ini, ‘Langitkan Impianmu’.
Lantaran masalah jantung, Syukri dilarang (dengan serba-salah) oleh ayahnya, Selamat (Dintamam) bermain bola sepak. Keadaan kesihatan Syukri itu mengingatkan saya kepada pemain kebangsaan dari Perak, Mohd. Shahrel Fikri – juga pemain posisi penyerang - yang tidak dapat bermain 90 minit penuh.
Namun demikian, Syukri tiada masalah ketika menjalani latihan, dan beraksi dalam perlawanan demi perlawanan, kecuali semasa perlawanan akhir Piala J. G. Davidson menentang sekolah Inggeris yang berprestij, dan juga juara bertahan, Sekolah St. James. Syukri tidak sedarkan diri selepas dijatuhkan oleh pemain sekolah itu, dan bola sengaja disepak mengenai dada sebelah kirinya. Walau bagaimanapun, Syukri kembali pulih dan dapat membantu sekolahnya menewaskan Sekolah St. James untuk muncul sebagai sekolah Melayu pertama menjuarai Piala J. G. Davidson. Tidakkah itu patriotisme dan berkaitan dengan motivasi? Meskipun klise, Syukri mendapat suntikan semangat dalam ‘khayalan’, seperti ketika koma - daripada Pak Sa’ad (yang telah meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya) ketika pengsan.
Husin dan Dol kerap bertelagah yang berpunca daripada kedua-duanya sendiri. Husin yang asyik mengusik Dol, ada masalah kewangan keluarga sehingga mahu meninggalkan pasukan bola sepak, dan cepat marah. Dol pula asyik dengan minat fotografi ketika bermain. Pun begitu, hasil campur tangan Cikgu Sulaiman, dan bantuan Dol yang sanggup melupakan sengketa (memberikan wang tabungnya kepada Husin), Husin dan Dol berdamai.
Atan pula cepat marah, dan itu tidak disenangi oleh Pak Sa’ad. Mujurlah Pak Sa’ad yang kelihatan seperti bukan tukang kebun tipikal, tetapi bijaksana (rupa-rupanya dia bekas anggota tentera yang luas pergaulan), memberikan nasihat. Pak Sa’ad meminta Atan pergi ke satu sudut di padang bola sepak, dan menjerit sekuat hati melepaskan kemarahannya. Petua itu diamalkan oleh Atan, termasuk ketika perlawanan akhir yang menarik perhatian penonton, jurulatih serta para pemain Sekolah St. James, dan pengulas.
Kudin tempang kaki kirinya. Sudah tentu dia tidak dipilih bermain. Itu menyedihkan hatinya yang juga diberikan kata-kata semangat oleh Pak Sa’ad. Namun demikian, atas semangat perpaduan, Kudin diberikan tugas menyediakan minuman untuk rakan-rakannya yang berjuang di padang. Apa salahnya? Pembuat air juga lambang perpaduan, dan kehadirannya turut melengkapkan pasukan bola sepak Sekolah Ujong Pasir.


No comments:

Post a Comment