Pages

Monday, 23 December 2019













SASTERA BUDAYA


LIMA JAM BURU PEMBUNUH POLIS


DALAM kisah benar (diadaptasi/didasarkan) atau rekaan, rasuah atau tumbuk rusuk tetap merupakan antara musuh utama kehidupan. Ada juga yang menganggapnya sebagai ibu segala jenayah.
Kewujudannya memang menghancurkan, tidak kira dalam sektor mana pun, apatah lagi pihak yang berkait rapat dengan/pelaksana undang-undang negara, serta keselamatan awam, iaitu kepolisan, dan kehakiman. Kedua-duanya terkenal, dan menjadi sandaran masyarakat.
Namun begitu, amat malang apabila kedua-duanya yang dipertanggungjawab/diharapkan membasmi jenayah, sebaliknya terbabit/melakukan atau turut menjadi antara pemain jenayah.
Filem 21 Bridges (barangkali sesuai judulnya 5 Hours) diadaptasi daripada kisah/peristiwa sebenar. Kalau kisah/kejadian rekaan pun, kerosakan yang disebabkan oleh rasuah tetap besar.
Lapan orang anggota polis terkorban ketika bertugas kerana jenayah rasuah, bukan perkara kecil walaupun diakui oleh ketua mereka, tidak semua si mati terlibat.
Terbabit atau tidak, kesemua yang datang ke tempat kejadian mati. Mereka terbunuh dalam operasi yang kononnya untuk membasmi jenayah.
Kapten Matt McKenna (JK Simmons) dari Jabatan Polis New York (NYPD) memberitahu sedemikian kepada Andre Davis (Chadwick Boseman) dalam ‘usaha membela diri’ ketika didakwa oleh detektif itu di rumahnya sendiri.
Jelas sekali empat daripada lapan anggota polis yang datang ke kedai wain itu memang korup. Davis (hasil siasatannya) memberitahu McKenna bahawa anggota-anggota bawahannya itu datang ke kedai tersebut mengambil kokain yang disembunyikan di situ untuk diedarkan secara rahsia ketika bertugas dengan kereta peronda. McKenna mengakuinya dan memuji kepintaran Davis, tetapi Davis tidak ‘makan pujian’.
Alangkah kejinya kerana - biarpun seperti kata McKenna kepada Davis itu terpaksa dilakukan atas desakan hidup, dan masalah penyalahgunaan dadah/rasuah tidak akan selesai, seolah-olah mewajarkan jenayahnya itu - anggota polis yang ‘bersih’ turut terkorban.
Selama ini ‘operasi’ haram McKenna berjalan lancar. Walau bagaimanapun, lantaran desakan hidup juga, penjenayah kecil-kecilan, Michael Trujilo (Stephan James), dan Ray Jackson (Taylor Kitsch) terpaksa mengedar dadah. Mereka merompaknya dari kedai wain itu yang pemiliknya orang McKenna.
‘Operasi’ McKenna malam itu musnah akibat Trujilo dan Jackson yang sedang merompak, menembak mati empat orang anggota polis korup tersebut. Trujilo dan Jackson tidak menyangka kokain itu berjumlah 300 kilogram, sedangkan mereka diarahkan mengambil 30 kilogram sahaja. Jadi, mereka bingung dan sukar segera beredar. Namun begitu, alang-alang sudah di depan mata, dan mahukan habuan lebih, mereka mengambil 50 kilogram.
Jackson yang menembak mati anggota-anggota polis tersebut, dimarahi Trujilo kerana itu akan menyusahkan mereka. Menyedari diburu polis, keduanya memaksa pembantu mereka, Bush (Louis Cancelmi) memujuk ‘bos’ memberi habuan lebih besar untuk menukar identiti agar terlepas. Mereka diberikan $1 juta. Pakar pemalsu, Adi (Alexander Siddig) menukar identiti Trujilo dan Jackson, dan menyuruh mereka ke Miami esoknya.
Menariknya, siapa dalang rompakan kokain dan tembelang anggota-anggota polis itu tidak diketahui/disangka oleh penonton kerana lakonan, dan plot yang kemas.
Walau bagaimanapun, kematian lapan anggota polis itu setidak-tidaknya membuka kertas siasatan, dan dapat menghapuskan sebahagian virus perosak masyarakat. Jika tidak dapat semua, sebahagian kecil pun memadai, dan diadaptasikan ke filem untuk tontonan masyarakat (biarpun klise) agar ia terus (sejak dahulu lagi) memberitahu buruknya rasuah, dan penyalahgunaan dadah.
Mujurlah masih ada anggota polis yang baik/budiman seperti Davis, yang tidak menyangka rakan setugasnya, Frankie Burns (Sienna Miller) juga korup – walaupun dari jabatan narkotik.
Ketika berpeluang memberkas Trujilo, Burns ‘mengacau’ Davis. Trujilo dapat bolos, dan bersembunyi di bilik hotel, serta membuka kandungan pemacu pena pemberian Adi, dan mendapati McKenna serta beberapa anggota NYPD terlibat dalam kes tersebut.
Selepas mengubah wajahnya, Trujilo lari membawa wangnya. Davis mengejar hingga ke kereta api bawah tanah, dan memaksanya menyerah diri. Walau bagaimanapun, Trujilo tiba-tiba ditembak oleh Burns yang juga berada di dalam kereta api itu.
Davis kecewa dan berang kerana Trujilo bersedia menyerah diri. Dia menjerkah Burns kerana menembak Trujilo (yang menyerahkan pemacu pena dengan kata laluan Coolhands kepadanya sebelum mati). Burns mendakwa dia menyangka Trujilo masih mengancam Davis.
Sewaktu sibuk menerima ucapan tahniah daripada rakan polis, Davis yang sangsi, membuat helah meminjam telefon bimbit Burns. Bocorlah rahsia Burns telah menghubungi Leftenan Kelly (Darren Lipari) sebelum apartmen Adi diserbu. Rupa-rupanya Burns membunuh Trujilo agar rahsia polis korup tidak terbongkar. Dia dan Kelly sebenarnya bersekongkol dengan McKenna.
Burns yang tiba ke rumah McKenna (setelah diminta oleh kapten itu) mengacukan pistol kepada Davis. Ketika itu, McKenna yang enggan menyerah diri, Kelly, serta Butchoo (Obi Abili), dan Dugan (Andy Truschinski), dua ejen FBI yang juga konco McKenna telah mati ditembak oleh Davis. Davis meminta Burns menyerah diri sambil memberitahu belangnya telah terdedah, dan tidak mahu anak ibu tunggal itu hidup tanpa ibu kerana dihukum penjara seumur hidup akibat membunuhnya.
Pada awal siasatan, Davis dan Burns dapat mengesan Tujilo dan Jackson. Akan tetapi, Bush ditembak mati oleh Butchco, dan Dugan yang memang mahu mengambil alih kes itu terlebih dahulu.
Apabila terlihat Butchco berbuat sesuatu pada mayat Bush, Davis bertambah hairan kerana pasukan polis diketuai Kelly dapat mengesan apartmen Adi dengan cepat.
Adi kemudian mati ditembak oleh polis, tetapi sempat memberi dua pemacu pena dengan kata laluan kepada Trujilo sebelum dia dan Jackson melarikan diri.
Kita memang mengharapkan kewujudan anggota polis seperti Davis dan mendiang ayahnya yang bukan sahaja ‘bersih’ serta patriotik sejati, tetapi pintar, cekap, dan peka dalam dunia sebenar – bukan seperti McKenna yang durjana meskipun bendera Amerika Syarikat berkibar di depan rumahnya - kerana itu tidak semustahil mengharapkan adiwira.
Ketika remaja, Davis (lakonan Christian Isalah) menghadiri upacara pengebumian ayahnya yang terkorban sewaktu bertugas. Beberapa tahun kemudian, dia menjadi ‘penegak undang-undang’ yang disegani di NYPD.
Ketika masih berduka atas kematian ayahnya, Davis ditugaskan menyiasat kes kokain itu oleh Timbalan Ketua Spencer (Keith David). Davis mendapat semangat sambil menjaga ibunya, Vonetta Davis (Adriane Lenox semasa tua/Sarah Ellen Stephens semasa muda), dengan prinsip ‘merenung syaitan tepat pada matanya’ ketika menghadapi penjenayah.
Davis menutup 21 buah jambatan di Manhattan dalam usahanya memberkas Trujilo dan Jackson biarpun tanpa kelulusan timbalan Datuk Bandar (Morocco Omari), McKenna, serta Butchco, dan Dugan. Dia dan Burns, serta polis hanya ada masa lima jam sahaja untuk menyelesaikan tugas. Sebab itulah saya lebih suka judul 5 Hours kerana kesemua jambatan yang ditutup tidak turut menjadi watak filem ini.
Davis dan Burns berjaya menangkap Michael dan Ray. Selepas tanpa sengaja membunuh seorang awam, Ray parah ditembak oleh Davis. Michael kemudian mengancam Burns dengan pistol, dan memberitahu Davis mengenai pemacu, sebelum melarikan diri.
Sama ada dalam dunia sebenar bertentangan dengan polis jahat/durjana dalam satu jabatan sudah kerap dipaparkan dalam filem aksi lasak. Mungkin kerana itu sambutan terhadapnya agak dingin meskipun Boseman ialah pemegang watak Black Panther, filem adiwira berjudul serupa yang diminati ramai.

No comments:

Post a Comment