SASTERA BUDAYA
HIDUP SEMULA DISAMBAR
PETIR
FILEM
cereka mengenai adiwira bukan perkara baharu. Hollywood sudah lama menghasilkannya. Antara adiwira yang terkenal
ialah Batman, Superman, Hulk, dan Spider-Man. Kemudian Captain America, Iron
Man, Thor, Ant-Man, Black Panther, Black Widow, Wonder Woman, dan Aquaman
semakin diminati.
Produksi filem negara lain termasuk Bollywood (India) turut menghasilkan
filem
adiwira, tetapi tidak mendunia, tidak terlalu
diperhati/dihiraukan, dan tidak berpengaruh
sebagaimana filem adiwira dari Hollywood.
Industri perfileman Malaysia pernah menghasilkan Cicak-Man (2006), Cicak-Man 2:
Planet Hitam
(2008), Cicak-Man 3 (2015), dan Badang (2018). Walau bagaimanapun, filem
francais Cicak-Man sudah semakin senyap,
dan hampir dilupakan. Badang pula ‘malang’.
Dalam setahun dua kebelakangan ini tiada kedengaran
lagi ura-ura penghasilan filem adiwira Melayu tempatan. Barangkali banyak
masalah selain kewangan yang mengekang penerusannya.
Badang memang antara cerita rakyat Malaysia yang
terkenal. Cathay-Keris Film Productions di Singapura pernah menerbitkan filem Badang, lakonan Wahid Satay dan
Roseyatimah pada 1962. Badang 2018 lakonan
Dato’ Aliff Shukri dan Fasha Sandha mengecewakan ramai.
Francais Cicak-Man
pula rekaan/terbitan Kru Studios dengan kerjasama Grand Brilliance (hanya Cicak-Man dan Cicak-Man 2: Planet Hitam sahaja meraih keuntungan walaupun semakin
merosot – masing-masing meraih RM6.7 juta dan RM2.85 juta). Cicakman 3 rugi.
Diam-diam, industri perfileman Indonesia muncul
dengan filem adiwiranya, Gundala yang
mendapat pujian untuk pelakon utama, pengarahan, rekaan kostum, kesan visual dan
keasliannya semasa ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto (TIFF) pada
11 September 2019.
Seni kostum Gundala
hasil kerjasama dengan pereka kostum dari Amerika Syarikat, Quantum Creations
FX yang telah menghasilkan kostum bagi filem-filem terkenal seperti Dare Devil, Supergirl, The Hunger Games,
Star Trek, dan Iron Man.
Kesan visualnya pula dihasilkan oleh Abby Eldipie
bersama-sama Anibrain VFX, India yang terlibat dalam pembikinan filem Doctor Strange, Guardians of Galaxy Vol 2, francais Fantastic Beast, dan banyak lagi. Tidak hairanlah dalam Festival
Filem Indonesia 2019, Gundala
memenangi kategori Penata Efek Visual Terbaik. Kategori lain yang turut
dimenanginya ialah Pengarah Sinematografi Terbaik (Ical Tanjung), dan Penata
Suara Terbaik (Khikmawan Santosa, M. Ikhsan & Anhar Moha).
Gundala yang
berdurasi 123 minit ini menjalani penggambaran pada September dan Oktober 2018.
Tayangan perdana di Indonesia diadakan pada 28 Ogos 2019, diikuti tayangan umum
mulai esoknya. Daripada bajet Rp30 bilion/$2.11 juta, ia memperoleh Rp67.67 bilion/$4.78
juta). Di Malaysia, Gundala mula
ditayangkan pada 26 Disember 2019.
Diedarkan oleh Legacy Pictures, ia merupakan
terbitan bersama Screenplay Films dan BumiLangit Studios, dan sajian pertama
dalam Sejagat Sinematik BumiLangit (BCU). Berita rasmi pertama mengenai Gundala diumumkan pada 4 April 2018 di akaun
media sosial syarikat penerbitan, dan pengarahnya.
Sidang media di Indonesia Comic Con pada 28 Oktober
2018 diadakan untuk memperkenal para pelakon utama, dan video pertama Gundala.
Apabila ditanya mengapa Indonesia mula membikin
filem adiwira, pengarahnya yang terkenal dengan Janji Joni, Pengabdi Setan,
Ratu Ilmu Hitam, dan Perempuan Tanah Jahanam, menjelaskan mereka
mahu mengangkat komik-komik asli klasik yang berlatarbelakangkan sejarah dan
budaya tempatan.
Saya fikir Gundala
memulakan cita-cita besar perfileman Indonesia, khususnya Joko Anwar sebagai
pengarah menampilkan francais filem adiwira versi negara mereka menjelang
tahun-tahun mendatang. Cita-cita mengangkat komik-komik asli klasik dengan
watak-watak, tempat dan kejadian yang berlandaskan budaya tempatan memang amat
menarik yang saya fikir ia juga usaha/langkah mengikis fenomena/dominasi filem-filem
francais Hollywood oleh Marvel, dan
DC Comics.
Gundala merupakan
adaptasi daripada watak komik pertama di Indonesia berjudul serupa, karya Harya
‘Hasmi’ Suraminata yang diterbitkan oleh Jagat Sinema pada 1969. Komik tersebut
mendapat sambutan hangat para pencinta komik di Indonesia, dan telah diterbitkan
sebanyak 23 edisi hingga tahun terakhirnya pada 1982.
Oleh sebab muncul baru-baru ini, sukar menafikan ia
turut dipengaruhi filem adiwira Hollywood.
Justeru, di mana keasliannya seperti yang dikatakan oleh pengkritik semasa
TIFF?
Sekali fikir dan secara visual, keaslian Gundala boleh dipertikai kerana nampak
ia mengikut formula filem adiwira Hollywood,
apatah lagi akan ada BCU juga yang menampilkan sekuel bagi setiap adiwira, dan
gabungan mereka menentang antagonis demi antagonis.
Kegawatan dan kesempitan hidup rakyat, serta segala
kebimbangan mereka dalam Gundala
memang gejala/krisis biasa (klise juga) dalam mana-mana filem adiwira Hollywood.
Masih ada individu berpengaruh/berkuasa yang
menentang kuasa jahat dan bekerjasama dengan adiwira – dalam filem ini, Ridwan
Bahri (Lukman Sardi), segera mengingatkan kita kepada Pesuruhjaya Gordon dalam
filem francais Batman.
Gordon bekerjasama dengan Batman. Bezanya, Gordon
pegawai tinggi polis, sementara Ridwan wakil rakyat/ahli parlimen.
Pengkor (Bront Palarae semasa dewasa), anak yatim
mangsa kekejaman yang bangkit bersama-sama ramai anak yatim lain turut
mengingatkan pada watak Penguin (Danny DeVito) dalam Batman Returns (1992).
Pengkor, mafia kejam cacat wajah dan berjalan
tempang. Dia menjadi begitu angkara pekerja ladang ayahnya membakar rumah,
membiarkan dia yang masih kanak-kanak menderita, dan bersumpah untuk membalas
dendam, bangkit mengetuai kumpulan anak yatim piatu yang dibesarkan sebagai
pembunuh, dan memanggilnya “Bapak”.
Dalam filem francais adiwira, biasanya penjahat mahu
menguasai dunia. Namun demikian, Pengkor mendakwa hanya dia yang mahu/berjaya menyatukan
rakyat, dengan wakil rakyat/ahli parlimen. Kononnya dia patriotik dan ada patriotisme.
Ganda Hamdan (Aqi Singgih) merupakan orang bawahan
Pengkor, dan Ghazul (Ario Bayu) dalam menggubal undang-undang. Sementara ‘anak-anak’
Pengkor yang bertebaran di seluruh negara menyamar sebagai doktor Cantika/Camar
(Hannah Al Rashid), orang kuat, Tanto Ginanjar (Daniel Adnan), pelukis
(Cornelio Sunny), pelajar Desti Nikita (Asmara Abigail), peragawati Mutiara
Jenar/Bidadari Mata Elang (Kelly Tandiono), pemukau Kamal Atmaja (Arie Tulang),
pengarca Sam Buadi (Aming), penari Swara Batin (Cecep Arif Rahman), dan pemain
biola terkenal, Adi Sulaiman (Rendra Bagus Pamungkas) menjadi pembunuh upahan Pengkor.
Peranan beberapa orang daripada mereka, kecuali Adi
Sulaiman yang telah mati, lebih besar dalam filem-filem Bumilangit Universe akan
datang.
Ghazul yang lama bergantung pada Pengkor, bernafsu
menguasai dunia. Ketika Pengkor nazak, dia menggali sebuah kubur lama di dalam
dinding muzium kota dengan bantuan Ganda Hamdan sambil membawa sebuah bekas
berisi kepala orang tua yang telah dipancung.
Dengan menggunakan darah Sancaka yang diambil dari
pertarungan sebelumnya, dia mencantumkan tubuh dan kepala tersebut di dalam
bekas itu. Proses tersebut membangkitkan Ki Wilawuk (Sujiwo Tejo), iblis yang
gagah dari zaman purba. Baru Ghazul menyebut dirinya sebagai Ghazul, dan
memberitahu Ki Wilawuk bahawa musuh telah datang. Dia memanggil musuh itu
sebagai ‘Gundala’ (‘Guntur’ dalam bahasa Jawa kuno bererti petir). Ki Wilawuk
memerintahkan Ghazul mengumpulkan tenteranya, kerana perang besar akan berlaku.
Sancaka memperoleh tenaga/kuasa luar biasa selepas
tubuhnya yang terbaring kaku (mati) disambar petir pada satu malam. Dia mati
setelah dilemparkan ke bawah dari bumbung kilang oleh para samseng yang
diketuai Fadli Aziz (Donny Alamsyah).
Sebelum itu, Sancaka seorang diri bertarung dengan
para penjahat tersebut yang membalas dendam mereka ditewaskan oleh pemuda itu
ketika mengganggu Sedhah Esti Wulan (Tara Basro) di rumah.
Namun demikian, berdasarkan jawapan Joko Anwar, pelakon
utama Abimana Aryasatya, Bront dan Ario semasa sidang media pratonton, mengangkat
budaya Indonesia dalam komik klasik itulah keaslian filem ini.
Gundala
membawa kisah Sancaka (lakonan Muzakki Ramdhan semasa kecil, dan Abimana
Aryasatya ketika dewasa) yang hidup di jalanan sejak kecil setelah ditinggalkan
oleh ibu bapanya (Marissa Anita dan Rio Dewanto). Kesulitan hidup membuat
Sancaka sering memikirkan bagaimana dia harus bertahan untuk meneruskan
kehidupan. Ketika keadaan semakin buruk, Sancaka perlu memilih untuk hanya
melindungi dirinya sendiri atau bangkit menjadi wira membantu mereka yang
ditindas.
Ini persoalan yang menarik bagi saya. Awang (Faris
Fadjar Munggaran), anak jalanan yang lebih tua daripada Sancaka,
menyelamatkannya daripada samseng kanak-kanak/remaja, dan mempelawa tinggal
bersama-sama. Sambil mengajar Sancaka kemahiran ilmu bela diri, dia turut menasihatkan
anak yatim itu agar menjaga hal sendiri jika mahu terus hidup dengan aman.
Memang Sancaka tidak pernah mempedulikan masalah
orang lain hingga dewasa dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di kilang
percetakan akhbar. Walau bagaimanapun, Pak Agung (Pritt Timothy), pengawal
keselamatan veteran di kilang itu mengatakan manusia yang tidak mempedulikan
masalah manusia lain, tidak berguna hidup.
Mahu menjadi wira, apatah lagi adiwira apa kalau
hanya mementingkan diri sendiri? Sindiran Pak Agung itu mengganggu pemikiran
Sancaka juga hinggalah gadis (perempuan) yang berjaya mengubah terus pendiriannya.
Pada satu hari dia membantu jirannya, Wulan yang diganggu oleh beberapa orang samseng
di rumah.
Kerana perempuan, Sancaka menjadi wira/adiwira? Memang
wira/adiwira itu sentiasa/perlu mengambil tahu hal orang. Atau perlu gagah
seperti adiwira dahulu baru mengambil tahu hal orang (menyelesaikan kes jenayah
berat/ringan)?
No comments:
Post a Comment