SASTERA & BUDAYA
TIADA WASIAT UNTUK
WARIS MUSIBAT
MENJELANG ‘persaraan’nya
sebagai James Bond, Daniel Craig keluar dari ‘dunia’ perisikan dengan
membintangi filem arahan Rian Johnson, Knives
Out.
Walaupun
masih menyiasat, tetapi watak Detektif Denoit Blanc yang dibawanya tidak asing.
Craig (pastilah) tidak kekok, malah membuktikan dia boleh berlakon dengan baik
tanpa bertumbuk, melompat, menembak, memandu kereta laju, dan sebagainya
seperti biasa (yang kelihatan selesa dilakukannya dalam filem-filem ejen rahsia
terkenal itu).
Hanya
dengan mimik wajah, dan gerak tubuh, serta pertuturan yang sesekali lucu, Craig
membuktikan dia pelakon berbakat/wibawa.
Chris
Captain America Evans mencuba
kelainan dengan memegang watak Ransom Hugh Drysdale, sementara Ana de Armas
yang turut mendampingi Craig dalam filem 007 terbaharu, No Time to Die, menjadi jururawat peribadi orang kaya, Marta
Cabrera.
Banyak
perkara menarik dalam Knives Out.
Antaranya ialah si pelaku kebaikan tetap menerima/mendapat balasan baik; siapa
pun kita, yang penting ialah ketulusan hati, ahli keluarga yang berantakan
tidak wajar menerima wasiat, dan pemberi wasiat sanggup membunuh diri demi orang
yang disukainya.
Knives Out ialah filem untuk
peminat Craig dan Evans yang tampil dalam watak yang berbeza. Ia filem misteri komedi gelap yang lakon
layarnya turut ditulis oleh Johnson.
Disebut
sebagai filem bergenre misteri pembunuhan moden, Knives Out membawa kisah pertemuan keluarga yang bertukar menjadi
kecoh selepas kematian ketuanya sehingga disiasat oleh seorang detektif
berpengalaman.
Selain
Craig, Evans, dan de Armas, Knives Out
turut menampilkan Jamie Lee Curtis (Linda Drysdale/anak sulung Harlan, dan
isteri Richard, tokoh hartanah yang berpengaruh, menjalankan syarikat sendiri
dengan bantuan suaminya.), Michael Shannon (Walter ‘Walt’ Thrombey/anak bongsu
Harlan, suami Donna dan pemangku baharu CEO syarikat penerbitan ayahnya), Don
Johnson (Richard Drysdale/menantu Harlan dan suami Linda yang membantu syarikat
isterinya), Toni Collette (Joni Thrombey/menantu Harlan dan isteri mendiang anaknya,
yang juga guru gaya hidup), dan K Callan (Wanetta ‘Great Nana’ Thrombey/ibu
Harlan). dan Frank Oz (Alan Steven/peguam Harlan).
Ada
juga Lakeith Stanfield (Detektif Leftenan Elliot), Riki Lindhome (Donna Thrombey/menantu
Harlan, isteri Walt). Katherine Langford (Megan ‘Meg’ Thrombey/cucu Harlan, anak
Joni yang belajar seni liberal, dan aktivis sosial), Jaeden Martell (Jacob
Thrombey/cucu Harlan, anak Walt dan Donna, yang asyik dengan telefon bimbitnya),
Noah Segan (Trooper Wagner/pembantu Elliot), Edi Patterson (Fran/pembantu rumah
Harlan), dan Christopher Plummer (Harlan Thrombey/pengarang novel misteri
jenayah kaya-raya), serta Raúl Castillo, dan
M
Emmet Walsh.
Filem
yang turut menampilkan Johnson sebagai penerbit ini telah ditayangkan di
Festival Filem Antarabangsa Toronto pada 7 September 2019 lalu. Tayangan
umumnya di seluruh Amerika Syarikat bermula pada 27 November 2019, oleh
Lionsgate Films. Di Malaysia, ia ditayangkan di pawagam sehari kemudian.
Si
pelaku kebaikan tetap mendapat balasan baik, sama ada di dunia atau selepas hari
kebangkitan. Oleh kerana ini bukan filem Melayu Malaysia yang tentunya tidak
berteraskan Islam, maka watak baik itu mendapat laba semasa masih di dunia
lagi.
Marta
Cabrera tiada talian darah dengan Harlan Thrombey, malah dia pendatang asing. Walau
bagaimanapun, atas jasa baik dan keikhlasannya sebagai jururawat, dia lebih
disayangi Harlan sehingga memperoleh semua harta orang kaya itu.
Dalam
wasiat yang telah diubah seminggu sebelum kematiannya (kebetulan seminggu),
Harlan mewasiatkan semua hartanya kepada Cabrera. Itu tentu sahaja mengejutkan Linda,
Walter, Richard, Joni, Donna, Megan, dan Jacob.
Cabrera
yang juga sangat terkejut, telah dihenyak dengan bermacam-macam tuduhan oleh
adik-beradik, anak-beranak, dan ipar-duai Thrombey itu.
Siapa
pun kita, yang penting ialah ketulusan hati. Cabrera masih belum memiliki
dokumen yang sah untuk tinggal di Amerka Syarikat. Namun demikian, hatinya baik
dan tidak pernah menimbulkan masalah di sepanjang berkhidmat. Dia dibantu oleh
Harlan.
Cabrera
memperoleh harta kerana dia lebih disayangi Harlan berbanding anak-anak, dan
cucu-cucunya sendiri. Harlan sedih serta kecewa kerana darah dagingnya sendiri
hidup berkecamuk, dan mementingkan harta benda.
Harlan
yang sangat menyayangi Cabrera sanggup mengelar lehernya sendiri sehingga mati
agar jururawat muda jelita itu terselamat daripada tuduhan membunuh majikan.
Cabrera menyangka dia telah tersilap dos memberi ubat suntikan kepada Harlan sehingga
boleh menyebabkan kematian. Harlan sanggup membunuh diri agar Cabrera terlepas.
Sebenarnya, Cabrera tersalah sangka. Harlan juga tidak tahu dos suntikan
Cabrera itu sebenarnya betul.
Persembahan
jalan cerita dan suntingan kemas membuatkan penonton tidak menyangka kematian
Harlan (meskipun membunuh diri) berpunca daripada Ransom Drysdale, cucunya (anak
Linda dan Richard). Ransom yang juga digambarkan sebagai kaki perempuan itu
telah mengetahui perubahan isi wasiat. Dia tidak mahu terlepas harta datuknya,
lalu membuat rancangan menganiayai Cabrera. Dos ubat dijadikan ‘senjata’. Namun
begitu, rancangannya digagalkan oleh Fran yang ternampak dia menukar ubat.
Ransom
mengetahui tindakan Fran, lalu dia bertindak membunuh wanita itu. Dia sendiri
mengaku di hadapan Blanc, Elliot, Wagner, dan Cabrera tanpa disedari.
Mungkin
ada yang berpendapat penyelesaian kisah ataupun penyiasatan Blanc akan lebih
menarik jika bukan menerusi penceritaan/penjelasan olehnya pada penghujung
durasi. Walau bagaimanapun, apa lagi cara yang berkesan jika tidak menerusi
naratif berserta imbas kembali itu? Bukankah untuk meleraikan
kekusutan/merungkaikan misteri?
Dalam
perfileman Melayu tempatan, saya terus teringat pada Syafiq Yusof yang
menggemari penyelesaian sedemikian. Lihatlah antara filem arahannya seperti Desolasi (2016), Abang Long Fadil 2 (2017), dan Misteri
Dilaila (2019).
Meskipun
dipersendakan oleh Cabrera sebagai ‘penyiasat tidak boleh harap’, tetapi
sebenarnya Blanc memang hebat. Dia tidak menonjol-nonjolkan kemampuannya,
tetapi bertanya dan terus bertanya sambil mengawal keadaan ketika menyiasat.
Dalam diam dia mengumpul maklumat, dan membuat keputusan – walaupun lucu
apabila melambangkan/menganalogkannya dengan kuih donat.
Blanc
dengan mudah menjawab soalan Cabrera mengapa dia menjadi sasaran penyiasatan.
Sedikit kesan darah pada kasut yang jururawat itu pakai menjadi kunci. Begitu
peka dan tajam penglihatannya. Jadi, tidak hairanlah Blanc terkenal dan/kerana
telah menyelesaikan banyak kes rumit.
Cuma,
Blanc tidak sebaik Cabrera. Dia tidak menjawab dengan jelas, tetapi boleh
difahami apabila Cabrera bertanya pendapatnya wajar membantu keluarga/waris
Harlan atau membiarkan. Blanc yang tahu anak cucu Harlan tidak melayan Cabrera
dengan baik memberi isyarat agar jururawat itu tidak membantu.
No comments:
Post a Comment