Pages

Saturday, 21 December 2019


SASTERA BUDAYA


‘ROCKAWAY 2020’ DI BUKIT JALIL

THE Livescape Group bersama-sama InTour Live dan iMe Entertainment Group mengumumkan ‘Rockaway 2020’ dipersembah oleh Tune Talk, bersempena dengan menyambut ikonik 10 tahun semenjak festival rock pertama ini diadakan pada 2009.
Festival rock legenda ini telah mengetengah 51,000 rockers, 92 artis, 11 persembahan, dan lima festival di sepanjang 10 tahun lalu. Untuk 2020, festival muzik terbesar di Malaysia ini kembali dengan beberapa tambahan menarik, dan akan berlangsung pada 14 dan 15 Mac nanti.
Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Ameen Amaendran, mengucapkan terima kasih kepada The Livescape Group bersama-sama InTour Live dan iMe Entertainment Group kerana memberi peluang pihaknya bekerjasama mempersembah ‘Rockaway 2020’.
Bersempena dengan ulang tahun ke-10 Tune Talk, jelas Aimeen, pihaknya amat berbangga untuk meraikannya menerusi penganjuran festival rock yang dinanti-nantikan.
Tambah Ameen semasa sidang media ‘Rockaway 2020’ di Kuala Lumpur pada 12 Disember 2019 lalu, sebagai penyokong besar artis dan kumpulan muzik tempatan, ia sudah menjadi sebahagian daripada DNA Tune Talk untuk menganjurkan konsert hiburan yang luar biasa.
Tune Talk turut mengucapkan terima kasih kepada para pengguna setia Tune Talk atas sokongan selama ini. ‘Rockaway 2020’, kata Ameen, memang untuk mereka itu, dan diharap dapat menghiburkan peminat muzik tanah air.
‘Rockaway’ telah melepasi jangkaan semua penggemar muzik rock sejak 2009, dengan menampilkan barisan nama besar dan terbaik dalam genre muzik itu, serta metal. Festival tersebut bertujuan menyemarakkan, serta menyatukan kembali semangat komuniti rock dalam ‘melayan’ cinta mereka terhadap muzik ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan The Livescape Group, Iqbal Aimeen, pihaknya gembira mengumumkan bahawa ‘Rockaway’ kembali dengan cara yang lebih hebat pada 2020 nanti. The Livescape Group, tambah Iqbal, amat teruja bekerjasama dengan Intour dan iMe Entertainment Group untuk festival kali ini yang begitu dekat di hati kita semua.
Kata Iqbal lagi, muzik rock sentiasa mempunyai kedudukan yang kuat di Malaysia, dan pihaknya berasa tarikh penganjuran festival memang tepat untuk memberikan penghormatan kepada beberapa artis Malaysia yang baharu, segar dan juga ikon-ikon rock legenda pada zaman kita.
Selain Ameen dan Iqbal, turut menghadiri majlis sidang media itu ialah artis-artis yang akan menjayakan ‘Rockaway 2020’ seperti Datuk M Nasir, XPDC, Hujan, Masdo, Project EAR, Mad August, Kyoto Protocol, dan Toko Kilat. Kumpulan Kyoto Protocol turut menyampaikan dua lagu dalam sidang media itu, termasuk ‘Wawasan 2020’.
Zon Gem-Park merupakan tambahan baharu kepada ‘Rockaway 2020’ yang memberi peluang dan ruang kepada para peniaga mengetengah produk-produk mereka kepada penggemar, serta komuniti muzik rock yang menghadiri festival tersebut. Para pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai pilihan makanan di gerai-gerai yang mengambil bahagian.
Zon Gem-Pak akan dibuka kepada orang ramai secara percuma selama dua hari.
Zon Rockaway Live akan bermula pada jam 2 petang pada 15 Mac 2020, dengan penampilan pemuzik tempatan diikuti, persembahan oleh artis-artis luar negara yang bakal diumumkan tidak lama lagi.
Semenjak penganjurannya yang pertama pada 2009, ‘Rockaway’ sentiasa mengutamakan barisan artis rock tempatan.
Sementara itu, Pengarah Urusan InTour Live, Bonor Seen, pihaknya amat teruja bekerjasama dengan The Livescape Group bagi ‘Rockaway 2020’. Sejak penganjuran ‘Rockaway Fest’ pada 2009, katanya, InTour Live telah bekerjasama rapat dengan komuniti rock tempatan untuk mewujudkan kesedaran terhadap genre tersebut.
Selepas sedekad, tambah Bonor, InTour Live berbangga menyatakan bahawa ia bersama-sama telah mewujudkan satu platform yang bukan sahaja untuk artis tempatan, malah merangkumi serantau, dan antarabangsa, serta nama-nama yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Dengan kehadiran para peminat muzik yang kuat, tegas Bonor, pihaknya berharap dapat menyatupadukan komuniti lain menerusi muzik. InTour Live, kata Bonor lagi, sudah tidak sabar-sabar lagi untuk bersama-sama dengan para peminat rock pada 14 dan 15 Mac 2020 nanti.
Fasa pertama barisan artis ‘Rockaway 2020’ bermula dengan kumpulan rock Australia, Hands Like Houses yang akan menggegarkan pentas utama buat pertama kali di Asia. Dengan penjualan rekod melebihi 150,000 unit di seluruh dunia, lebih 15 siri jelajah muzik di Amerika Syarikat, dan 10 jelajah di UK, lagu-lagu Hands Like Houses yang berakarkan post-hardcore dipengaruhi R&B telah menyuntik versi baharu rock’n roll untuk industri muzik.
Seterusnya, kumpulan Hujan dengan penyanyi utama, Haji Noh Salleh; M Nasir, Masdo, dan Project EAR (gabungan pemuzik handalan dari rantau Asia Tenggara yang menjanjikan persembahan terhebat mereka).
Selain Tune Talk, ‘Rockaway 2020’ turut dibantu oleh Dr Martens (kasut rasmi), New Era (topi rasmi), Pepsi (minuman rasmi), Wonda (kopi rasmi), Shopee (rakan e-dagang rasmi), Glo (teknologi), FlyFm dan hotfm (radio rasmi), Gempak (media digital rasmi), dan Jamtank (komuniti rasmi).
Setakat ini, tiket-tiket VIP untuk menyaksikan ‘Rockaway 2020’ telah habis dijual. Tiket prajualan umum berharga RM78 seorang, dan rockzone pula RM108 seorang yang turut memberikan rantai kunci ‘Rockaway’ eksklusif.
Untuk pembelian sekarang, sila layari www.galactix.asia/rockaway-festival-2020.
            

No comments:

Post a Comment