SASTERA BUDAYA
FILEM AKSI BELA DIRI TERAKHIR DONNIE
YEN?
BAGUSNYA
filem-filem Ip Man ialah ia sentiasa
menekankan soal ketahanan diri, jati diri, hak milik, serta perjuangan, kekuatan,
dan maruah bangsa. Biarpun dalam konteks cerita filem ini, bangsa China, tetapi
semua perkara itu relevan dengan semua bangsa. Ada juga peribahasa lama yang
berbunyi, ‘Di mana ada cahaya matahari, di situ ada orang China’.
Filem francais ini
memang memberi makna yang tersendiri, di mana yang pertama, Ip Man (2008) menekankan topik hidup
mati, sekuelnya pula, Ip Man 2 (2010)
menyerlahkan soal nyawa, dan yang ketiga, Ip
Man 3 (2015) menyentuh kehidupan.
Sekuelnya yang
terakhir, Ip Man 4: The Finale (2019)
menerokai hubungan bapa/Ip Man dengan anak/Ah Jin. Menurut pengarahnya, William
Yip, Ip Man selalu menjadi suara kebenaran. Kata William, Ip Man terikat dengan
kewajipan untuk melawan ketidakadilan, dan itu dikekalkan menjadi komitmen.
Ip Man 4: The Finale menyorot tanggapan bahawa di mana-mana sahaja boleh menjadi
tempat yang bagus untuk seseorang menjalani kehidupan jika dia kekal berdaya
saing, bebas dan bertahan di sepanjang masa yang sukar. Sifat-sifat/sikap-sikap
positif itu tertanam kukuh dalam diri Ip Man.
Dibawakan oleh
Lotus Five Star bersama-sama RAM Entertainment sebagai rakan
pemasaran, filem Ip Man 4: The Finale tampil menyatukan
aksi seni bela diri legenda Wing Chun dengan gabungan hebat Ip Man (lakonan
Donnie Yen) dan anak didiknya, Bruce Lee (Danny Chan Kwang-kwok).
Aksi kali ini
memaparkan ikatan emosi hubungan pelajar-guru yang kuat antara Ip Man dengan
Bruce, dan hubungan dingin Ip Man dengan anak tunggalnya, Ah Jin – tidak
terlalu fokus dengan tiga buah filem terdahulu.
Tidak dinafikan
filem francais Ip Man sejak lebih 10 tahun lalu telah menjadi fenomena global
dalam seni mempertahan diri. Banyak aksi epik yang ditampilkan, termasuk adegan
Ip Man bertarung dengan 10 orang pemegang tali pinggang hitam dalam Ip Man,
‘aksi meja bulat’ dengan Sammo Hung (sebagai Hung Chun-nam/Ip Man 2), dan pertarungan tiga minit dengan bekas juara tinju heavyweight
dunia, Mike Tyson (Frank/Ip Man 3).
Ip Man meraih
kutipan $21.89 juta. Ip Man 2 pula memperoleh
$49.72 juta, dan Ip Man 3 mendapat
$157.3 juta. Penambahan ketara dalam jumlah kutipan dari filem ke filem
dipercayai antara sebab sajian keempat filemnya, Ip Man 4: The Finale dihasilkan, selain kesinambungan kisah
sebenar.
Di Malaysia, Ip Man 3 memecahkan rekod ‘pecah
panggung’ filem Hong Kong apabila meraih kutipan RM12 juta dalam tempoh empat hari.
Ia filem Hong Kong pertama di Malaysia yang berjaya meraih RM30 juta
keseluruhan yang menjadikannya filem dari negara tersebut yang memperoleh
kutipan tertinggi di negara kita.
Walau bagaimanapun,
peminat kung fu Ip Man pasti kecewa kerana filem ini ialah sajian terakhir
seperti yang dinyatakan oleh Donnie Yen pada 30 September 2019.
Donnie mengumumkan
bahawa dia dan Wilson akan menghasilkan filem keempat Ip Man. Penulis skrip Edmond Wong turut terlibat. Penerbit Raymond
Wong mendedahkan bahawa dia membayar lumayan kepada Donnie untuk membintangi
filem keempat tersebut. Penggambaran berlangsung dari April hingga Julai 2018,
di China, serta Preston, Lancashire, AS, dan ia ke pawagam mulai 20 Disember
2019 lalu.
Donnie yang kini
berusia 56 tahun malah mengatakan Ip Man
4: The Finale ialah filem bela dirinya yang terakhir semasa sesi jelajah
promosi di Beijing. Jelas Donnie, sebagai pelakon, dia mesti terus maju untuk
meneroka, dan berkembang. Baginya, itulah makna sebenar kehidupan. Filem ini
memaparkan kematian Ip Man pada usia 79 tahun akibat kanser kepala, dan leher.
Filem ini
berdasarkan kisah hidup mahaguru Wing Chun (nama yang sama dalam dan luar
filem) atau lebih dikenali sebagai Ip Man. Kisahnya bermula mengenai kehidupan
Ip Man selepas kematian isterinya, Wing-Sing (Lynn Hung Cheung) dan hubungan dingin
dengan anak lelaki tunggalnya, Ah Jin.
Dengan harapan
untuk masa depan Ah Jin yang lebih baik, Ip Man pergi ke Amerika Syarikat (AS).
Sebenarnya, dia juga memenuhi undangan Bruce untuk menyaksikan dia beraksi
dalam kejohanan karate di San Francisco. Jadi, Ip Man membuat keputusan untuk
‘sambil menyelam minum air’.
Namun demikian, Di
San Francisco, Ip Man menghadapi masalah lain tanpa diduga. Ketika meminta
surat sokongan daripada pengerusi komuniti China di situ, Wan Zong Hua (Wu
Yue), dia terjebak dalam kemarahan Wan dan pengikutnya terhadap Bruce yang cuba
mengembangkan kung fu di AS dengan mengenepikan bahasa Mandarin. Bruce dianggap
merosakkan budaya China apabila menulis buku kung fu dalam bahasa Inggeris.
Secara tidak
sengaja juga Ip Man terlibat dengan anak perempuan Wan, iaitu Yonda (Karena Ng)
yang sering dibuli oleh pelajar perempuan AS di sekolah dia belajar. Ip Man menyelamatkan
Yonda ketika dibuli.
Ip Man seterusnya
terbabit dengan Barton Geddes (Scott Adkins), pegawai tinggi marin AS di situ yang
angkuh, dan perkauman. Barton ada ‘orang kuat’, iaitu jurulatih karate, Colin
Frater (Chris Collins).
Hartman Wu (Vanness
Wu) yang bertugas dan berpangkat di markas tentera itu sering dibuli dan diganggu
oleh Barton. Dia diejek/sindir oleh Barton kerana cuba membawa kung fu ke dalam
kem marin atau boots camp itu. Barton
yang sentiasa berbangga-bangga dengan karate mencabar Hartman menewaskan Colin
dalam pertarungan satu sama satu jika mahu meneruskan hasrat. Hartman tewas,
dan gagal membawa kung fu. Ego dan kesombongan Barton semakin menjadi-jadi.
Walau bagaimanapun,
selepas itu Hartman mendapat sokongan pemimpin atasan pemerintah untuk membawa
kung fu ke dalam tentera marin, Barton yang berasa tercabar dan malu, meminta
bantuan Colin untuk menghalang.
Becky, salah
seorang pelajar perempuan yang tercedera pada pipi atas onar sendiri semasa
membuli Yonda turut menjadi punca huru-hara di Chinatown. Dia yang iri hati
dengan kelebihan Yonda memikat jurulatih pasukan sorak sekolah, membuat fitnah pada
ibunya mengatakan dia yang diserang. Ayahnya yang berpengaruh dalam tentera AS dihasut
oleh ibunya agar menggunakan kuasa. Wan ditahan, malah semua warga China di
Chinatown diugut akan ditangkap.
Colin yang
diarahkan membuat kekacauan di Chinatown, ditewaskan oleh Ip Man yang tidak
dapat menahan sabar lagi melihat lelaki itu bertindak sesuka hati. Itu melibatkan
pula Ip Man dengan Barton. Pertarungan hingga mati tidak dapat dielakkan oleh
Ip Man dengan Barton kerana dia mahu membela bangsanya sendiri. Wan juga cedera
parah akibat pertarungan dengan Barton sebelum itu. Selepas pertarungan sengit,
Ip Man berjaya menewaskan Barton.
Sebenarnya, tidak
banyak yang boleh dikritik pada kisah benar. Sukar untuk melaksanakan hukum
sebab-akibat. Jika kisah rekaan, tentulah wira akan menang biar bagaimana sukar
pun halangan dihadapinya. Ip Man ialah watak sebenar, dan dia memang handal
memenangi semua pertarungan. Dia hanya mati akibat sakit, bukan kerana cabaran
keras di gelanggang.
Ada adegan Bruce
dengan seorang lelaki yang mencabar. Ketika menonton tempohnya yang agak lama,
saya terfikir filem ini seperti terpesong arah. Namun demikian, kemenangan
Bruce dengan penuh gaya dan kekemasan aksi itu sebenarnya mahu menunjukkan
bahawa Ip Man guru yang baik. Bruce telah membuktikannya. Dan Timur mampu
menewaskan Barat.
Walau bagaimanapun,
tiada filem yang sempurna. Lakonan Donnie bukanlah yang terbaik dalam filem
ini. Saya dapati Donnie seperti sudah penat dengan watak Ip Man. Dia seperti
kurang penghayatan. Mimik wajahnya hampir tidak berbeza dalam mood/keadaan yang
berlainan.
Pun begtu, saya
bersetuju dan boleh menerima alasan penampilan Donnie sedemikian kerana barah
yang dihidapi Ip Man semakin tenat.
Selain itu, klise
berterusan di sebalik kebaikannya mengangkat soal ketahanan diri, jati diri,
hak milik, serta kekuatan, dan maruah bangsa, watak antagonis dipaparkan sombong,
bongkak dan tidak menghormati orang lain biarpun dia berpelajaran, berpangkat
tinggi, dan bertamadun.
No comments:
Post a Comment