SASTERA BUDAYA


FILEM AKSI BELA DIRI TERAKHIR DONNIE YEN?


BAGUSNYA filem-filem Ip Man ialah ia sentiasa menekankan soal ketahanan diri, jati diri, hak milik, serta perjuangan, kekuatan, dan maruah bangsa. Biarpun dalam konteks cerita filem ini, bangsa China, tetapi semua perkara itu relevan dengan semua bangsa. Ada juga peribahasa lama yang berbunyi, ‘Di mana ada cahaya matahari, di situ ada orang China’.
Filem francais ini memang memberi makna yang tersendiri, di mana yang pertama, Ip Man (2008) menekankan topik hidup mati, sekuelnya pula, Ip Man 2 (2010) menyerlahkan soal nyawa, dan yang ketiga, Ip Man 3 (2015) menyentuh kehidupan.
Sekuelnya yang terakhir, Ip Man 4: The Finale (2019) menerokai hubungan bapa/Ip Man dengan anak/Ah Jin. Menurut pengarahnya, William Yip, Ip Man selalu menjadi suara kebenaran. Kata William, Ip Man terikat dengan kewajipan untuk melawan ketidakadilan, dan itu dikekalkan menjadi komitmen.
Ip Man 4: The Finale menyorot tanggapan bahawa di mana-mana sahaja boleh menjadi tempat yang bagus untuk seseorang menjalani kehidupan jika dia kekal berdaya saing, bebas dan bertahan di sepanjang masa yang sukar. Sifat-sifat/sikap-sikap positif itu tertanam kukuh dalam diri Ip Man.   
Dibawakan oleh Lotus Five Star bersama-sama RAM Entertainment sebagai rakan
pemasaran, filem Ip Man 4: The Finale tampil menyatukan aksi seni bela diri legenda Wing Chun dengan gabungan hebat Ip Man (lakonan Donnie Yen) dan anak didiknya, Bruce Lee (Danny Chan Kwang-kwok).
Aksi kali ini memaparkan ikatan emosi hubungan pelajar-guru yang kuat antara Ip Man dengan Bruce, dan hubungan dingin Ip Man dengan anak tunggalnya, Ah Jin – tidak terlalu fokus dengan tiga buah filem terdahulu.
Tidak dinafikan filem francais Ip Man sejak lebih 10 tahun lalu telah menjadi fenomena global dalam seni mempertahan diri. Banyak aksi epik yang ditampilkan, termasuk adegan Ip Man bertarung dengan 10 orang pemegang tali pinggang hitam dalam Ip Man, ‘aksi meja bulat’ dengan Sammo Hung (sebagai Hung Chun-nam/Ip Man 2), dan pertarungan tiga minit dengan bekas juara tinju heavyweight dunia, Mike Tyson (Frank/Ip Man 3).
Ip Man meraih kutipan $21.89 juta. Ip Man 2 pula memperoleh $49.72 juta, dan Ip Man 3 mendapat $157.3 juta. Penambahan ketara dalam jumlah kutipan dari filem ke filem dipercayai antara sebab sajian keempat filemnya, Ip Man 4: The Finale dihasilkan, selain kesinambungan kisah sebenar.
Di Malaysia, Ip Man 3 memecahkan rekod ‘pecah panggung’ filem Hong Kong apabila meraih kutipan RM12 juta dalam tempoh empat hari. Ia filem Hong Kong pertama di Malaysia yang berjaya meraih RM30 juta keseluruhan yang menjadikannya filem dari negara tersebut yang memperoleh kutipan tertinggi di negara kita.
Walau bagaimanapun, peminat kung fu Ip Man pasti kecewa kerana filem ini ialah sajian terakhir seperti yang dinyatakan oleh Donnie Yen pada 30 September 2019.
Donnie mengumumkan bahawa dia dan Wilson akan menghasilkan filem keempat Ip Man. Penulis skrip Edmond Wong turut terlibat. Penerbit Raymond Wong mendedahkan bahawa dia membayar lumayan kepada Donnie untuk membintangi filem keempat tersebut. Penggambaran berlangsung dari April hingga Julai 2018, di China, serta Preston, Lancashire, AS, dan ia ke pawagam mulai 20 Disember 2019 lalu.
Donnie yang kini berusia 56 tahun malah mengatakan Ip Man 4: The Finale ialah filem bela dirinya yang terakhir semasa sesi jelajah promosi di Beijing. Jelas Donnie, sebagai pelakon, dia mesti terus maju untuk meneroka, dan berkembang. Baginya, itulah makna sebenar kehidupan. Filem ini memaparkan kematian Ip Man pada usia 79 tahun akibat kanser kepala, dan leher.
Filem ini berdasarkan kisah hidup mahaguru Wing Chun (nama yang sama dalam dan luar filem) atau lebih dikenali sebagai Ip Man. Kisahnya bermula mengenai kehidupan Ip Man selepas kematian isterinya, Wing-Sing (Lynn Hung Cheung) dan hubungan dingin dengan anak lelaki tunggalnya, Ah Jin.
Dengan harapan untuk masa depan Ah Jin yang lebih baik, Ip Man pergi ke Amerika Syarikat (AS). Sebenarnya, dia juga memenuhi undangan Bruce untuk menyaksikan dia beraksi dalam kejohanan karate di San Francisco. Jadi, Ip Man membuat keputusan untuk ‘sambil menyelam minum air’.
Namun demikian, Di San Francisco, Ip Man menghadapi masalah lain tanpa diduga. Ketika meminta surat sokongan daripada pengerusi komuniti China di situ, Wan Zong Hua (Wu Yue), dia terjebak dalam kemarahan Wan dan pengikutnya terhadap Bruce yang cuba mengembangkan kung fu di AS dengan mengenepikan bahasa Mandarin. Bruce dianggap merosakkan budaya China apabila menulis buku kung fu dalam bahasa Inggeris.
Secara tidak sengaja juga Ip Man terlibat dengan anak perempuan Wan, iaitu Yonda (Karena Ng) yang sering dibuli oleh pelajar perempuan AS di sekolah dia belajar. Ip Man menyelamatkan Yonda ketika dibuli.
Ip Man seterusnya terbabit dengan Barton Geddes (Scott Adkins), pegawai tinggi marin AS di situ yang angkuh, dan perkauman. Barton ada ‘orang kuat’, iaitu jurulatih karate, Colin Frater (Chris Collins).
Hartman Wu (Vanness Wu) yang bertugas dan berpangkat di markas tentera itu sering dibuli dan diganggu oleh Barton. Dia diejek/sindir oleh Barton kerana cuba membawa kung fu ke dalam kem marin atau boots camp itu. Barton yang sentiasa berbangga-bangga dengan karate mencabar Hartman menewaskan Colin dalam pertarungan satu sama satu jika mahu meneruskan hasrat. Hartman tewas, dan gagal membawa kung fu. Ego dan kesombongan Barton semakin menjadi-jadi.
Walau bagaimanapun, selepas itu Hartman mendapat sokongan pemimpin atasan pemerintah untuk membawa kung fu ke dalam tentera marin, Barton yang berasa tercabar dan malu, meminta bantuan Colin untuk menghalang.
Becky, salah seorang pelajar perempuan yang tercedera pada pipi atas onar sendiri semasa membuli Yonda turut menjadi punca huru-hara di Chinatown. Dia yang iri hati dengan kelebihan Yonda memikat jurulatih pasukan sorak sekolah, membuat fitnah pada ibunya mengatakan dia yang diserang. Ayahnya yang berpengaruh dalam tentera AS dihasut oleh ibunya agar menggunakan kuasa. Wan ditahan, malah semua warga China di Chinatown diugut akan ditangkap.
Colin yang diarahkan membuat kekacauan di Chinatown, ditewaskan oleh Ip Man yang tidak dapat menahan sabar lagi melihat lelaki itu bertindak sesuka hati. Itu melibatkan pula Ip Man dengan Barton. Pertarungan hingga mati tidak dapat dielakkan oleh Ip Man dengan Barton kerana dia mahu membela bangsanya sendiri. Wan juga cedera parah akibat pertarungan dengan Barton sebelum itu. Selepas pertarungan sengit, Ip Man berjaya menewaskan Barton.
Sebenarnya, tidak banyak yang boleh dikritik pada kisah benar. Sukar untuk melaksanakan hukum sebab-akibat. Jika kisah rekaan, tentulah wira akan menang biar bagaimana sukar pun halangan dihadapinya. Ip Man ialah watak sebenar, dan dia memang handal memenangi semua pertarungan. Dia hanya mati akibat sakit, bukan kerana cabaran keras di gelanggang.
Ada adegan Bruce dengan seorang lelaki yang mencabar. Ketika menonton tempohnya yang agak lama, saya terfikir filem ini seperti terpesong arah. Namun demikian, kemenangan Bruce dengan penuh gaya dan kekemasan aksi itu sebenarnya mahu menunjukkan bahawa Ip Man guru yang baik. Bruce telah membuktikannya. Dan Timur mampu menewaskan Barat.
Walau bagaimanapun, tiada filem yang sempurna. Lakonan Donnie bukanlah yang terbaik dalam filem ini. Saya dapati Donnie seperti sudah penat dengan watak Ip Man. Dia seperti kurang penghayatan. Mimik wajahnya hampir tidak berbeza dalam mood/keadaan yang berlainan.
Pun begtu, saya bersetuju dan boleh menerima alasan penampilan Donnie sedemikian kerana barah yang dihidapi Ip Man semakin tenat.
Selain itu, klise berterusan di sebalik kebaikannya mengangkat soal ketahanan diri, jati diri, hak milik, serta kekuatan, dan maruah bangsa, watak antagonis dipaparkan sombong, bongkak dan tidak menghormati orang lain biarpun dia berpelajaran, berpangkat tinggi, dan bertamadun. 

No comments:

Powered by Blogger.