Pages

Tuesday, 7 January 2020











SASTERA BUDAYA


HANTU MENGARAH FILEM!


Walaupun agak klise serta kerap diingatkan, semuanya masih penting, relevan, dan jangan diperlekeh. Satu daripadanya ialah orang yang terdesak sanggup berbuat apa sahaja untuk selamat.
Selain itu, jangan mengambil/melihat kepunyaan orang lain tanpa izin/mencuri, usah
mementingkan diri sendiri, dan ikutlah nasihat/pesanan orang demi kebaikan. Jika dikaitkan dengan hal berkarya, seseorang karyawan tidak wajar memplagiat/memanipulasi karya karyawan lain, kemudian mendakwa/mengaku itu
karya aslinya.
Tentunya perit, tetapi itu perlu/wajar dirasai sebagai tanda rasa kemanusiaan jika
kejayaan yang dicapai mengorbankan sahabat, saudara-mara atau ibu bapa.
Ini semua juga sebenarnya memenuhi hakikat bahawa setiap filem tetap/perlu
membawa mesej, sama ada secara tersurat atau tersirat. Tanpa mengira genre juga,
cerita sesebuah filem boleh disampaikan secara terus lurus ataupun sulit berbelit.
Ada penonton yang menggemari penyampaian mudah, ada yang menyukai persembahan payah. Cara ‘lapang’ itu terbaik, dan yang ‘berselirat’ pula sebaliknya
juga bukan mutlak.
Berdurasi 86 minit, filem Warning: Do Not Play bergenre seram yang dipersembahkan secara sulit berbelit. Ia mengisahkan Mi-Jung (Seo Ye-Ji) yang
bergelut mencari idea segar untuk filem seram arahannya yang terbaharu.
Pereka penerbitan syarikat filem (Yoon Jung-Ro) berterusan meminta skrip dan hanya memberi tempoh yang singkat kepada Mi-Jung. Akibatnya, Mi-Jung tertekan/terdesak mencari ilham untuk menulis cerita baharu yang memikat.
Pada suatu hari, rakan baiknya, Kim Joon-Seo (Ji Yoon-Ho) memberitahu tentang
khabar angin sebuah filem misteri bakal dihasilkan oleh hantu. Mi-Jung tertarik dan
cuba menyelidiki perkara tersebut sehingga meminta bantuan/nasihat profesor filem
(Kim Mi-Kyung). Dia berasa itu satu peluang baik untuk mengangkat semula prestasinya. Gurauan pereka penerbitan filem adakah dia sudah menjadi pengarah/penulis skrip amatur, bukan pengarah/penulis skrip hebat, dianggap sebagai penghinaan, dan mencabar jiwanya.
Sejak mengarah filem seram, garis antara hidup Mi-Jung dengan filemnya menjadi kabur. Akibat terdesak, dia berubah menjadi bukan dirinya lagi, dan terjebak dalam kesudahan yang tidak disangka-sangka.
Mi-Jung memperoleh dapatan sebuah filem yang berjudul Warning: Do Not Play
secara salah. Walau bagaimanapun, sudah lumrah manusia setiap perkara yang
dilarang itulah yang mahu/akan dilakukan/dipedulikan. Apatah lagi orang yang
terdesak seperti Mi-Jung.
Namun demikian, dia ditelefon oleh seseorang yang meminta dapatan itu
dipadamkan. Tanpa memberitahu Joon-Seo, Mi-Jung menemui pemanggil itu yang
sebenarnya pengarah filem, Jae-Hyun (Jin Seon-Kyu). Pada awalnya, dia tidak
mengenali/mengetahui Jae-Hyun hidup gelandangan akibat jiwa tertekan kerana
gagal menyiapkan filemnya.
Selepas bergelut dengan Jae-Hyun, Mi-Jung berjaya melarikan diri bersama-sama
rakaman video filem milik Jae-Hyun. Dia hampa dan penat kerana rakaman itu tidak
boleh ditonton, tetapi Joon-Seo dapat membantunya.
Walau bagaimanapun, perbuatan Mi-Jung dan Joon-Seo itu menyebabkan hantu yang mahu membikin filem misteri mengganggu mereka. Mi-Jung menjadi seorang yang mementingkan diri, dan membiarkan mereka yang dalam kesusahan. Oleh kerana mementingkan karya terbaharunya, Mi-Jung merakamkan setiap kejadian dengan telefon bimbit, termasuk detik kematian.
Video yang Mi-Jung curi itu mengandungi rakaman proses pembikinan filem oleh Jae-Hyun bersama-sama Ji-Soo Cha (Kim Bo-Ra), dan Kwang-Bei (Cha Yub).
Mungkin disebabkan kerap menontonnya dan obses, Mi-Jung tiba-tiba bertembung dengan pasukan Jae-Hyun itu yang tidak mengenalinya.
Memang aneh kerana mereka berlainan masa dan ruang. Hantu muncul, serta membunuh Ji-Soo, dan Kwang-Bei. Mi-Jung merakamkan kematian mereka.
Perlakuan itu diteruskan ketika Jae-Hyun pula menemui ajal akibat putus kepala digantung oleh hantu. Mi-Jung merakamkannya sehingga ditempelak oleh Jae-Hyun sebelum mati bahawa dia juga kejam.
Mi-Jung kemudian diburu oleh hantu itu. Namun demikian, keanehan berlaku lagi. Memang Mi-Jung berjaya menyelamatkan dirinya selepas membakar hantu tersebut dengan suar, malah keseluruhan tempat tersebut terbakar. Sebenarnya, itu bukan hantu, tetapi Joon-Seo yang datang mahu menyelamatkannya. Hantu itu memasuki tubuh Joon-Seo sehingga dilihat seperti hantu, dan kepalanya ditusuk oleh Mi-Jung dengan suar yang menyala.
Justeru, semasa majlis tayangan perdana filem tersebut, Mi-Jung muram sehingga
diminta oleh jurufoto agar senyum. Pereka penerbitan dan pelakon yang memegang
wataknya (Kim Jae-In) hairan melihat penampilan Mi-Jung.
Meskipun filem itu yang memaparkan kisahnya sendiri membikin filem tersebut
mendapat sambutan hangat, tetapi dia bersedih kerana membunuh Joon-Seo.
Walau bagaimanapun, seolah-olah telah hilang rasa kemanusiaan, Mi-Jung
tersenyum puas.


No comments:

Post a Comment