Pages

Tuesday, 7 January 2020











SASTERA BUDAYA


PATRIOTIK ANGGOTA BOMBA


Azizi ‘Chunk’ Adnan meneruskan kritikan dan tegurannya menerusi corak aksi komedi dalam filem ketiga arahannya, Hero: Jangan Bikin Panas (HJBP) selepas Antoo Fighter: Amukan Drakula! (2008) dan Kapoww!! Atoi the Ajaib Boy! (2010).
Saya fikir Azizi tidak dapat menyanggah menerusi corak drama aksi serius. Barangkali juga corak aksi komedi telah sebati dalam dirinya yang masih diingati menerusi filem Gila-gila Remaja (1986) di samping Faizal Hussein, dan Datuk Rosyam Nor.
Walaupun tahu kebanyakan orang menganggap filem-filem arahannya bodoh, tetapi Azizi berpendapat itu kerana penyampaiannya gagal difahami/dicapai akal.
Saya melihat Azizi kurang menyenangi beberapa hal negatif dalam industri hiburan
tanah air, terutama/khususnya perfileman, selain cenderung pada kesedaran beragama Islam yang dalam HJBP dipaparkan menerusi imej maahad tahfiz di
Kuang, guru agama di situ, dan Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Kuala Lumpur.
Azizi/Akbar menyindir orang yang suka berlagak dan menggunakan kekuatan
‘salah tempat’. Dalam HJBP, watak Adam Fanifinali (Mark Adam) menumbuk
polisterin, bukan kayu atau batu sehingga berkecai. Perlakuan itu diejek oleh
seorang pemuda. Pemuda tersebut kemudiannya patah hidung akibat ditumbuk oleh
Adam yang marah.
Suka meminta cuti sakit meskipun sakit tidak tenat turut disindir oleh Azizi/Akbar.
Watak guru maahad tahfiz tercucuk sedikit pada bahagian matanya oleh Fazrul
(Hisyam Hamid) yang melatah. Fazrul asyik melihat seorang lagi bekas gurunya
mengajar di dalam kelas ketika bahunya ditepuk oleh ustaz tersebut.
Azizi/Akbar juga mengkritik kesukaan ‘curi tulang’ dan ‘miang’. Adegan Amat Mustar (Bell Ngasri) yang cuba mengelakkan tugas, serta menggoda anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jalan Hang Tuah, Suraya (Tash Yong) pada hari pertama dia bertugas memang klise. Namun begitu, tidak salah  unsur peringatan yang baik diulang-ulang.
Azizi/Akbar turut menyindir menerusi dialog Amat kepada Fazrul dan Adam bahawa
anggota bomba diminati gadis-gadis.
Seperti yang Azizi katakan semasa majlis tayangan perdana, dia enggan berselindung lagi dalam HJBP. Antaranya menerusi dialog Amat kepada Zafrul dan Adam di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad sebelum solat asar, apabila ‘membelasah’ unsur kebetulan yang banyak terdapat dalam filem dan drama televisyen Melayu tempatan. Pertemuan Fazrul, Amat dan Adam selepas kejadian yang menimpa masing-masing juga satu kebetulan.
Amat dikejar oleh para pelanggan minyak rambut yang marah (tertipu). Adam pula
melarikan diri daripada sekumpulan pemuda India kerana memukul mati (tidak
sengaja) teman wanita salah seorang pemuda tersebut. Fazrul mengejar peragut
begnya sehingga bertarung di sarang penagih dadah tersebut. Dia dibantu oleh
Adam dan Amat.
Kebetulan Fazrul merupakan anggota JBPM, Jalan Hang Tuah. Adam dan Amat
yang memohon jawatan tersebut, lulus temuduga dan dipanggil bertugas di balai
yang sama.
Satu lagi kebetulan apabila Amylia (Elisya Sandha) juga bertugas di balai tersebut.
Dia pernah menyelamatkan Fazrul semasa tragedi kebakaran di maahad tahfiz
tersebut. Fazrul mengajar sambilan di sekolah itu sebelum menyertai JBPM.
Terdapat juga kebetulan di luar filem berdurasi 90 minit ini. Hisyam Hamid popular
sebagai anggota bomba dalam ‘Abang Bomba I Love You’ di saluran Astro Ria.
Walau bagaimanapun, filem ini tiada kaitan dengan drama rantaian tersebut, dan
drama rantaian ‘Hero’ di TV2.
Kebaikan (putih/suci) dan kejahatan (hitam/kotor) kerap dipaparkan dalam filem.
Master Samiri (Datuk Jalaludin Hassan) dalam HJBP ialah ketua kongsi gelap
antarabangsa. Wataknya merupakan lambang bagi kejahatan sejak dari mula dunia
sehingga kiamat. Dia sudah hidup beratus tahun. Cuma, hal itu tidak disebut dalam
HJBP. Setelah pihak media bertanya kepada Azizi, baru penjelasan dibuat. Namun
begitu, penonton yang mengkaji/memang mengetahui perkara berkenaan tiada
masalah. Wajah Master Samiri yang pucat seperti mayat membangkitkan persoalan
tersebut, dan juga boleh menjadi ‘kunci’ jawapannya.
Aktiviti penjualan tanah secara haram oleh kumpulan Master Samiri dapat dihidu
oleh Fazrul. Kumpulan tersebut juga menjadi dalang tragedi kebakaran di maahad
tahfiz yang dilaksanakan oleh dua orang konco (Jesse Lim dan Tauke Jambu).
Adegan selepas kredit (amat jarang dalam filem Melayu tempatan) yang memaparkan zombi (disebut zomba dalam filem ini oleh wartawan lokasi/lakonan
Darling Ngasree yang juga penerbit HJBP) kanak-kanak menyerang balai JBPM,
Jalan Hang Tuah juga mengandungi unsur siratan/sindiran. Adakah JBPM juga perlu
menangani kes zombi jika ada/berlaku?
Secara amnya, HJBP menjadi antara platform untuk penonton menghayati segala
pengorbanan anggota JBPM. HJBP turut mengangkat semangat patriotik yang mampu memberikan kesan-kesan positif, dan nilai-nilai murni kepada penonton, di
samping keberanian, kesetiaan, setia kawan, dan bangkit semula.


No comments:

Post a Comment