Pages

Thursday, 6 August 2020

SOSIAL


Kempen ‘Rapid KL Support  Lokal’















DALAM
usaha menyahut saranan kerajaan untuk menyokong para usahawan tempatan yang sedang bertungkus-lumus bangkit daripada impak penularan wabak Covid-19, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) melancarkan kempen ‘RapidKL Support Lokal’.

Kempen ini merupakan daya usaha Rapid KL mendukung usaha kerajaan mewujudkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau ringkasnya Penjana dengan tema ‘Bersama Menjana Ekonomi’.

Justeru, Prasarana mendukung teras kedua dan ketiga, iaitu membantu melonjakkan peniaga tempatan dengan hasrat merangsang ekonomi.

Pelancaran kempen ‘Rapid KL Support Lokal’ berlangsung di Kuala Lumpur pada 4 Ogos 2020 lalu yang disempurnakan oleh Timbalan Ketua Divisyen Komunikasi & Pemasaran Strategik Kumpulan Prasarana, Rafizah Amran.

Majlis tersebut juga diadakan untuk meraikan 30 pemenang peraduan Swafoto My100/My50 yang berlangsung pada Februari 2020 (sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19).

Kesemua pemenang memperoleh pas penggunaan selama setahun. Walau bagaimanapun, pemenang pertama turut menerima telefon bimbit, dan pemenang kedua memperoleh Ipad. Rafizah menyampaikan hadiah-hadiah kepada para pemenang yang hadir.

Menurut Rafizah, setakat ini telah Prasarana mengenengahkan Nasi Kahwin Hari-Hari yang berniaga di stesen MRT Bukit Bintang, Jiju’s Café (LRT Putra Heights), Berger KTM JulieSulp/Berger Stall Julie Suip (MRT Kajang), dan Nasi Kak Wa (bas Rapid KL 782, Pantai Dalam), serta The Ais Pyor.

Rafizah turut menyatakan keharuan serta kekagumannya atas kegigihan para usahawan berkenaan, dan yang lain meneruskan kelangsungan perniagaan  di tengah-tengah cabaran getir Covid-19/PKP.

Sehubungan itu, Rafizah menegaskan Prasrana berasa wajar untuk terus menyokong para usahawan makanan dalam kempen ‘Rapid KL Support Lokal’. Setakat ini, katanya, Prasarana menerima kira-kira 150 permohonan untuk menyertai kempen.

Oleh kerana lokal atau tempatan, pastilah hanya usahawan kelahiran tempatan sahaja yang diambil kira. Secara tidak langsung, usaha ini dapat mendorong semangat para usahawan tempatan agar kekal berusaha tanpa mengenal erti jemu, dan kecundang.

Prasarana, tambah Rafizah, berharap lebih ramai usahawan tempatan tampil dan berhubung dengannya agar dapat dibantu.

Seperti mereka, kata Rafizah lagi, Rapid KL juga terjejas teruk akibat Covid-19. Semasa puncak krisis, jumlah penumpang harian rel dan bas Rapid KL pernah menurun hingga 10 peratus. Justeru, Rapid KL dan Prasarana dapat merasai kesukaran yang usahawan hadapi.

Dengan pengikut lebih 214,000 di laman Facebook, lebih 146,000 di Twitter, dan 51,200 untuk akaun Instagram myrapidkl, Rapid KL percaya ia bukan sahaja dapat memberikan publisiti meluas untuk para pengusaha makanan berkenaan, tetapi juga menjadi platform untuk menarik lebih ramai warga kota menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana.

Disediakan secara percuma, tawaran dibuka kepada mana-mana pengusaha makanan yang beroperasi dalam lingkungan 500 meter dari stesen LRT, MRT, BRT, monorel, dan hab-hab bas. Selain promosi atas talian, pasukan media sosial Rapid KL akan turun padang untuk mencuba makanan-makanan yang disediakan dan membuat rebiu/ulasan di laman Facebook, Twitter, dan Instagram.

 

Nasi Kahwin Hari-Hari / MRT Bukit Bintang

 

Gerai milik pengusahanya, Rudi Farique berhampiran Pintu F (Jalan Sultan Ismail) ini dibuka mulai jam 10 pagi dari Isnin hingga Sabtu. Nasi Kahwin Hari-Hari menawarkan tiga jenis menu, iaitu ayam madu dua, daging masak hitam, dan ayam rose terangkat.

Pada harga RM8.50, pelanggan turut menikmati air free-flow. Selain itu, ada air batu campur atau ABC di Gerai Nasi Kahwin Hari-Hari pada harga hanya RM3 sahaja.

Nasi Kahwin Hari-Hari merupakan resipi turun-temurun sejak 40 tahun lalu. Ia mula bertapak di Bukit Bintang pada 2018, apabila Rudi meneruskan perniagaan ayah saudaranya.

 

Jiju’s Café/ LRT Putra Heights

 

Premis ini terletak kira-kira lima minit berjalan kaki dari stesen LRT Putra Heights. Pelanggan yang menggemari kek pandan pula Melaka - tidak terlalu manis dengan tekstur yang gebu, biscoff, dan rose lime boleh menikmatinya di sini. Selain kek, ada pelbagai jenis tart dan brownie.

Sejak 2019, kafe ini dibuka mulai jam 10 pagi hingga 7 malam dari Selasa hingga Ahad. Jiju mengusahakan perniagaan ini bersama-sama suaminya di rumah mereka sejak Mac 2013. Mereka bermula dari minat.

 

Berger KTM/ MRT Kajang

 

Terletak tidak jauh dari eskalator Pintu B stesen MRT Kajang, berger milik Suip Ahmad ini ‘harga tepi jalan’, tetapi rasanya seperti ‘di dalam mahligai’! Perniagaannya dijalankan setiap hari dari jam 5 petang hingga 12 tengah malam.

Sebenarnya, Suip orang kelainan upaya. Dia menjual pelbagai jenis menu termasuk roti John dan oblong dengan menggunakan motosikal.

Walaupun terpaksa menggunakan kaki palsu akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya, tetapi Suip tidak patah semangat untuk terus berniaga.

Berniaga sejak 2013, Suip menawarkan kombinasi daging unta, kambing, rusa berserta telur yang dicelup sos perapan lada hitam, dan keju hingga kelihatan agak eksotik.

Pelanggan boleh mendapatkan burger benjo pada harga serendah RM2.50. Bersempena dengan sambutan ulang tahun perniagaannya yang ketujuh, Suip menawarkan diskaun istimewa kepada pengguna Rapid KL.


Nasi Kak Wa/ Bas Rapid KL 782, Pantai Dalam

Mohd Arpashaz Abdul Rahim mengusahakan perniagaan ini dengan mengambil nama isterinya, yang dipanggil Kak Wa.

Terletak di Pantai Dalam sejak 2015, Nasi Kak Wa menawarkan resipi istimewa untuk sambal cili ayam cencang, dan nasi dagang yang lazat memikat, pada harga hanya RM5 sepaket.

Bermula dari jam 8 pagi, Nasi Kak Wa turut menyediakan masakan Kelantan seperti nasi dagang ikan tongkol, dan daging kerutuk.


No comments:

Post a Comment