Pages

Thursday, 13 August 2020

 

ALBUM, TABUNG JIM MADASAMY YANG PRIHATIN

 


PEMAIN
bass kumpulan legenda tanah air, Blues Gang,Jim Madasamy memasang impian besar menterjemahkan lagu-lagu ciptaannya ke dalam sebuah album istimewa versi bahasa Tamil. Menurut Jim, muzik blues perlu dikomersialkan kepada masyarakat India, memandangkan persoalan yang dibicarakan dalam muzik ini sentiasa berkait rapat dengan kehidupan harian mereka.

Cita-cita Jim itu cuba direalisasikan bersama-sama rakannya, Nelson Fernandez. Mereka telah merakamkan sepenuhnya apa yang dirancang. Namun begitu, beberapa halangan seperti kewangan, dan pasaran jualan album yang tidak begitu konsisten telah menangguhkan pelancarannya. Pada 2018, Jim meninggal dunia akibat kegagalan jantung ketika berusia 68 tahun.

Walaupun tertunda hampir 12 tahun, tetapi hasil karya tersebut tetap segar untuk dinikmati hingga ke hari ini. Selepas pemergian Jim, Nelson telah berbincang dengan Dato’ Freddie Fernandez, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) supaya album yang menjadi warisan Jim itu dapat dilancarkan sebagai memenuhi impian akhir, dan penghormatan untuknya. Album tersebut diharapkan dapat berada di pasaran dalam bentuk fizikal, dan digital serta mendapat tempat di media massa seperti radio.

Hajat tersebut akhirnya dapat dipenuhi apabila Datuk Seri Rajendran Ramasamy dari syarikat Amalan Setar (M) Sdn Bhd berminat membantu dengan menyuntik dana kewangan, dan membayar kos yang tertangguh di sepanjang pembikinan album itu.

Dari situ timbul pula idea mewujudkan tabung amal yang mengabadikan nama mendiang, iaitu ‘Tabung Prihatin Artis Jim Madasamy’ dengan matlamat membantu para artis yang menghadapi masalah keuzuran, dan kecemasan. Amalan Setar telah menyumbangkan RM100,000 sebagai modal keseluruhan bagi menyiapkan kerja-kerja, dan proses yang tertunda untuk album tersebut. Bakinya sebagai dana untuk tabung yang bakal diuruskan oleh Karyawan, dan balu mendiang Jim, Soo Leak Meng.

Mendiang Jim seorang yang sangat mudah mesra, dan suka bergaul tanpa sebarang perbezaan. Mendiang antara contoh asimilasi perpaduan yang di sepanjang hayatnya sering bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Sebagai contoh, Jim bersama-sama Blues Gang yang mendendangkan lagu dalam bahasa Melayu (seperti ‘Apo Nak Dikato’, ‘Khatulistiwa’, ‘Sakit Sakit Sakit’ dan ‘Oh Mama Saya mahu Kahwin’) yang popular. Mendiang sendiri berkahwin dengan wanita keturunan Cina.

Pada 11 Ogos 2020 lalu, berlangsung majlis pelancaran album dan tabung Jim Madasamy yang bertemakan ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’ itu di Panggung Eksperimen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara). Ia disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Nancy Abdullah, dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Wira Halimah Sadique.

Turut menghadiri majlis pelancaran tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Dr Noor Zari Hamat; Blues Gang yang diketuai vokalis utamanya Ito Mohd, penyanyi baharu, Bob Nathan; Nelson (penerbit album), Freddie, Rajendran, dan Leak Meng.

Ito turut menghiburkan hadirin dengan dendangan ‘Apo Nak Dikato’ bersama-sama kumpulan pelajar Fakulti Muzik Aswara, sambil meniup bangsi. Bob Nathan menyanyikan dua lagu daripada album dedikasi Jim berjudul Solla Vanthein itu. Album mengandungi 10 lagu itu juga memuatkan ‘Apo Nak Dikato’ versi Tamil.

Dalam majlis yang dikendalikan oleh pelakon komedi, Imuda itu, Dato’ Sri Nancy, dan Datuk Halimah turut menyampaikan sumbangan kepada artis-artis yang menghadapi masalah yang dinyatakan. Antara mereka ialah V. Sarangabani, Datin Paduka Julie Sudiro, Aspalela Abdullah, Zaiton Sameon, dan Elyana. Leak Meng turut menerima sumbangan yang disampaikan oleh Nancy, dan Halimah.

Album Solla Vanthein dipasarkan menerusi dalam talian, iaitu portal dan digital. Sebarang pertanyaan, sila hubungi Othman Mahmood dan Sheikh Qalam Records menerusi 017 5511255 atau e-mel othman@sheikhqalamrecords.com.

Dalam ucapannya, Nancy memuji lagu ‘Apo Nak Dikato’ dan ‘Oh Mama Saya Mahu Kahwin’ yang dinyanyikan dalam dialek Negeri Sembilan kerana menjadi contoh terbaik menjadikan muzik sebagai alat memupuk perpaduan, dan meningkatkan keharmonian antara kaum.

Nancy menegaskan bahawa Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Mostac) tidak pernah meminggirkan penggiat-penggiat seni tanah air, baik mereka yang berkecimpung dalam bidang seni, budaya dan warisan, mahupun bidang muzik, atau filem. Demikianlah, tambah Nancy, dalam masalah yang sedang dihadapi, iaitu Covid-19 yang menjejaskan mereka.

Menyedari keadaan tersebut, Mostac telah mengambil inisiatif membantu 243 badan bukan kerajaan (NGO) dalam bidang kesenian dan kebudayaan yang telah terkesan akibat Covid-19 dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Menurut Nancy, bantuan berjumlah RM668 ribu telah diagihkan untuk memberi peluang kepada NGO bangkit semula, dan terus berjuang mengangkat, dan memperkasakan martabat seni, budaya dan warisan yang merupakan tanggungjawab kita bersama-sama tanpa mengira di mana peringkat kerajaan.   

    

 

No comments:

Post a Comment