SASTERA BUDAYA
Malang bahasa hingga ke papan iklan
TELAH lama mata dan hati sakit melihat bahasa Melayu pada papan tanda perniagaan di seluruh negara. Apakah masalah sebenarnya hingga nasib bahasa tersebut begitu malang di negara sendiri?
Saya tidak kisah jika bahasa Melayu
bukan bahasa kebangsaan negara kita. Namun demikian, saya peduli dan marah kerana
bahasa Melayu langsung tidak seperti bahasa kebangsaan/rasmi/utama negara kita.
Seolah-olah bahasa yang kerap/banyak terpampang itulah yang bertaraf sedemikian!
Mengapa terjadi sedemikian, padahal
sudah lebih enam dekad negara kita mencapai kemerdekaan? Penggunaan bahasa
Melayu yang salah, saiz bahasa Melayu lebih kecil daripada saiz bahasa
lain/asing, malah paling menyedihkan/malang, ia tidak terpampang langsung telah
lama berlaku!
Banyak papan tanda perniagaan kepunyaan
syarikat/swasta seperti enggan menghargai/menghormati bahasa Melayu. Pemiliknya
tidak menggunakan bahasa Melayu yang tepat/betul, dan ada antara mereka menganggap
penggunaannya yang tepat/betul bukan syarat penting/wajib dalam perniagaan.
Bagi mereka, yang utama ialah perniagaan tetap laris, dan maju meskipun tidak
menggunakan bahasa Melayu yang tepat/betul.
Kesalahan penggunaan bahasa Melayu
pada papan tanda perniagaan merangkumi ejaan, dan nahu, dan bahasa rojak. Amat
dibimbangi perkara itu tiada kesudahan, dan tiada jalan penyelesaian. Belum lagi
dikira mereka yang langsung tidak tahu/tidak mahu menggunakan bahasa Melayu.
Antara contoh kesalahan ejaan
termasuklah pelancungan, kelinik, pamiran, restoren, stesyen, dan perabut.
Sepatutnya nama-nama yang disebutkan ini dieja sebagai pelancongan, klinik,
pameran, restoran, stesen dan perabot.
Kesalahan juga terlihat pada
penggunaan sendi ‘di’. Kesalahan yang tidak pasti adakah si pelakunya tidak
tahu, atau keliru kerap ditemui. Contohnya, ‘Ada Di Jual Di Sini’, ‘Ada Dijual
Disini’, ‘Rumah Untuk Di Sewa’, ‘Rumah Untuk Di Jual’, dan sebagainya.
Sepatutnya yang betul ialah ‘Ada Dijual di Sini’, ‘Rumah untuk Disewa’, dan ‘Rumah
untuk Dijual’.
Antara contoh kesalahan nahu (terpaksa
menyebut yang memang wujud) ialah ‘Amal Koresponden Sendirian Berhad’, ‘Sarata
Ekspres Sendirian Berhad’, ‘Lim Tayar Sendirian Berhad’, ‘Restoran Arsyad Nasi
Kandar’, dan ‘Hong Leong Bank’.
Sepatutnya nahu yang betul ialah ‘Koresponden
Amal Sendirian Berhad’, ‘Ekspres Sarata Sendirian Berhad’, ‘Tayar Lim Sendirian
Berhad’, ‘Restoran Nasi Kandar Arsyad’, dan ‘Bank Hong Leong’.
Dalam hal ini ‘Bank Islam Malaysia
Berhad’, ‘Bank Simpanan Nasional’, dan ‘Hotel Istana’ antara yang wajar dipuji
kerana menggunakan bahasa Melayu yang tepat/betul ejaan, dan nahunya. ‘Bank
Islam’ sendiri turut menyertakan ejaan namanya dalam Jawi.
Satu kecenderungan yang kian
menjadi-jadi sekarang ialah nama dalam bahasa bercampur-aduk atau bahasa rojak.
Tentulah bahasa Inggeris yang dijadikan ‘rakan’ bahasa Melayu. Kenapa ‘Maju
Junction’ dan bukan ‘Simpang Maju’? Ada pula yang menggunakan nama ‘Asam Pedas Claypot’. Tidak lazat agaknya jika dalam
bahasa Melayu!
Antara yang paling biasa juga ialah
perkataan ‘the’. Kelakarnya, ‘the’ itu pula diubah menjadi ‘de’ atau ‘d’’.
Jadi, bukan bahasa Melayu sahaja, bahasa Inggeris pun dicemari. Contohnya ‘D’Saji
Panazz’, dan ‘D’Tebing Klasik’. ‘Panazz’ itu asalnya perkataan ‘panas’ - bahasa
Melayu. Mengapa menjadi ‘panazz’?
Antara contoh yang tidak menggunakan
bahasa Melayu ialah ‘Pertama Complex’,
‘Pak Uda Café’, ‘My Real Café’, ‘Muaz
Wholesale Emporium’, ‘Office Space For
Rent’, dan ‘New Intake’. Apakah ia
akan kurang sambutan jika menggunakan nama ‘Kompleks Pertama’, ‘Kafe Pak Uda’,
‘Kafe Sebenarku’, ‘Emporium Borong Muaz’, ‘Ruang Pejabat untuk Disewa’, dan ‘Pengambilan
Baharu’?
Antara contoh saiz bahasa Inggeris
lebih besar daripada bahasa Melayu ialah ‘My
One Shop’, ‘Madeleine Kindergarten’,
dan ‘The Health + Care Shop’. Saiz nama ‘Kedai Serbaneka’ untuk ‘My One Shop’, ‘Tadika Madeleine’ (‘Madeleine Kindergarten’, dan ‘Kedai
Peralatan Kesihatan’ (‘The Health + Care
Shop’) lebih kecil.
Terdapat juga yang berbunyi aneh
seperti ‘KL Sentral’ dan ‘Pudu Sentral’ yang bahasa Melayu bukan, bahasa
Inggeris pun bukan. Kalau mahu menggunakan bahasa Melayu, sepatutnya ialah ‘Sentral
KL’ dan ‘Sentral Pudu’. ‘Sentral’ itu daripada perkataan Inggeris, central yang bermaksud tengah atau pusat.
Ia diMelayukan menjadi ‘sentral’.
Justeru, yang sebetulnya ialah ‘Sentral
KL’ dan ‘Sentral Pudu’ jika pun tidak mahu menggunakan nama ‘Pusat KL’, dan
‘Pusat Pudu’.
Sepatutnya pihak yang berwewenang
seperti pihak berkuasa tempatan mahu/dapat bertindak, atau memiliki/diberikan kuasa
menghalang pencemaran bahasa kebangsaan sedemikian. Tidak sepatutnya hal
negatif dalam penggunaan bahasa Melayu berlaku.
Tidak bererti selalu menekankan
bahawa bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan jika ia terus
lemas dihimpit oleh rakyat yang tidak tahu/tidak mahu mendaulatkannya
(menggunakannya dengan betul). Natijahnya, matlamat kerajaan untuk mewujudkan
perpaduan kebangsaan tidak akan tercapai.
Impian untuk mewujudkan satu bangsa
Malaysia yang berperibadi sendiri, berjiwa dan memiliki satu bahasa juga tidak
akan menjadi kenyataan. Papan tanda perniagaan hanya sebahagian daripada usaha
itu, tetapi tetap berperanan besar.
Dalam sebuah wacana bahasa di Rumah
PENA tidak lama dahulu, dua daripada tiga orang ahli panelnya turut memberikan
pandangan mengenai krisis bahasa Melayu di negara ini. Jamalee Bashah dari The
Patriots kesal kerana bahasa Melayu di Malaysia masih menghadapi masalah yang
sama. Dengan sikap rakyat yang kelihatan meremehkan bahasa Melayu sebagai
bahasa kebangsaan, Jamalee percaya 50 tahun lagi pun masalah bahasa Melayu
tidak akan selesai.
Tegas Jamalee, oleh sebab perjuangan
menegakkan bahasa Melayu kini semakin sukar, beliau berharap semua pihak,
termasuk pemimpin kerajaan dapat sama-sama memartabatkan bahasa tersebut agar
terus mantap sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan.
Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor
(pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia) pula kesal kerana
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah kembali menjadi bahasa etnik,
iaitu bahasa orang/kaum Melayu sahaja.
Dr Muhamad Nadzri menyetujui
pandangan Jamalee bahawa usaha penyatuan rakyat Malaysia boleh lebih mudah
menerusi bahasa berbanding yang lain. Bahasa, katanya, seperti kuah kacang yang
melazatkan rasa rojak. Rojak dijadikan contoh kerana ia lambang kepelbagaian
etnik di negara kita. Kuah kacang yang lazat sebagaimana bahasa (Melayu) yang
mantap boleh digunakan oleh semua kaum di Malaysia.
No comments:
Post a Comment