SASTERA BUDAYA
Ramai pandang
remeh sendi kata
ADA tokoh
kebahasaan negara mengatakan hanya dalam urusan dan surat rasmi sahaja kita
rakyat Malaysia mesti/perlu menggunakan bahasa Melayu yang tepat/betul.
Benarkah begitu? Kalau tidak, adakah kita boleh berbahasa apa pun, atau dalam
bahasa Melayu pasar, bercampur-aduk/rojak, dan lintang-pukang?
Menurut tokoh itu, Prof Dr Abdullah Hassan, penggunaan
bahasa Melayu standard hanya dalam
urusan dan surat rasmi sahaja. Kalau dalam urusan biasa seharian/tidak rasmi,
kata Dr Abdullah, boleh ada kelonggaran.
Walau bagaimanapun, saya pasti Dr Abdullah mahu semua rakyat
Malaysia bertutur dalam bahasa Melayu penuh, meskipun tidak teratur, dan bukan
bahasa Melayu bercampur-aduk, atau bahasa rojak.
Saya fikir, memang lebih baik kalau kita rakyat Malaysia
menggunakan bahasa Melayu
yang tepat/betul dalam semua urusan. Itu tanda kita
memartabatkannya sebagai bahasa kebangsaan. Meskipun diberikan ‘kelonggaran’,
tidak salah jika ada antara kita yang masih mahu bertegas. Itu lebih
menunjukkan keprihatinan, dan semangat kecintaan terhadap bahasa kebangsaan.
Berdasarkan pemerhatian saya (atau ramai yang lain juga),
kesalahan lazim yang sering dilakukan ialah dalam penggunaan ‘di’, ‘dari’, dan ‘daripada’.
Ia susah dan mengelirukan? Jika benar-benar minat dan
prihatin, ia masalah kecil sahaja. Kita tidak akan keliru.
Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak tahu/keliru
dengan ‘di’ didekatkan dan
‘di’ dijauhkan. Justeru, ramai yang menulis atau banyak perkataan
pada papan tanda seperti ‘Rumah Untuk Di Jual’, ‘Disini Ada Permaidani’, ‘Kereta
Sewa Disini’, dan ‘Santan Di Jual Disini’.
Padahal yang sepatutnya ditulis ialah ‘Rumah untuk
Dijual’, ‘Di Sini Ada Permaidani’, ‘Kereta Sewa di Sini’, dan ‘Santan Dijual di
Sini’.
Masih ada dan saya fikir terlalu ramai yang tidak tahu,
malah tidak menghiraukan ‘di’ didekatkan atau ‘di’ dijauhkan itu. Mereka tidak
tahu/tidak peduli apa alasan ‘di’
didekatkan, dan ‘di’ dijauhkan.
Ingin dimaklumkan kepada yang belum/tidak tahu, dan
pengulangan untuk yang telah
mengetahui, ‘di’ didekatkan hanya untuk perbuatan sahaja
– ‘bangun kena buat’.
Contohnya, ‘dijual’, ‘dibeli’, ‘dimasak’, ‘dimakan’,
‘ditulis’, ‘dibaca’, ‘dilukis’, ‘diambil’, ‘dikirimkan’, ‘disampaikan’, dan
‘dipandu’.
‘Di’ dijauhkan pula menandakan arah, dan kedudukan atau
lokasi/tempat berada sahaja. Beberapa contoh termasuklah ‘di atas’, ‘di bawah’,
‘di hadapan’, ‘di belakang’, ‘di kanan’, ‘di kiri’, ‘di dalam’, dan ‘di luar’.
Lebih malang apabila ramai juga yang menulis atau menyebut
‘kat’ dan/atau ‘dekat’,
bukan menggunakan ‘di’. Mereka tidak tahu ‘kat’ itu berasal/kependekan
daripada
perkataan ‘dekat’ yang bermaksud ‘hampir’? ‘Hampir’
bukanlah kedudukan yang tepat,
sebaliknya terletak berdekatan atau berhampiran sahaja.
Justeru, yang mana lebih betul?
‘Di’ yang lebih betul. Belum lagi yang menggunakan @ atau
‘at’.
‘Kat’ atau ‘dekat’ selalunya disebut secara lisan, atau ketika
berbual. Perkara tersebut telah menjadi kebiasaan sejak sekian lama. Perkara
yang salah/songsang memang telah
menjadi kebiasaan, atau dibiasakan dalam/oleh masyarakat
negara kita.
Antara ‘dari’ dengan ‘daripada’ juga mengelirukan ramai
orang/pengguna bahasa Melayu. Memang ramai juga yang tidak tahu dan tidak peduli.
Bagi mereka, yang penting ialah orang ramai/rakan faham apa yang dimaksudkan.
Bukan sahaja dalam tulisan. Perbualan atau ucapan
rasmi/tidak rasmi juga selalu menyebut ‘daripada’ untuk yang sepatutnya ‘dari’.
Terlalu sukar untuk membezakannya?
Sebenarnya, tidak susah meskipun ia bergantung pada daya
ingatan, dan daya kefahaman.
Untuk peringatan juga kepada mereka yang memang
mengetahui, dan memberitahu
mereka yang belum tahu/keliru, ‘dari’ hanya digunakan
untuk arah atau kedudukan
tempat sahaja.
Contohnya, ‘Penyanyi terkenal tanah air, Dato’ Sri Siti
Nurhaliza berasal dari
Pahang.’, ‘Budak itu datang dari keluarga yang
porak-peranda.’, dan ‘Suara
menyeramkan itu datang dari dalam belukar di sana’,
dan ‘Ahmad telah bekerja dari jam
8.00 pagi tadi tanpa rehat.’
‘Daripada’ pula untuk pemberian manusia, atau bahan yang
diambil dalam sesuatu
sumber seperti buku, artikel, lirik, atau bahan rujukan,
dan sebagai perbandingan
sifat/sikap manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, dan ciptaan
(makanan, minuman,
peralatan, bangunan, kenderaan, dan sebagainya).
Contohnya, ‘Makanan enak itu diperbuat daripada
beras pulut, santan kelapa, gula,
dan garam’, ‘Kata-kata itu dipetik daripada novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur,
karya Sasterawan Negara Allahyarham Keris Mas.’, dan ‘Para
pelakon filem itu terdiri
daripada bintang filem yang berpengalaman luas.’.
Dalam perbandingan sifat/sikap pula, lihat beberapa
contoh seperti ‘Tubuh si adik lebih
besar daripada tubuh si kakak.’, ‘Pasukan Thailand
berada di kedudukan yang lebih baik
daripada pasukan Malaysia.’, ‘Kuih yang dibuat
oleh kakak saya lebih lazat daripada
kuih yang dibeli.’, ‘Nada suara penyanyi wanita lebih
tinggi daripada nada suara
penyanyi lelaki.’, dan ‘Kereta merah itu lebih mahal daripada
kereta hijau ini.’
No comments:
Post a Comment