SASTERA BUDAYA
Pelajar Sastera Relevan
di Mana Sahaja
LEDAKAN revolusi industri
4.0 yang melanda negara sejak tahun 2018 telah menggalakkan kaedah pembelian
menerusi dalam talian, dan kian rancak semasa
pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan akibat wabak
pandemik Covid-19.
Karyawan, pengkaji, pengkritik dan peminat sastera tidak terkecuali
dalam hal ini.
Dalam masa yang sama, mereka bimbang dengan kedudukan
kesusasteraan tanah
air. Meskipun ramai dalam kalangan mereka menjangkakan kegelapan,
tetapi masih
ada yang yakin kesusasteraan negara akan kekal relevan
dalam cabaran revolusi
industri 4.0.
Antaranya ialah Prof Dr Mohamad Mokhtar Abu Hassan.
Sebagai panel penggubal
subjek Kesusasteraan Melayu Komunikatif (KMK), Prof Dr
Mohamad ada hujah,
dan alasan kukuh. Hampir semuanya beliau nyatakan ketika
menjadi pembicara
dalam Wacana Sastera anjuran Bahagian Penyelidikan
Sastera, DBP pada 24 Julai
2020 lalu, yang membincangkan soal Kesusasteraan Melayu
Komunikatif
Menyantuni Era Revolusi Industri 4.0.
Dalam wacana yang dimudahcarakan oleh Ketua Bahagian
Penyelidikan Sastera
DBP, Abang Haliman Abang Julai di Anjung DBP itu, Dr
Mohamad memberitahu
ada bekas pelajarnya yang bekerja sebagai pengurus bank. Tegas
beliau, itu hasil
pengajaran dan pembelajaran dalam Kertas 3 KMK yang lebih
luas bidangnya
kerana turut melihat pembangunan insan, dan pembangunan
negara.
Dalam kertas itu, tambah Mohamad, pelajar membaca karya
sastera yang
diwajibkan seperti novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur karya Sasterawan
Negara pertama, Keris Mas, dan Sulalat u’s-Salatin.
Menurut Mohamad, biarpun menjadi keluhan ramai kerana menyukarkan
jika kurang
membaca, tetapi ia amat bermanfaat kerana aspek-aspek di
luar sastera dapat
diketahui. Kertas 3 KMK yang mengandungi multimedia
diminati ramai. Kaedah
menulis dan menyunting karya dengan menulis atau menaip
menggunakan mesin
taip, digantikan oleh penggunaan komputer.
Pelajar, jelas Mohamad, memperoleh lebih kepakaran kerana
mereka turut
mempelajari hal pengurusan, selain multimedia, dan ada
kreativiti. Itu dapat
mempertingkat pengetahuan pelajar tentang KMK melalui
penghayatan karya, bina
insan, dan pembangunan kreativiti berasaskan teks sastera
terpilih.
Jelas Mohamad, pelajar dapat mengapresiasi karya
kesusasteraan, mengkaji dan
menelusuri ilmu kesusasteraan, serta penerapan ilmu
bantu; menghuraikan konsep
sastera dan pembangunan meliputi pembangunan insan,
masyarakat, dan negara
berasaskan teks sastera terpilih, menghasilkan karya
kreatif, menyunting karya
kreatif, menguasai dan menghuraikan prinsip pengurusan
dalam organisasi sastera;
mengkaji dan memahami ilmu pengurusan dalam karya; dan
menguasai serta
mengaplikasikan elemen multimedia dalam teks sastera
terpilih.
Fokus utamanya ialah untuk merangsang pertumbuhan, dan
perkembangan sahsiah
dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani;
kepercayaan dan kepatuhan kepada
Tuhan; patriotisme, kenegaraan, nilai murni, estetik,
budi bahasa, ketahanan diri,
serta keutuhan pendidikan berasaskan teks sastera
terpilih, di samping menerokai
disiplin, mengkomunikasikan ilmu, penulisan kreatif,
prinsip pengurusan, dan elemen
multimedia dalam sastera.
Mengenai unsur pengurusan dalam karya sastera, Mohamad
memberi contoh kisah
dua orang guru besar berkonflik akibat masalah pelajar.
Pelajar KMK boleh
mempelajari bagaimana konflik itu diuruskan. Mereka juga boleh
melihat kisah sang
kancil dengan jin untuk mengkaji kebijaksanaan binatang
tersebut menangani
keganasan jin itu yang banyak memakan binatang. Perenungan
dan pembelajaran
itu boleh dimanfaatkan ketika bekerja, termasuk dalam era
industri 4.0.
KMK bertujuan menggantikan Sukatan Pelajaran
Kesusasteraan Melayu yang
digunakan sejak peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan
Malaysia (STPM) pada tahun
2003. Peperiksaan STPM tahun 2012 menjadi peperiksaan
pertama yang
menggunakan KMK. Penggubalan KMK mengambil kira perubahan
oleh Majlis
Peperiksaan Malaysia (MPM) terhadap sistem peperiksaan
STPM sedia ada.
Melaluinya, pengajian di tingkatan enam dibahagikan
kepada tiga penggal, dan
calon akan menduduki peperiksaan pada setiap akhir
penggal. MPM
memperkenalkannya untuk memperbaiki orientasi pengajaran,
dan pembelajaran di
tingkatan enam agar tidak jauh berbeza dengan orientasi pengajaran,
serta
pembelajaran di kolej, dan universiti.
Dalam aspek penghayatan, jelas Mohamad, pembelajaran
meneliti analisis teks
prosa dan puisi Melayu. Aspek sastera dan pembangunan
pula ditelusuri melalui
teks karya agung dan novel terpilih, sementara aspek kreativiti
melihat penulisan
kreatif, pengurusan, dan multimedia dalam sastera.
Mohamad berharap DBP dapat berperanan mengubah tanggapan
buruk masyarakat
terhadap KMK dengan memperbaik kekurangan. Beliau juga berharap
guru-guru
tidak lagi menganggap kesusasteraan tiada masa hadapan.
Pelajar kesusasteraan
Melayu jangan lagi dianggap “pelajar bermata merah”. Mereka,
tegas Mohamad,
boleh hidup di mana pun kerana memiliki banyak kepakaran.