SASTERA BUDAYA
Solidariti PAKSI/Tekad
Budaya Bersama Gerak Budaya
MENURUT Dato’ Dinsman, acara ‘Solidariti dengan
Gerak Budaya: Bebaskan Minda Rakyat’ ini diadakan kerana terpanggil oleh isu My Story: Justice In The Widerness,
karya mantan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Buku kontroversi ini menyebabkan penerbitnya, Gerak
Budaya mendapat tekanan pihak berkuasa. Pemilik Gerak Budaya, Chong Tong Sin
disiasat oleh PDRM, dan SPRM.
Mantan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pernah
membuat laporan polis terhadap Tommy atas dakwaan melakukan tiga kesalahan di
bawah Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).
Tommy turut mendedahkan beberapa perkara sulit yang
masih tertakluk di bawah undang-undang kerahsiaan negara, termasuk perbincangan
dalam mesyuarat Kabinet dan urusan berkaitan jawatannya selaku Peguam Negara
ketika itu.
Tambah Apandi, pendedahan Tommy merupakan kesalahan
mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan.
Buku setebal 500 halaman ini menceritakan pencapaian
dan kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan terdahulu, pendakwaan ahli perniagaan
buruan Low Taek Jho dan 1MDB, ekstradisi pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik,
dan peletakan jawatan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tegas Dinsman yang juga Presiden Seniman Paksi
Rakyat (PAKSI), tekanan dan ancaman pihak berkuasa di bawah Kerajaan Perikatan
Nasional (PN) ke atas Chong ini mendorong beliau dan rakan-rakan dalam PAKSI
tampil menyatakan sokongan.
Acara di Rumah Gerak Budaya pada 13 Mac lalu itu
adalah tanda kebersamaan PAKSI terhadap Chong, atau lebih mesra dipanggil Pak
Chong, bukan sahaja kerana kawan rapat, tetapi juga ingin menghargai segala
usahanya selama ini sebagai penerbit buku pelbagai bahasa, termasuk bahasa
Melayu.
Dinsman mengucapkan tahniah kepada Pak Chong kerana
berani menerbitkan buku dalam genre yang penerbit lain tidak mahu/suka
terbitkan.
Bagi Dinsman, Pak Chong dan Gerak Budaya lebih
berjaya daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana mampu menjual buku.
Dengan segala kemampuan yang dimiliki sebagai penerbit, DBP tidak berjaya
menjual buku terbitannya.
Sementara itu, Hasni Abas sebagai penggerak acara
berkenaan, memberitahu perkenalannya dengan Pak Chong adalah secara tiba-tiba
selepas membaca sebuah buku terbitan Gerak Budaya.
Dalam ucapannya, Setiausaha PAKSI itu juga mengagumi
dan menghargai segala usaha Pak Chong sebagai penerbit buku yang bagi ramai
orang, ‘kerja cari mati’.
Tegas Hasni, Pak Chong boleh dianggap sebagai
legenda dan wajar dihormati. Memang aneh kerana beliau bukan Melayu yang banyak
menerbitkan buku dalam bahasa Melayu.
Banyak penerbit, tambah Hasni, menerbitkan buku teks
sekolah yang sudah pasti ada pasaran. Walau bagaimanapun, Gerak Budaya Pak
Chong tidak mengambil langkah yang sama.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAKSI, Kassim
Muhamad; Ketua Penerangan PAKSI, Mohamed Nasser Mohamed, dan ahli-ahli PAKSI
lain seperti Yassin Salleh; Syed Shahir Syed Mohamud, Dr Norzuraina Mohd Nor,
Salwah Abdullah, dan Chan Yong Sin, serta Lim Hong Siang, Chin Seng Fong, Abdul
Halim Ali, Raja Yusoff Ariffin, Raja Ahmad Aminullah, dan Pak Chong sendiri.
Shariffah Khadijah yang juga ahli PAKSI bertindak
sebagai pemudah cara.
Syed Shahir sempat bergurau dengan mengatakan beliau
tidak menyampaikan perutusan, sebaliknya penegasan dan bantahan terhadap sikap
buruk penguasa.
Dalam menghadapi tekanan pemerintah, tegas Syed
Shahir, rakyat perlu bersikap sebagaimana yang pejuang menentang penjajahan
dahulu lakukan.
Begitulah juga dalam isu yang melanda Pak Chong dan
Gerak Budaya. Rakyat, termasuk para seniman perlu bersikap menentang kezaliman
tersebut.
Sambil menyanjung usaha dan keberanian Gerak Budaya
di bawah pimpinan Pak Chong, Syed Shahir turut berharap ada muka baharu yang
akan tampil meneruskan perjuangan.
Lim Hong Siang yang juga kolumnis dan editor
mengagumi kewujudan Gerak Budaya kerana negara kita memang memerlukan penerbit
yang tidak hanya mengikut arus perdana.
Baginya, Gerak Budaya memang istimewa kerana turut
menawarkan idea dan perspektif yang berbeza dalam kegiatannya.
Hong Siang mengagumi Gerak Budaya yang tidak
mempedulikan akta-akta yang mengongkong. Katanya, ada penerbit yang tetap lemah
walaupun tiada akta yang mengekang.
Kassim pula memuji Dinsman yang berani menentang
ahli jawatankuasa PENA yang memburuk-burukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dua
dekad lalu.
Mengenai Gerak Budaya dan Tekad Budaya, Kassim
menegaskan kesungguhan bertindak disebabkan dorongan dan kepercayaan sehingga
sesuatu tindakan itu tertegak sebagai amalan hidup, bukan kerja yang mudah.
Katanya, ia cukup mencabar lantas memerlukan tenaga
dan kesabaran yang tinggi. Kassim juga mengakui ia bukan satu tindakan yang
popular.
Sebagaimana kata Dinsman, Kassim menegaskan Paksi
telah memilih untuk ‘berkata benar’ dan mengangkat ‘tekad’, iaitu Tekad Budaya sebagai
landasan perjuangannya.
Tekad atau will
adalah kesungguhan bertindak sehingga ia menjadi tabiat kehidupan, menuntut
semangat istiqomah yang tinggi. Tegas Kassim, PAKSI menyedari makna, cabaran dan
kesan hala tuju perjuangannya.
Yassin menganggap acara yang diadakan ini bukan
membantah atau kegiatan unjuk rasa kerana ada kekangan Proklamasi Darurat.
Sebaliknya, kata Yassin, ia manifestasi Ziarah
Karyawan (badan seni yang turut dianggotainya selain PAKSI), PAKSI dan para
seniman tanah air.
Solidariti ini, tegas sutradara filem veteran itu,
adalah lanjutan kepada perjuangan sebelumnya yang tidak pernah berhenti.
Mohamed Nasser pula menyatakan kehairannya dengan
dasar-dasar Kerajaan PN yang jelik. Katanya, semakin banyak peraturan dan undang-undang
yang aneh, dan kelakar. Dia turut mengecam sikap double standard dan dua darjat dalam pelaksanaan undang-undang.
Walaupun menganggap solidariti yang diadakan ini
kecil, tetapi ia tetap penting sebagai tanda kecaknaan bersama-sama.
Yong Sin dalam ucapannya yang ringkas berbangga
kerana Pak Chong yang kini dianggap wira ialah rakan senegeri sebagaimana juga
Hasni – Johor.
Norzuraina mengakui dia menyertai PAKSI kerana badan
ini berani bercakap perkara yang benar, meskipun dikekang.
Sambil menegaskan ada juga beberapa perkara mengenai
PAKSI yang tidak dipersetujuinya, namun dia tidak akan ke mana-mana, dan
berharap badan ini kekal di landasan pilihannya. Salwah turut menceritakan sejarah
perkenalannya dengan PAKSI, iaitu menerusi tabloid Harakah yang menyiarkan tulisan Dinsman.
Katanya, dia mendapatkan Harakah semata-mata kerana mahu membaca kolum aktivis teater
terkenal tanah air itu.
Masih bertugas sebagai guru, Salwah bercadang untuk
bersara lebih awal kerana mahu bebas daripada kekangan sebagai penjawat awam.
Semua peserta solidariti tersebut tegas menyatakan
sokongan terhadap Gerak Budaya/Pak Chong, dan sekali gus Tekad Budaya.
Sebagai tanda komitmen dan iltizam tersebut, kesemua
yang hadir sama-sama membaca Perisytiharan Tekad Budaya yang diketuai Hasni,
sebelum acara berakhir.
Antara lain perisytiharan itu berbunyi:
Bahawa kami
Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) yang mewakili para seniman dan cendekiawan
Malaysia dengan ini mengumumkan sebuah Tekad Budaya yang menyatakan pendirian,
cita-cita dan keyakinan terhadap Dasar Kebudayaan Kebangsaankami.
Kepada kami,
Tekad Budaya adalah perjuangan untuk mengangkat martabat hidup manusia. Dengan
tujuan kehidupan manusia akan menjadi lebih baik, dan sempurna.
Dalam perjuangan
melaksanakan Tekad Budaya, kami berusaha dengan bersungguh-sungguh dan jujur
agar seluruh rakyat Malaysia mendukung cita-cita supaya kebebasan, keadilan dan
kesaksamaan dalam berkarya diberikan hak dan kedudukannya.
Kami berharap
kebebasan, keadilan dan kesaksamaan menjadi tunjang dalam mengangkat martabat
diri kita sebagai rakyat Malaysia.
Dalam usaha
memperjuang Tekad Budaya, Rukun Negara adalah falsafah kebudayaan kami.
Solidariti untuk
Gerak Budaya,
Petaling Jaya,
13 Mac 2021.
No comments:
Post a Comment