SASTERA BUDAYA

 

Solidariti PAKSI/Tekad Budaya Bersama Gerak Budaya

 

MENURUT Dato’ Dinsman, acara ‘Solidariti dengan Gerak Budaya: Bebaskan Minda Rakyat’ ini diadakan kerana terpanggil oleh isu My Story: Justice In The Widerness, karya mantan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Buku kontroversi ini menyebabkan penerbitnya, Gerak Budaya mendapat tekanan pihak berkuasa. Pemilik Gerak Budaya, Chong Tong Sin disiasat oleh PDRM, dan SPRM.  

Mantan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali pernah membuat laporan polis terhadap Tommy atas dakwaan melakukan tiga kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Tommy turut mendedahkan beberapa perkara sulit yang masih tertakluk di bawah undang-undang kerahsiaan negara, termasuk perbincangan dalam mesyuarat Kabinet dan urusan berkaitan jawatannya selaku Peguam Negara ketika itu.

Tambah Apandi, pendedahan Tommy merupakan kesalahan mengikut Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972 dan Seksyen 203A Kanun Keseksaan.

Buku setebal 500 halaman ini menceritakan pencapaian dan kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan terdahulu, pendakwaan ahli perniagaan buruan Low Taek Jho dan 1MDB, ekstradisi pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik, dan peletakan jawatan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tegas Dinsman yang juga Presiden Seniman Paksi Rakyat (PAKSI), tekanan dan ancaman pihak berkuasa di bawah Kerajaan Perikatan Nasional (PN) ke atas Chong ini mendorong beliau dan rakan-rakan dalam PAKSI tampil menyatakan sokongan.

Acara di Rumah Gerak Budaya pada 13 Mac lalu itu adalah tanda kebersamaan PAKSI terhadap Chong, atau lebih mesra dipanggil Pak Chong, bukan sahaja kerana kawan rapat, tetapi juga ingin menghargai segala usahanya selama ini sebagai penerbit buku pelbagai bahasa, termasuk bahasa Melayu.

Dinsman mengucapkan tahniah kepada Pak Chong kerana berani menerbitkan buku dalam genre yang penerbit lain tidak mahu/suka terbitkan.

Bagi Dinsman, Pak Chong dan Gerak Budaya lebih berjaya daripada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kerana mampu menjual buku. Dengan segala kemampuan yang dimiliki sebagai penerbit, DBP tidak berjaya menjual buku terbitannya.  

Sementara itu, Hasni Abas sebagai penggerak acara berkenaan, memberitahu perkenalannya dengan Pak Chong adalah secara tiba-tiba selepas membaca sebuah buku terbitan Gerak Budaya.

Dalam ucapannya, Setiausaha PAKSI itu juga mengagumi dan menghargai segala usaha Pak Chong sebagai penerbit buku yang bagi ramai orang, ‘kerja cari mati’.

Tegas Hasni, Pak Chong boleh dianggap sebagai legenda dan wajar dihormati. Memang aneh kerana beliau bukan Melayu yang banyak menerbitkan buku dalam bahasa Melayu.

Banyak penerbit, tambah Hasni, menerbitkan buku teks sekolah yang sudah pasti ada pasaran. Walau bagaimanapun, Gerak Budaya Pak Chong tidak mengambil langkah yang sama.

Turut hadir ialah Timbalan Presiden PAKSI, Kassim Muhamad; Ketua Penerangan PAKSI, Mohamed Nasser Mohamed, dan ahli-ahli PAKSI lain seperti Yassin Salleh; Syed Shahir Syed Mohamud, Dr Norzuraina Mohd Nor, Salwah Abdullah, dan Chan Yong Sin, serta Lim Hong Siang, Chin Seng Fong, Abdul Halim Ali, Raja Yusoff Ariffin, Raja Ahmad Aminullah, dan Pak Chong sendiri.

Shariffah Khadijah yang juga ahli PAKSI bertindak sebagai pemudah cara.

Syed Shahir sempat bergurau dengan mengatakan beliau tidak menyampaikan perutusan, sebaliknya penegasan dan bantahan terhadap sikap buruk penguasa.

Dalam menghadapi tekanan pemerintah, tegas Syed Shahir, rakyat perlu bersikap sebagaimana yang pejuang menentang penjajahan dahulu lakukan.

Begitulah juga dalam isu yang melanda Pak Chong dan Gerak Budaya. Rakyat, termasuk para seniman perlu bersikap menentang kezaliman tersebut.

Sambil menyanjung usaha dan keberanian Gerak Budaya di bawah pimpinan Pak Chong, Syed Shahir turut berharap ada muka baharu yang akan tampil meneruskan perjuangan.

Lim Hong Siang yang juga kolumnis dan editor mengagumi kewujudan Gerak Budaya kerana negara kita memang memerlukan penerbit yang tidak hanya mengikut arus perdana.

Baginya, Gerak Budaya memang istimewa kerana turut menawarkan idea dan perspektif yang berbeza dalam kegiatannya.

Hong Siang mengagumi Gerak Budaya yang tidak mempedulikan akta-akta yang mengongkong. Katanya, ada penerbit yang tetap lemah walaupun tiada akta yang mengekang.

Kassim pula memuji Dinsman yang berani menentang ahli jawatankuasa PENA yang memburuk-burukkan Datuk Seri Anwar Ibrahim dua dekad lalu.

Mengenai Gerak Budaya dan Tekad Budaya, Kassim menegaskan kesungguhan bertindak disebabkan dorongan dan kepercayaan sehingga sesuatu tindakan itu tertegak sebagai amalan hidup, bukan kerja yang mudah.

Katanya, ia cukup mencabar lantas memerlukan tenaga dan kesabaran yang tinggi. Kassim juga mengakui ia bukan satu tindakan yang popular.

Sebagaimana kata Dinsman, Kassim menegaskan Paksi telah memilih untuk ‘berkata benar’ dan mengangkat ‘tekad’, iaitu Tekad Budaya sebagai landasan perjuangannya.

Tekad atau will adalah kesungguhan bertindak sehingga ia menjadi tabiat kehidupan, menuntut semangat istiqomah yang tinggi. Tegas Kassim, PAKSI menyedari makna, cabaran dan kesan hala tuju perjuangannya.

Yassin menganggap acara yang diadakan ini bukan membantah atau kegiatan unjuk rasa kerana ada kekangan Proklamasi Darurat.

Sebaliknya, kata Yassin, ia manifestasi Ziarah Karyawan (badan seni yang turut dianggotainya selain PAKSI), PAKSI dan para seniman tanah air.

Solidariti ini, tegas sutradara filem veteran itu, adalah lanjutan kepada perjuangan sebelumnya yang tidak pernah berhenti.

Mohamed Nasser pula menyatakan kehairannya dengan dasar-dasar Kerajaan PN yang jelik. Katanya, semakin banyak peraturan dan undang-undang yang aneh, dan kelakar. Dia turut mengecam sikap double standard dan dua darjat dalam pelaksanaan undang-undang.

Walaupun menganggap solidariti yang diadakan ini kecil, tetapi ia tetap penting sebagai tanda kecaknaan bersama-sama.

Yong Sin dalam ucapannya yang ringkas berbangga kerana Pak Chong yang kini dianggap wira ialah rakan senegeri sebagaimana juga Hasni – Johor.

Norzuraina mengakui dia menyertai PAKSI kerana badan ini berani bercakap perkara yang benar, meskipun dikekang.

Sambil menegaskan ada juga beberapa perkara mengenai PAKSI yang tidak dipersetujuinya, namun dia tidak akan ke mana-mana, dan berharap badan ini kekal di landasan pilihannya. Salwah turut menceritakan sejarah perkenalannya dengan PAKSI, iaitu menerusi tabloid Harakah yang menyiarkan tulisan Dinsman.

Katanya, dia mendapatkan Harakah semata-mata kerana mahu membaca kolum aktivis teater terkenal tanah air itu.

Masih bertugas sebagai guru, Salwah bercadang untuk bersara lebih awal kerana mahu bebas daripada kekangan sebagai penjawat awam.

Semua peserta solidariti tersebut tegas menyatakan sokongan terhadap Gerak Budaya/Pak Chong, dan sekali gus Tekad Budaya.

Sebagai tanda komitmen dan iltizam tersebut, kesemua yang hadir sama-sama membaca Perisytiharan Tekad Budaya yang diketuai Hasni, sebelum acara berakhir.

Antara lain perisytiharan itu berbunyi:

Bahawa kami Seniman Paksi Rakyat (PAKSI) yang mewakili para seniman dan cendekiawan Malaysia dengan ini mengumumkan sebuah Tekad Budaya yang menyatakan pendirian, cita-cita dan keyakinan terhadap Dasar Kebudayaan Kebangsaankami.

Kepada kami, Tekad Budaya adalah perjuangan untuk mengangkat martabat hidup manusia. Dengan tujuan kehidupan manusia akan menjadi lebih baik, dan sempurna.

Dalam perjuangan melaksanakan Tekad Budaya, kami berusaha dengan bersungguh-sungguh dan jujur agar seluruh rakyat Malaysia mendukung cita-cita supaya kebebasan, keadilan dan kesaksamaan dalam berkarya diberikan hak dan kedudukannya.

Kami berharap kebebasan, keadilan dan kesaksamaan menjadi tunjang dalam mengangkat martabat diri kita sebagai rakyat Malaysia.

Dalam usaha memperjuang Tekad Budaya, Rukun Negara adalah falsafah kebudayaan kami.

 

Solidariti untuk Gerak Budaya,

Petaling Jaya,

13 Mac 2021.

 

 

No comments:

Powered by Blogger.