Pages

Monday, 3 May 2021

 


SASTERA BUDAYA

 

 

KOPRATASA HARGAI LAGU RAYA PERTAMA, BERUSIA 85 TAHUN

 

 

MEMBAHARUKAN atau memberi nafas baharu kepada sesebuah lagu lama bukan sesuatu yang baharu, dan bukan juga mudah. Ada pelbagai sebab sesebuah lagu lama itu diperbaharu semula.

Kumpulan penyanyi lagu puisi unggul Malaysia selepas Harmoni, iaitu Kopratasa turut menambahkan khazanah lagu Hari Raya tanah air apabila merakamkan semula lagu ‘Selamat Hari Raya’, yang dipercayai merupakan lagu Hari Raya Eidulfitri terawal di negara kita, berdasarkan sumber yang layak dipercayai.

Kopratasa merasakan lagu lama mempunyai nilai sejarah tersendiri.

Inilah juga yang terdapat pada lagu ‘Selamat Hari Raya’, ciptaan Tengku Ali Basha @ Cik Ara Bangsawan. Lagu ini dipercayai adalah lagu Raya pertama untuk umat Melayu di Nusantara, dan juga dunia amnya. Lagu yang dicipta pada 1936 ini, telah membuka sejarah pada sambutan Hari Raya pada zamannya. Kopratasa merasakan amat rugi jika lagu ini dibiarkan lenyap ditelan zaman.

Berdasarkan pepatah ‘yang buruk (lama) diperbaharui, yang usang dikajangi’, Kopratasa berasa merakamkan semula lagu tersebut merupakan satu aktiviti melestarikan sebuah khazanah lama untuk tatapan semula generasi terkini.

Kopratasa telah mencadangkan kepada pihak Luncai Emas Sdn Bhd untuk merakamkan semula lagu ini. Persetujuan dicapai dan syarikat telah memberi kepercayaan kepada Hanafi Spider sebagai penerbit, dan kerja menyusun semula muzik lagu ini. Kopratasa pula menambah sedikit melodi baharu pada bahagian korus lagu ini, dan menyanyikannya dengan ‘cara Kopratasa’ sendiri.

Walaupun rakaman semula lagu Raya tersebut terdapat tambahan melodi, tetapi ia bukan bertujuan merosakkan lagu tersebut, sebaliknya memeriahkan lagi melodi tersebut untuk menepati konsep bergembira pada Hari Raya.

Inovasi melodi tersebut tidak mengganggu nilai asal lagu berkenaan. Melodi asal tetap dipelihara, senikatanya juga tetap dipakai seperti yang asal. Ia menjadikan lagu ini lebih catchy. Hasilnya menarik!

Kesemua rakaman dibuat di Studio Ronggeng, Luncai Emas Sdn Bhd dengan pemuzik undangan Tony Iskandar (bass), Mohar (seruling), dan Hanafi sendiri. Mastering dibuat oleh Hafiz Studio.

Kopratasa amat berharap lagu ini dapat diterima dan memberi sesuatu yang unik bersempena dengan sambutan Eidulfitri 2021/1442 ini.

Setelah lama ketiga-tiga ahli Kopratas membawa haluan masing masing, mereka kembali dengan projek istimewa ini di bawah payung Luncai Emas Sdn Bhd untuk peminat, sahabat dan juga rakan-rakan mereka yang sentiasa memberi dorongan untuk terus berkarya.

Single ini juga telah menjalani penggambaran video muziknya pada awal Ramadan lalu, yang dibuat di dalam studio, dan persekitaran pejabat Luncai Emas Sdn Bhd sendiri, memandangkan kita masih lagi dalam fasa pemulihan PKP akibat COVID-19.

Video muzik ini diarahkan oleh pengarah muda yang semakin meningkat naik, Juril Jumali yang banyak mengarahkan video muzik beberapa penyanyi popular sebelum ini, dan telah berada di saluran Youtube Luncai Emas.

Antaranya ialah video muzik Mus May, ‘Mencari Kaseh’, dan Datuk Nash, One Nation Emcee ft Dato’ Jeffrydin, ‘Debaran Rindu’.

Luncai Emas Sdn Bhd akan turut bertindak sebagai pengedar single ini secara jualan digital di platform streaming, Youtube dan iTunes mulai 9 Mei ini.

KeonOmar

Pengarah Produksi Luncai Emas Sdn Bhd, Keon Omar berharap lagu nafas baharu ‘Selamat Hari Raya’ oleh Kopratasa ini dapat mengubat kerinduan para peminat Kopratasa, dan juga menarik perhatian generasi baharu dalam kemeriahan kita menyambut kehadiran Syawal pada tahun ini dalam suasana norma baharu hidup!

 

‘SELAMAT HARI RAYA’

Nyanyian semula KOPRATASA

 

(USOP)

SELAMAT HARI RAYA

SAYALAH UCAPKAN KEPADA IBU BAPA

SAUDARA SEKALIAN

TAULAN KERABAT

HAI HANDAI DAN TAULAN

TUALAH DAN MUDA LAKI-LAKI PEREMPUAN

 

(SANI)

PERMULAAN SYAWAL

HAI HARI YANG MULIA

AIDILFITRI PENUTUP BULAN PUASA

PINTU TERBUKA UNTUK MENGABULKAN DOA

PALING UTAMA BAGI SESAMA MANUSIA

 

(KOPRATASA)

SELAMAT HARI RAYA

AMPUN MAAF ZAHIR DAN BATIN

SELAMAT HARI RAYA

MINAL AIDIL WAL FAIZIN

SELAMAT HARI RAYA

ZAHIR DAN BATIN

SELAMAT HARI RAYA

MINAL AIDIL WAL FAIZIN

 

(USOP)

UMPAT BUDI YANG SUDAH TERBANYAK

AMPUN DAN MAAF SEKARANG DIMINTA

SUPAYALAH AZAB KUBUR HAI JANGANLAH MENDESAK

SELAMATLAH KITA DI AKHIRATLAH YANG KELAK

 

(SISO)

WAHAI MUSLIMIN SEGALA ‘HAI WANI’ (2X)

MENDOALAH KITA KEPADA RABUL ILLAHI (2X)

DIPANJANGKAN UMUR DIMURAHKAN REZEKI

DIPANJANGKAN UMUR DIMURAH REZEKI

TAHUNLAH DI MUKA BOLEH BERJUMPALAH LAGI (2X)

 

(KOPRATASA)

SELAMAT HARI RAYA

AMPUN MAAF ZAHIR DAN BATIN

SELAMAT HARI RAYA

MINAL AIDIL WAL FAIZIN

SELAMAT HARI RAYA

ZAHIR DAN BATIN

SELAMAT HARI RAYA

MINAL AIDIL WAL FAIZIN

 

LAGU & LIRIK: COPYRIGHT CONTROLLED & KOPRATASA

HAK CIPTA: LUNCAI EMAS SDN BHD

No comments:

Post a Comment