Pages

Tuesday, 28 December 2021

 


                                                                 Puan Seri Nisa Bakri.

Orang ramai yang berminat membantu mangsa banjir bolehlah menyumbang menerusi akaun yang tertera ini.

                    Pengagihan sumbangan untuk mangsa-mangsa banjir berjalan dengan lancar.





SOSIAL

 

 

MAGNET TEAM BANTU MANGSA BANJIR HULU LANGAT

 

SELEPAS tragedi banjir besar yang disebut ‘bah kuning’ pada penghujung 2014, kita dikejutkan pula dengan banjir besar yang melibatkan sembilan negeri di Semenanjung, terutamanya Selangor dan Pahang pada 18 dan 19 Disember lalu.

 

Hujan lebat tanpa henti selama beberapa hari menyebabkan banyak rumah ditenggelami air dan musnah, kenderaan rosak, hanyut dan tersadai, ramai mangsa terperangkap tanpa bantuan segera, dan yang paling menyedihkan ramai kehilangan nyawa.

 

Syukur kerana tetap ada respons dan usaha membantu kesemua mangsa banjir yang masih selamat, oleh banyak pihak merangkumi agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat, perkumpulan, malah individu yang sanggup datang dari jauh membantu, khususnya selepas banjir.

 

Antara yang tidak ketinggalan menghulurkan bantuan ialah Magnet Team, kumpulan profesional 12 sahabat akrab yang digerakkan oleh Puan Seri Nisa Bakri, bersama-sama Puan Seri Dato Zainab Kader, Dato’ Fatimah Abdul Hamid, Suzimah Hazish, Marina Kenis Tio, Alex Navanith, Sue, Fieda Khalid, Datin Aimi, dan Maksu.

 

Magnet Team telah bertungkus-lumus menyediakan 300 pes makanan sedia dimasak, 250 bungkus nasi kandar dan nasi ayam, serta pakaian yang telah disusun mengikut saiz, dan jantina kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar Hulu Langat beberapa hari lalu.

 

Menariknya, walaupun salah seorang ahli Magnet Team, iaitu Dato’ Zainab Kader telah berusia 75 tahun, tetapi beliau tetap aktif turun padang membantu pemberian sumbangan kepada mangsa banjir, dan menghantar sendiri bantuan makanan ke masjid kawasan berkenaan.

 

Kegigihan Dato’ Zainab itu wajar dicontohi semua, khususnya anak muda Malaysia agar lebih aktif turun padang melakukan perkara serupa.

 

Magnet Team turut menyumbang berbagai-bagai bentuk bantuan untuk mangsa banjir melalui pelbagai NGO, di samping meneruskan usaha bantuan pasca banjir yang lebih mencabar.

 

Usaha Magnet Team ini wajar diteladani rakyat negara kita bagi mewujudkan lebih ramai ‘Unsung Heroes’ yang cakna dengan mereka yang dalam kesusahan seperti mangsa-mangsa banjir tersebut.

 

Orang ramai yang berminat membantu usaha murni ini bolehlah menyumbang menerusi: CIMB Bank 8008336625, NJB Innari Sdn Bhd, Ref: NB Flood Donation (Magnet Team).

 

Friday, 10 December 2021

 












SOSIAL

 

 

ANGKASA HARGAI PETUGAS BARISAN HADAPAN ATM

 

 

SELAIN mangsa COVID-19 seperti pesakit serta saudara-mara mereka dirawat, dan disantuni, petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani wabak pandemik maut ini juga tidak dilupakan.

 

Sudah semestinya penghargaan dan ucap selamat sentiasa menjadi antara keutamaan kita semua yang memperoleh manfaat daripada pengorbanan mereka. Antara petugas berkenaan yang tidak mengenal penat lelah, serta siang dan malam adalah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

 

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) yang sedang menyambut Jubli Emas penubuhannya, tidak ketinggalan dalam hal mengenang budi dan memberikan penghargaan kepada petugas barisan hadapan ini.

Bertempat di Wisma Koperasi Tentera di Kuala Lumpur pada 10 Disember lalu telah berlangsung majlis penyerahan sumbangan oleh ANGKASA kepada petugas barisan hadapan ATM sebagai memenuhi program Tanggungjawab Sosial Koperasi (CSR) COOPCARE ANGKASA Prithatin COVID-19.

Sememangnya sumbangan tersebut bertujuan menghargai jasa dan pengorbanan anggota tentera yang merupakan petugas barisan hadapan negara dalam mendepani krisis COVID-19 untuk memastikan keselamatan, dan kesejahteraan rakyat Malaysia terus terpelihara.

 

Para anggota tentera yang menerima sumbangan pada majlis tersebut juga merupakan anggota Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera).

 

Penyerahan sumbangan sebanyak 200 bungkus yang bernilai RM10,000 itu telah disempurnakan oleh Presiden ANGKASA merangkap Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN, Dato’ Dr Abdul Fattah Abdullah. Sumbangan tersebut disampaikan kepada Pengerusi Koperasi Tentera, Mejar Jeneral (B) Dato’ Zulkiflee Mazlan.

 

Dalam ucapan beliau, Dato’ Dr Abdul Fattah mengakui sumbangan dan peranan para perajurit kita amat besar, dan disanjungi rakyat negara ini.

 

Bukan kebajikan anggota tentera sahaja yang harus dijaga, tambah Dr Abdul Fattah, malah ahli keluarga mereka perlu turut diberikan perhatian kerana risiko kepada anggota terbabit amat tinggi.

 

“Sumbangan yang diberikan pada hari ini adalah tanda ANGKASA menghargai jasa mereka, dan mengurangkan bebanan dalam menempuh fasa wabak pandemik yang masih mengancam,” tegas Dr Fattah.

 

Sejak COVID-19 melanda negara (mulai 25 Januari 2020), ANGKASA, sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang diiktiraf oleh kerajaan, mulai Mac 2020, telah menyantuni lebih 60,000 penerima sumbangan menerusi 106 program CSR COOPCARE yang memberi manfaat barangan asas dan kit kesihatan kepada anggota koperasi, golongan asnaf, golongan berpendapatan rendah (B40), dan miskin bandar, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, dan petugas barisan hadapan di seluruh negara.  

 

Dato’ Zulkiflee dalam ucapannya pula menyatakan penghargaan dan terima kasih kepada ANGKASA atas sumbangan yang diberikan. Sebagai petugas barisan hadapan, katanya, penghargaan penuh bermakna dan berharga yang diterima itu turut menaikkan semangat untuk terus berbakti kepada rakyat, dan negara tercinta.

 

Sementara itu, seiring dengan 50 tahun penubuhannya, ANGKASA akan terus memperjuang hak dan kepentingan gerakan koperasi, serta komited menerajui dan melaksanakan inisiatif Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 agar ia terus berdaya maju dalam menghadapi cabaran masa hadapan, serta berperanan sebagai alat pengagihan ekonomi yang adil demi kesejahteraan semua.

 

Setakat ini, ANGKASA telah melaksanakan program transformasi perniagaan dan keusahawanan koperasi dalam sektor perniagaan berimpak tinggi seperti kewangan, pertanian dan industri asas tani, pemborongan dan peruncitan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan, perladangan, hartanah dan industri binaam, inovasi dan teknologi, serta pembangunan komuniti.   

 

Sehingga Jun 2021, ANGKASA berjaya menaungi 14,657 koperasi di seluruh negara dengan keanggotaan individu kira-kira 7.04 juta orang, jumlah modal syer/yuran sebanyak RM16.3 bilion, dan jumlah aset RM152.1 bilion. Perolehan gerakan koperasi mencatat RM41.5 bilion sehingga 31 Disember 2020 (sumber statistik: Suruhanjaya Koperasi Malaysia).

Thursday, 2 December 2021

EKONOMI

 

Lancarkan Jelajah PPUD Menerusi KingBlaster

FRED ADVANTAGE SDN BHD

 

DENGAN harapan lebih ramai usahawan yang ada ilmu menjalankan perniagaan secara atas talian yang lebih cekap, dan sistematik akan muncul, Fred Advantage Sdn Bhd melancarkan Jelajah Program Pemerkasa Usahawan Digital (PPUD) pada 2 Disember lalu, di Restoran Spice, Hotel Concorde, Kuala Lumpur.

 

Pelancaran Jelajah PPUD itu disempurnakan oleh Presiden Koperasi Angkasa, Dato’ Dr Abdul Fattah Abdullah. Program berkenaan merupakan daya usaha untuk membantu lebih ramai usahawan mendigitalkan model perniagaan mereka ke tahap yang optimum.

 

Dalam ucapannya, pengarah PPUD, Romeyzee Zainuddin yang lebih dikenali dengan Sifu Dr Rayyan, mengatakan ini kerana Fred Advantage telah mengeluarkan produk yang diberi nama KingBlaster.

 

Kata Sifu Dr Rayyan, KingBlaster istimewa kerana membariskan 12 Aplikasi Digital yang mampu menjimatkan kos pengiklanan para usahawan, atau lebih dikenali sebagai ‘Kos Pengiklanan Sifar’.

 

Tambah beliau, pelbagai kerjasama strategik yang melibatkan beberapa pihak seperti Koperasi Angkasa, Yayasan Keusahawanan Sosial (YKS), dan PERDASAMA Selangor telah terjalin. Kerjasama tersebut diyakini akan menjadi satu gerakan besar-besaran untuk membawa Jelajah PPUD kepada lebih ramai usahawan.

 

Fred Advantage, kata Sifu Dr Rayyan, akan membimbing semua usahawan yang terlibat dengan Modul Usahawan Digital menerusi pembelajaran secara atas talian, dan sistematik oleh tenaga pengajar yang terlatih, dan berpengalaman.

 

Turut berucap pada majlis berkenaan adalah Pengerusi YKS, Dr Ammar Hassan, yang menyatakan YKS bersedia untuk turut menyusun strategi, dan pelaksanaan Jelajah PPUD. Terdahulu, YKS telah bersetuju menjadi rakan strategik untuk pelaksanaan program tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif yang juga pengasas Fred Advantage, Shahrul Nizam Hassan pula menjelaskan dengan penghasilan KingBlaster 12 Aplikasi dalam 1 jenama, usahawan tidak perlu lagi membelanjakan ribuan RM untuk konsep iklan berbayar yang ditawarkan oleh pelbagai media sosial.

 

Fred Advantage yang seratus peratus milik bumiputera, jelas Shahrul, telah ditubuhkan pada akhir 2019. Pada 1 April 2021, ia melancarkan KingBlaster ke pasaran dalam negara. Sehingga kini, tambah beliau, lebih 3,000 usahawan telah menggunakan aplikasi KingBlaster dalam usaha mereka melakukan sebaran maklumat perniagaan masing-masing dengan tersusun, dan cekap.

 

Kata Shahrul lagi, Fred Advantage telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa syarikat tempatan yang ada produk bermutu seperti Black G, Krasz-Kmood, Bayu Siri, dan SMARTBiz.

 

Kerjasama berkenaan bertujuan menyediakan peluang kepada para usahawan menjana pendapatan menerusi sesi mentor-mentee yang akan turut dijalankan dalam Jelajah PPUD.

 

Wakil dari dua platform e-dagang milik anak tempatan Malaysia, iaitu EzyShare dan Skyfron turut menghadiri majlis pelancaran tersebut. Kedua-duanya adalah rakan strategik Fred Advantage.

 

Ekosistem yang dibina dengan kos kira-kira jutaan RM ini diyakini dapat menjadi tempat untuk usahawan kelahiran Jelajah PPUD memasarkan produk, dan perkhidmatan mereka secara atas talian – dengan platform yang hebat, dan bantuan 12 Aplikasi KingBlaster.

 

Turut mengisi majlis pelancaran Jelajah PPUD itu adalah sesi menandatangani plak simbolik kerjasama/perjanjian persefahaman antara rakan strategik dengan vendor (mentee).

 

Jelajah PPUD dijangka bermula pada Januari 2022 dan mensasarkan 2,220 usahawan dari pelbagai lokasi di seluruh Malaysia.

 

Para usahawan yang berminat boleh menghubungi sekretariat Jelajah PPUD, iaitu Trader di setiap kawasan Parlimen di Malaysia, ataupun terus mendaftar di laman sesawang https://partner.kingblaster.com/join.