SOSIAL
ANGKASA
HARGAI PETUGAS BARISAN HADAPAN ATM
SELAIN
mangsa COVID-19 seperti pesakit serta saudara-mara mereka
dirawat, dan disantuni, petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menangani
wabak pandemik maut ini juga tidak dilupakan.
Sudah semestinya penghargaan dan ucap selamat
sentiasa menjadi antara keutamaan kita semua yang memperoleh manfaat daripada
pengorbanan mereka. Antara petugas berkenaan yang tidak mengenal penat lelah,
serta siang dan malam adalah anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Angkatan Koperasi Kebangsaan
Malaysia Berhad (ANGKASA) yang sedang menyambut Jubli Emas penubuhannya, tidak
ketinggalan dalam hal mengenang budi dan memberikan penghargaan kepada petugas
barisan hadapan ini.
Bertempat di Wisma Koperasi
Tentera di Kuala Lumpur pada 10 Disember lalu telah berlangsung majlis
penyerahan sumbangan oleh ANGKASA kepada petugas barisan hadapan ATM sebagai
memenuhi program Tanggungjawab Sosial Koperasi (CSR) COOPCARE ANGKASA Prithatin
COVID-19.
Sememangnya sumbangan tersebut bertujuan menghargai
jasa dan pengorbanan anggota tentera yang merupakan petugas barisan hadapan
negara dalam mendepani krisis COVID-19 untuk memastikan keselamatan, dan
kesejahteraan rakyat Malaysia terus terpelihara.
Para anggota tentera yang menerima sumbangan
pada majlis tersebut juga merupakan anggota Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad
(Koperasi Tentera).
Penyerahan sumbangan sebanyak 200 bungkus yang
bernilai RM10,000 itu telah disempurnakan oleh Presiden ANGKASA merangkap
Presiden Pertubuhan Koperasi ASEAN, Dato’ Dr Abdul Fattah Abdullah. Sumbangan tersebut
disampaikan kepada Pengerusi Koperasi Tentera, Mejar Jeneral (B) Dato’
Zulkiflee Mazlan.
Dalam ucapan beliau, Dato’ Dr Abdul Fattah
mengakui sumbangan dan peranan para perajurit kita amat besar, dan disanjungi
rakyat negara ini.
Bukan kebajikan anggota tentera sahaja yang harus
dijaga, tambah Dr Abdul Fattah, malah ahli keluarga mereka perlu turut diberikan
perhatian kerana risiko kepada anggota terbabit amat tinggi.
“Sumbangan yang diberikan pada hari ini
adalah tanda ANGKASA menghargai jasa mereka, dan mengurangkan bebanan dalam
menempuh fasa wabak pandemik yang masih mengancam,” tegas Dr Fattah.
Sejak COVID-19 melanda negara (mulai 25
Januari 2020), ANGKASA, sebagai badan apeks gerakan koperasi negara yang
diiktiraf oleh kerajaan, mulai Mac 2020, telah menyantuni lebih 60,000 penerima
sumbangan menerusi 106 program CSR COOPCARE yang memberi manfaat barangan asas
dan kit kesihatan kepada anggota koperasi, golongan asnaf, golongan
berpendapatan rendah (B40), dan miskin bandar, orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal,
dan petugas barisan hadapan di seluruh negara.
Dato’ Zulkiflee dalam ucapannya pula menyatakan
penghargaan dan terima kasih kepada ANGKASA atas sumbangan yang diberikan. Sebagai
petugas barisan hadapan, katanya, penghargaan penuh bermakna dan berharga yang
diterima itu turut menaikkan semangat untuk terus berbakti kepada rakyat, dan
negara tercinta.
Sementara itu, seiring dengan 50 tahun
penubuhannya, ANGKASA akan terus memperjuang hak dan kepentingan gerakan
koperasi, serta komited menerajui dan melaksanakan inisiatif Matlamat Pembangunan
Mampan (SDG) 2030 agar ia terus berdaya maju dalam menghadapi cabaran masa
hadapan, serta berperanan sebagai alat pengagihan ekonomi yang adil demi kesejahteraan
semua.
Setakat ini, ANGKASA telah melaksanakan
program transformasi perniagaan dan keusahawanan koperasi dalam sektor perniagaan
berimpak tinggi seperti kewangan, pertanian dan industri asas tani, pemborongan
dan peruncitan, pelancongan, penjagaan diri dan kesihatan, perladangan,
hartanah dan industri binaam, inovasi dan teknologi, serta pembangunan
komuniti.
Sehingga Jun 2021, ANGKASA berjaya menaungi
14,657 koperasi di seluruh negara dengan keanggotaan individu kira-kira 7.04 juta
orang, jumlah modal syer/yuran sebanyak RM16.3 bilion, dan jumlah aset RM152.1
bilion. Perolehan gerakan koperasi mencatat RM41.5 bilion sehingga 31 Disember
2020 (sumber statistik: Suruhanjaya Koperasi Malaysia).
No comments:
Post a Comment