Pages

Tuesday, 29 March 2022






BUDAYA

 

 

Bukan Mudah Mengadaptasi Novel ke Filem

 

 

Masalah skrip bermutu masih menjadi ‘hantu’ dan diperkata dari semasa ke semasa meskipun telah banyak filem dihasilkan untuk tayangan di pawagam seluruh negara. Para pembikin filem filem tanah air kerap merungut mengenai ketandusan skrip atau lakon layar bermutu untuk dijadikan filem.

 

Oleh yang demikian, pihak-pihak berkenaan sering menyarankan para pengarah dan penerbit filem tanah air supaya mengambil novel besar tempatan untuk dijadikan skrip filem. Langkah tersebut ada wajarnya kerana boleh dianggap baik, dan mudah.

 

Walau bagaimanapun, masalah lakon layar belum terjamin selesai dengan hanya memindahkan naskhah novel ke filem jika tanpa ketelitian. Tanpa lakon layar, karya tersebut tidak boleh terus menjadi filem.

 

Justeru, kalau pengadaptasian tidak kuat, yang terhasil hanyalah skrip yang lemah walaupun diadaptasi daripada novel bermutu tinggi.

 

Seboleh-bolehnya dan memang diharapkan, kita memang mahu adaptasi yang baik daripada novel bermutu tinggi, malah adaptasi yang baik juga meskipun daripada novel bermutu rendah.



            Dato' M Nasir sebagai Imam Mihad dalam filem Imam, arahan Mior Hashim Manap.





Memang ada pengarah yang baik dapat menghasilkan filem yang baik daripada skrip lemah, sebagaimana ungkapan “berikan skrip yang lemah kepada pengarah yang kuat, dia akan jadikan skrip itu filem yang kuat!” Namun demikian, itu sukar atau jarang berlaku.

 

Walaupun banyak filem diangkat daripada novel, tetapi tidak berfaedah juga kalau mutunya rendah. Kuantiti melebihi kualiti merupakan perkara yang wajar dielakkan.

 

Timbul pula persoalan adakah para pengarah dan penulis skrip filem tanah air berminat atau banyak membaca novel, terutama yang bermutu, kemudian bersedia atau berminat untuk mengangkatnya ke layar lebar?

 

Masalahnya juga selama ini kefahaman dan kesedaran mereka bahawa menghasilkan filem ialah kerja seni sebagaimana menghasilkan novel atau karya-karya kreatif lain turut diragui. Adakah mereka menganggap antara menulis karya kreatif dengan mengarah filem itu tiada kaitan?

 

Kita berharap mereka peka dan berminat dengan novel-novel tempatan bermutu tinggi, sekali gus membawa tema atau cerita yang lari daripada biasa. Diharap juga mereka dapat bekerjasama dengan penulisnya untuk mengadaptasi ke filem dengan sebaik mungkin. Dengan demikian, tidaklah mereka cuma berminat dengan skrip yang ceritanya klise.


 

 

Tidak dinafikan, banyak novel tempatan yang bermutu tinggi dan membawa pelbagai tema, serta sesuai difilemkan untuk mengatasi krisis cerita klise. Antaranya termasuklah karya Sasterawan Negara (SN) keempat, Datuk Seri (Dr) A Samad Said seperti Salina, Daerah Zeni dan Hujan Pagi; SN kelima, Allahyarham Arena Wati - Sandera, Lingkaran, dan Panrita, serta karya pengarang lain, iaitu Arca Berdiri Senja - Baharuddin CD, Damai Tapi Gersang (Hambali Abdul Latiff), dan lain-lain.

 

Ramai yang berpendapat menulis skrip filem daripada novel lebih mudah kerana cerita, plot dan watak telah ada. Sebenarnya, pandangan atau anggapan tersebut tidak tepat. Menghasilkan skrip filem daripada novel sama sukar, malah lebih sukar daripada menghasilkan skrip bukan adaptasi.

 

Berapa ramai penulis lakon layar yang tahu bahawa terdapat aspek-aspek tertentu dalam novel yang tidak sesuai, atau tidak dapat difilemkan yang membawa masalah penyesuaian?

 

Sebagai contoh, gambaran sesuatu kejadian atau keadaan dalam filem yang disebut adegan.

Keadaan menjadi lebih mencabar kalau ia penting dan merupakan isi cerita yang perlu dikekalkan. Akan timbul kekurangan atau dianggap lari daripada asal kalau ditinggalkan sewenang-wenangnya, atau tidak dapat dimasukkan. Pembaca novel tersebut, kemudian menjadi penonton filem adaptasinya, akan kurang puas hati atau hampa.

 

Namun demikian, masalah tersebut bukanlah penghalang atau menidakkan kewujudan filem-filem tempatan daripada novel. Telah ada beberapa filem adaptasi novel sejak 1950-an, seperti Chinta Gadis Rimba pada 1958 (karya Harun Aminulrashid), Rumah Itu Duniaku (1964/Hamzah Hussein), Bukan Salah Ibu Mengandung (1969/Harun Hassan), Langit Petang (1982/Samad Said) Ranjau Sepanjang Jalan (1983/SN kedua, Allahyarham Prof Emeritus Dato’ Dr Shahnon Ahmad), dan Jogho (1999/SN kesembilan, Allahyarham S Othman Kelantan).

 

Seorang Tua di Kaki Gunung, Senja Belum Berakhir (kedua-duanya karya Allahyarham Azizi Haji Abdullah), Saga (Abdul Talib Mohd Hassan), Srengenge (Dato’ Dr Shahnon), Arus dan Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (SN ke-10, Dato’ Dr Anwar Ridhwan), dan Senjakala (Baharuddin Kahar) pula antara novel yang dijadikan drama televisyen.

 

Begitu pun, khabarnya para penonton agak kecewa dan para pengkritik pula mengkritik beberapa buah daripadanya. Sebagai contoh, Langit Petang (LP) dan Ranjau Sepanjang Jalan (RSJ).

 

Ramai pembaca novel-novel tersebut yang kemudian menonton filem adaptasinya agak hampa kerana tidak gembira sebagaimana sewaktu membaca. Pengkritik pula mendapati LP gagal memahami beberapa ciri utama yang mendasari novelnya. LP diarahkan oleh Shahrom Mohd Dom (di mana sekarang?).

 

RSJ pula dianggap terlalu setia kepada novel asalnya sehingga menjadi rentetan peristiwa yang lebih bersifat dokumentari daripada sebuah peristiwa sinema. Pengarahnya ialah Allahyarham Datuk Jamil Sulong.

 

Terbaharu, Imam, novel karya SN kelapan, Allahyarham Datuk Abdullah Hussain telah selesai difilemkan, dan dijangka menemui penonton pada akhir 2022 atau pertengahan 2023.

 

Ketika masih dalam penggambaran lagi, Imam menjadi filem yang amat dinanti-nantikan atas beberapa sebab. Antaranya kerana ia diarahkan oleh Mior Hashim Manap (yang turut menulis lakon layarnya), serta dibintangi Dato’ M Nasir, Dato’ Rahim Razali, Faizal Hussein, Sani Sudin, Noramin, Rahim Jailani, dan Buyong Zasdar.

 

Saya tidak menghalang usaha seterusnya untuk mengadaptasi novel, malah menggalakkannya. Begitu pun, kalau mahukan hasil yang positif, pengarah dan penulis skrip amat perlu mengetahui, serta memahami beberapa hal berkaitan dengan pengadaptasian novel.

 

Memang ada perbezaan antara novel dengan filem. Novel menggunakan kekuatan kata-kata. Filem pula menggunakan kekuatan visual. Novel bersifat konseptual dan diskutif, sementara filem bersifat perceptual dan presentional yang menuntut pemahaman tersendiri.

 

Justeru, pembikin filem adaptasi novel harus menganggap novel itu sebagai bahan mentahnya lalu dia harus mencipta pula struktur dan pengucapan yang tersendiri.

 

Pemindahan daripada novel ke filem akan menghadapi masalah yang tersendiri. Ini perlu diingati kerana ia akan menjelma menjadi sebuah genre estetika yang tersendiri pula. Jadi, penyesuaian perlu dicari dan dilaksanakan. Novel ada nilai estetika dan apabila difilemkan, nilai itu mesti dipertahan bersama-sama aspek seni.

 

Antara perkara yang perlu dijaga semasa proses penyesuaian itu termasuklah pengekalan semangat novel asalnya, tahap adaptasi dan memastikan sama ada perubahan mahupun pengurangan daripada bahan asal (novel) akan mencacatkan, atau memperbaik hasil terakhirnya (filem).

 

Pengekalan inti dan semangat novel sekali gus memberi tafsiran, serta bahasa yang tersendiri pada filem yang dimulakan daripadanya diharap dan dipentingkan, meskipun itu payah. Dalam kata lain, memfilemkannya, tetapi mengekalkan keasliannya.

 

No comments:

Post a Comment