Pages

Thursday, 17 March 2022

 

PENTAS

 











                                                   Amir U.K's dengan lagu 'Bila Disayangi'.




                                                                'Jula Juli Bintang Tujuh'.
















                 Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya, Mohamad Azlan Abdul Majid.








AHMAD NAWAB DI ISTANA BUDAYA TAHUN INI

 

SEBANYAK 12 program telah dirancang dan disusun untuk pengisian program Istana Budaya 2022, dengan lima daripadanya merupakan terbitan Istana Budaya (IB) sendiri. Tujuh buah lagi yang telah diluluskan setakat ini ialah dari pihak luar.

 

Lima penerbitan IB itu termasuklah ‘Konsert Lagu Rakyat’ dalam kategori muzik, pada 25 dan 26 Mac, ‘Konsert Orkestra Simfoni Kebangsaan Peter & The Wolf dan The Carnival of the Animals’ (muzik/3 dan 4 Jun), ‘Tari Sulur & Nakasari’ (tari/22 dan 23 Julai), ‘Ratu Kuning Langkasuka’ (teater/23-25 September), dan ‘Teater Muzikal Jula Juli Bintang Tujuh’ (teater muzikal/18-22 November).

 

Persembahan-persembahan bukan produksi IB pula ialah ‘Konsert U.K’s Reunion 25 Tahun’ (muzik/17-18 Jun), ‘Konsert Seniman Negara Dato’ Seri Ahmad Nawab’ (muzik/1-3 Julai), 5th Malaysia Golden Global Awards (MGGA)’ (anugerah/16 Julai), ‘Thunder – Kaleidoscope VI Drumming Festival 2022’ (muzik/7-9 Oktober), serta ‘Teater Muzikal Moyang Salleh’ (teater/26-31 Ogos), Tanjong (teater/9-11 September), dan Antara Tiga (teater/8-10 Disember).

 

Kesemua persembahan tersebut akan dipentaskan di Panggung Sari bermula jam 8.30 malam, dengan ‘Antara Tiga’ turut dipersembah bermula jam 3 petang.

 

Pada 15 Mac lalu, IB telah mengadakan majlis pelancaran Program Istana Budaya 2022 di premisnya, Lambang Sari. Majlis tersebut disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Nancy Shukri.

 

Dalam ucapan pelancaran beliau, Dato’ Sri Nancy turut mengumumkan insentif pengecualian cukai pendapatan sebanyak 50 peratus ke atas pendapatan berkanun yang diberikan kepada syarikat yang menganjurkan kegiatan kesenian, dan kebudayaan, yang diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) bermula dari 2022 hingga 2025.

 

Intensif cukai tersebut, jelas Nancy, terbuka kepada semua penganjur berkelayakan merangkumi kategori persembahan pentas kesenian dan kebudayaan, termasuk seni muzik, tari, lakon, seni mempertahan diri, adat budaya, kesusasteraan dan audio visual, termasuk media interaktif.

 

“Saya harap agar insentif ini dapat membantu melonjakkan semula industri seni persembahan pentas, dan memberi dorongan kepada penggiat seni untuk terus aktif,” tambah Nancy.

 

Daripada 11 pementasan pada 2021, IB telah menerima hampir 6,000 penonton dalam tempoh lima bulan yang dibenarkan beroperasi. Hasil pendapatan jualan tiket pula sebanyak RM130,000.

 

Kedua-dua jumlah ini dijangka meningkat pada 2022 yang termasuk hasil sewaan ruang sejajar dengan kenaikan penerimaan persembahan dari syarikat produksi tempatan, dan agensi kerjaan yang lain.

 

Sehingga kini, IB masih menerima permohonan untuk penyewaan ruang Panggung Sari bagi 2022 dan 2023 mengikut keseusaian program, serta tarikh yang akan dipohon oleh penganjur.

 

Turut menghadiri majlis pelancaran tersebut ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, Datuk Saraya Arbi; Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) IB, Mohamad Azlan Abdul Majid, dan Timbalan Ketua Pengarah (Artistik) IB, Zaifri Husin.

 

Dalam ucapan beliau, Nancy juga menyentuh soal Dasar Kebudayaan Negara 2021 (DAKEN) yang telah dilancarkan pada 26 Oktober 2021. DAKEN ialah dasar yang menjadi entiti utama dalam konsep Keluarga Malaysia yang mengutamakan nilai-nilai keterangkuman, kebersamaan, semangat kebanggaan, keterbukaan dan menyeluruh.

 

Penggubalan DAKEN juga bertujuan memartabatkan kebudayaan secara menyeluruh menerusi peranan dalam memperkasakan program dan aktiviti seni, budaya serta warisan bagi mencapai aspirasi ‘Negara Maju, Rakyat Berbudaya’.

 

Oleh itu, tambah Nancy, IB yang berfungsi sebagai pusat kecemerlangan seni di negara ini perlu melahirkan lebih ramai tenaga pakar dalam bidang seni persembahan pentas, dan pada masa yang sama, menjadi pusat rujukan dan penyelidikan dalam menghasilkan karya kreatif, inovatif, berkualiti, dan berprestij.

 

Menurut beliau lagi, IB juga perlu terlibat dengan penghasilan karya seni budaya bermutu dan mempunyai nilai estetika tinggi untuk produk teater, muzik, dan tari yang mempu memberi tafsiran positif terhadap keunikan budaya tempatan.

 

“Saya juga berharap pembukaan semula sempadan pada 1 April ini akan turut membuka persembahan-persembahan dari luar negara juga,” ujar Nancy.

 

Sementara itu, dalam ucapan alu-aluan beliau, Mohamad Azlan memberitahu kesemua pementasan bermula dari Mac hingga penghujung 2022 menyasarkan demografik penonton berbilang bangsa, berlainan generasi, dan kecenderungan minat mengikut genre dan aspek tradisional, moden mahupun kontemporari.

 

“Tarikan utama yang IB mahu tonjokkan pada tahun ini ialah penghasilan pelbagai karya seni yang dapat dipersembah kepada para penonton mengenai kehebatan seni budaya warisan, dan kepakaran yang ada dalam industri seni persembahan pentas di negara ini,” kata Azlan.

 

Penutupan ruang IB dalam tempoh masa agak panjang sebelum ini, tambah beliau, turut membakar semangat warga agensi berkenaan untuk melaksanakan beberapa program seni dan budaya dalam tempoh suku keempat 2021 secara fizikal kerana seni persembahan perlu disokong oleh kehadiran di depan mata, dan tepukan yang bergema di dalam panggung.

 

“Bukan tidak bimbang dengan penularan COVID-19 jika ramai yang berkumpul di sini nanti. Namun demikian, kami di IB sentiasa menjaga dan mewajibkan para pengunjung mematuhi prosedur operasi standard demi memastikan agar Panggung Sari dan Lambang Sari tidak lagi sepi, dan dapat terus digunakan,” tegas Azlan.

 

Apa yang IB akan terus laksanakan, tambah beliau, ialah berdiri teguh menjadi sebuah jabatan yang menyokong dasar-dasar kerajaan, dan pada masa yang sama menjadi salah sebuah pusat kecemerlangan seni, budaya dan warisan untuk negara ini.

 

Sambil mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Menteri MOTAC dan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC kerana sentiasa memberi sokongan padu terhadap semua usaha, dan program yang dilaksanakan oleh IB, Azlan dan seluruh warga IB amat berharap segala perancangan untuk 2022 berjalan lancar, dan berjaya.

 

“Semoga semua perancangan dapat dilaksanakan dengan baik dan setiap persembahan yang dipentaskan disokong oleh semua pihak, termasuk rakan-rakan media yang selama ini tidak jemu-jemu memberi publisiti kepada kami,” ujar Azlan.       

 

Bersempena dengan majlis Pelancaran Program Istana Budaya 2022 tersebut, turut diadakan lima persembahan khas (fragmen) untuk para hadirin, iaitu ‘Peter & The Wolf and The Carnival of The Animals oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan’, ‘Thunder: Kaleidoscope VI Drumming Festival 2022’, ‘Jula Juli Bintang Tujuh’, ‘Konsert U.K’s Reunion 25’ Tahun menampilkan Amir U.K’s, dan, ‘Konsert Lagu Rakyat oleh Orkestra Tradisional Malaysia’.

No comments:

Post a Comment