SOSIAL
Kembara
Ramadan PRIHATIN Santuni Petugas Barisan Hadapan Hospital Ampang
KIRA-KIRA
500 petugas barisan hadapan Hospital Ampang diraikan dalam program Kembara
Ramadan Prihatin dan Majlis Iftar Perdana pada 22 April 2022 lalu di Ruang
Legar Auditorium rumah sakit berkenaan.
Pada hari itu juga berlangsung penyerahan Sumbangan Tunai Prihatin kepada 100 petugas barisan hadapan hospital tersebut di tempat yang sama. Kedua-dua sesi itu disempurnakan oleh Pengarah Hospital Ampang, Dr Kasuadi Hussin.
Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Mohd Aizudin Ghazali
Kembara Ramadan Prihatin merupakan salah sebuah program hasil daya usaha PRIHATIN atau nama penuhnya Yayasan Prihatin Nasional dalam menjalankan aktiviti di sekitar bulan Ramadan dengan cara menyantuni golongan B40, dan asnaf serta golongan yang kurang bernasib baik.
Antara mereka termasuklah anak-anak yatim,
anak-anak tahfiz, anak-anak sindrom down,
gelandangan, pelajar institusi pengajian tinggi, dan petugas barisan hadapan
menerusi pelaksanaan program seperti berbuka puasa (iftar), tarawih, qiamulail
dan sahur, pengagihan bubur lambuk, dan penyerahan sumbangan zakat prihatin.
Dalam ucapannya, Ketua Pegawai Eksekutif
PRIHATIN, Dato’ Mohd Aizudin Ghazali mengatakan, bulan Ramadan wajar memangkin
semangat kepada setiap agensi kerajaan, badan korporat, pertubuhan bukan
kerajaan (NGO), dan badan-badan kebajikan seiring menyahut seruan kerajaan
dalam bersama-sama sebagai ‘Keluarga Malaysia’ dengan membantu, dan menyantuni
semua golongan yang kurang bernasib baik.
“Di samping itu, petugas barisan hadapan perlu
diberikan perhatian kerana mereka bukan sahaja bekerja keras sewaktu wabak
pandemik COVID-19, tetapi turut terjejas, dan perlu meraikan Aidilfitri yang
bakal tiba,” tambah Dato’ Mohd Aizuddin.
Program yang dilaksanakan bersama-sama hasil
kolaborasi strategik, kata beliau lagi, dapat menzahirkan keprihatinan, dan
menjalankan tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat, sekali gus
berbakti kepada Malaysia, negara kita yang tercinta ini.
“PRIHATIN melihat hasil hubungan strategik
ini mampu diperkasakan menerusi program-program yang akan dilaksanakan melalui
kerjasama bersama-sama agensi kerajaan, mahupun NGO. Dengan kolaborasi
strategik bersama-sama Hospital Ampang ini, PRIHATIN mensasarkan lebih banyak
program boleh dilaksanakan dengan institusi kesihatan,” tegasnya.
Dalam masa yang sama, tambah Mohd Aizuddin,
ia boleh membantu dan meringankan beban petugas barisan hadapan di seluruh
Malaysia.
Program tersebut turut diisi dengan ceramah Ihya Ramadan oleh penceramah jemputan, sebelum berbuka puasa, dan solat berjemaah maghrib/isyak, serta tarawih.
No comments:
Post a Comment