PELANCONGAN
MOTAC Lancar Pelan Pemulihan Pelancongan 2022, Lagu Cuti-Cuti Malaysia Versi Kedua
BERTEMPAT di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya pada 17 Mei 2022 lalu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) menerusi Tourism Malaysia melancarkan Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 (PPP2022), seiring peralihan ke fasa endemik.
Dalam usaha menyemarakkan pelancongan domestik negara itu, lagu Cuti-Cuti Malaysia versi kedua turut dilancarkan.
Pelancaran kedua-duanya disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.
Dalam ucapannya, Dato’ Sri Nancy memberitahu, PPP2022 yang merupakan kesinambungan daripada Pakej Rangsangan Ekonomi ialah antara inisiatif di bawah Pelan Pemulihan Industri Pelancongan melibatkan penyaluran insentif kepada rakyat Malaysia dalam bentuk diskaun, baucar dan rebat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri (enam dari kiri) bersama-sama Datuk Seri Dr Santhara J.P (kiri beliau) dan tetamu kehormat lain selepas sesi pelancaran.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri menyempurnakan pelancaran Pelan Pemulihan Pelancongan 2022 dan lagu kempen Cuti-Cuti Malaysia, Menemui Semula.
“Pemberian diskaun, baucar dan rebat yang bermula
pada 29 April 2022 lalu melibatkan dua kluster, iaitu Kluster Pengangkutan
Darat dan Kluster Persatuan Pelancongan,” kata beliau.
Inisiatif ini, tambah Nancy, bakal diperluas secara
berperingkat, melibatkan Kluster Pengangkutan Udara, dan Kluster Penginapan,
selain Kluster Pelancongan Minat Khas, merangkumi segmen selam skuba, inap
desa, beli-belah dan taman tema.
Menurut Nancy
lagi, pelancaran PPP2022 bertujuan menarik minat orang ramai untuk terus
membuat tempahan tiket pengangkutan, atau pakej pelancongan pada harga diskaun
istimewa.
“Langkah ini seterusnya mampu merangsang permintaan industri
pelancongan untuk menyokong mereka yang terjejas agar kekal berdaya saing,”
kata beliau.
Di bawah Kluster
Pengangkutan Darat, Tourism Malaysia telah menjalinkan kerjasama strategik
bersama-sama perkhidmatan KLIA Ekspres dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)
dalam penawaran diskaun tambang antara RM10 sehingga RM15 yang bakal
memanfaatkan 64,675 pengguna.
“Pembelian tiket boleh dibuat sama ada menerusi
aplikasi KLIA dengan KTM Mobile, secara dalam talian, atau mesin tiket,” tambah
Nancy.
Sementara itu, di bawah Kluster Persatuan
Pelancongan pula, Tourism Malaysia sekali lagi bekerjasama dengan Persatuan
Pelancongan Domestik Malaysia (MITA), Persatuan Penggalakan Pelancongan Inbound
Cina Malaysia (MICA), Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA), Persatuan
Pengembaraan dan Pelancongan India Malaysia (MITTA), dan Persatuan Syarikat
Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) dalam penawaran pelbagai
pakej destinasi pelancongan domestik oleh ejen pelancongan berdaftar menerusi
aplikasi e-marketplace Shopee.
“Rakyat Malaysia
boleh mendapatkan diskaun sebanyak RM100 untuk satu transaksi pembelian pakej
pelancongan bernilai RM200 ke atas bermula pada 29 April sehingga 31 Oktober
2022 bagi tempoh perjalanan sehingga 31 Disember 2022,” jelas
Nancy lagi.
Setiap pengguna atau pemegang MyKad, tambah beliau,
layak untuk menebus sekali sahaja diskaun ini, dan pembelian perlu dibuat
melalui Shopee Pay. Dianggarkan 14,925 rakyat Malaysia bakal menerima manfaat
ini dengan sasaran penjualan pakej percutian keseluruhan bernilai RM2,985,000.
“Pelancaran lagu
Kempen Cuti-Cuti Malaysia versi kedua berjudul Menemui Semula selari dengan fokus kerajaan untuk memperkasakan
pelancongan domestik. Lagu nyanyian Aina Abdul ini bergenrekan pop etnik dengan
kombinasi aliran world music, hip hop dan electronic dance music (EDM),” jelas Nancy.
Seperti yang dijadualkan, Aina muncul mendendangkan
lagu ciptaan Ananth Kumar (melodi) dan James Boyle (lirik) ini secara langsung
di hadapan penonton, dan mendapat tepukan bergemuruh.
Lagu Menemui
Semula yang juga menggabungkan alunan muzik tradisional seperti seruling,
gamelan, erhu, kompang dan gendang, antara lain menyelitkan mesej penerokaan
pengalaman melancong dalam negara bagi menikmati khazanah alam semula jadi bersama-sama
keluarga tersayang.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pelancongan, Seni
dan Budaya Malaysia, Datuk Seri Dr Santhara J.P, Timbalan Ketua Setiausaha
(Pelancongan) MOTAC, Mohd Zamri Mat Zain, wakil-wakil rakan kerjasama
pelancongan, dan tetamu kehormat lain.
Selain Pelancaran Pelan Pemulihan Pelancongan dan
lagu Menemui Semula, turut diadakan
sesi minum petang dan sambutan Aidilfitri 1443 Hijrah (kerana Syawal 1443
Hijrah masih ada). Hadirin dihiburkan oleh persembahan menggesek biola sambil
menari daripada Mohamad Aqmal Daniel Hashim, 22, dan sekali lagi Aina.
Sementara itu, video Menemui Semula boleh dilayari di laman Youtube Malaysia Truly Asia
di https://www.youtube/com/watch?v=tYQ6CJAvKDA.
No comments:
Post a Comment