FILEM/DRAMA TELEVISYEN
CANTIK/KACAK DAN BAKAT SAMA PENTING
MELIHAT tajuk forum, iaitu ‘Antara Cantik dan Bakat, di Manakah Magis Pengukuh Kredibiliti?’ (sepatutnya ‘Antara Cantik dengan Bakat…’), saya sudah menyangka ia tercetus daripada kenyataan kontroversi salah seorang Ahli Perbadanan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Kolonel Bersekutu (PA) Dato’ A Aida beberapa minggu lalu.
Saya turut menjangka penganjurnya, iaitu Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) mahu mencari penyelesaian, dan jawapan tuntas.
Justeru, bersama-sama FINAS, WHAM menganjurkan forum berkenaan di Dewan Perdana Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 14 November 2022 lalu.
Difahamkan, penganjuran forum tersebut juga bertujuan menyemarakkan Festival Filem Malaysia ke-32 yang bakal berlangsung pada 2 Disember 2022 depan di Melaka.
Dimudahcarakan oleh pelakon dan perantara televisyen terkenal tanah air, Fahrin Ahmad, forum berkenaan menampilkan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS, Prof Dr Md Nasir Ibrahim; pengarah, penerbit dan pelakon veteran, Datuk Yusof Haslam; serta pelakon legenda Noor Kumalasari, bersama-sama pelakon baharu Hariz Hamdan, dan Sharifah Rose sebagai ahli panel.
Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.
Senator Datuk Seri Hajah Zurainah Musa.
Sebahagian daripada pelajar Kluster Kajian Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia bersama-sama ahli panel forum dan kepimpinan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia.
Ternyata sangkaan saya tepat setelah mendengar ucapan alu-aluan Presiden WHAM, Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin yang tidak mahu persengketaan, seperti saman-menyaman berlaku antara penggiat seni tanah air atas perkara yang boleh diselesaikan dengan baik.
Turut hadir dan menyampaikan ucapan ialah Pengerusi FINAS, Senator Datuk Seri Hajah Zurainah Musa; Ketua Kluster Kajian Komunikasi Media (MENTION), FSSK, UKM, Dr Ammar Redza Ahmad Rizal; dan Dato’ A Aida sendiri.
Selain Prof Dr Md Nasir yang bercerita mengenai FINAS, dan tajuk yang tertera, jawapan dan/atau pendapat Datuk Yusof, Noor Kumalasari, serta Hariz dan Sharifah terhadap soalan-soalan Fahrin ‘mengambil jalan tengah’, iaitu tidak menyanggah atau menerima sepenuhnya cetusan Aida.
Dr Md Nasir tidak menafikan fitrah manusia sejak dahulu lagi yang suka/mahu pada kecantikan. Demikian juga, tambahnya apabila menonton filem dan drama televisyen.
“Walau bagaimanapun, bakat dan kebolehan juga perlu di samping sikap yang baik sebagai pelakon,” tegas Nasir yang menyukai Fasha Sandha dalam aspek ini.
Yusof menyentuh filem-filem arahannya yang ‘pecah panggung’, iaitu Sembilu pada 1994 (meraih RM4.2 juta), dan Sembilu II (1995/RM6.10 juta), serta sebelum itu, Bayangan Maut (1991/RM1.1 juta).
Beliau tidak muktamad membuat pilihan atau mengutamakan sama ada cantik/kacak atau bakat/kebolehan. Baginya, kedua-dua aspek tersebut subjektif.
“Saya tidak mengabaikan bakat apabila mengambil Noor Kumalasari yang sedang popular sebagai model, dan juga kerana ketinggiannya untuk Bayangan Maut, filem pertama arahan saya. Saya cenderung memilih pelakon yang tinggi, termasuklah Erra Fazira untuk kedua-dua Sembilu,” jelas Yusof yang melihat pelakon dengan ‘mata kamera’ menerusi bantuan isterinya sebagai ‘penasihat khas’.
Tambah
Yusof, isterinya yang mencadangkan Erra dan seorang lagi penyanyi popular,
Ziana Zain untuk mendampingi (Dato’) Awie, antara penyanyi terkenal tanah air
ketika itu.
“Kawan-kawan
saya menggesa saya agar menghasilkan
filem yang lari daripada kebiasaan filem Melayu. Tapi, saya tak dapat memenuhi
permintaan mereka demi survival sebagai penerbit,” jelasnya lagi yang
mendedahkan Sofea Jane pernah menjadi pilihan pertama untuk Sembilu, tetapi pelakon jelita itu
menolak kerana mahu terus mencuba watak mencabar selepas Perempuan, Isteri Dan ….? (1993).
Tegas Yusof,
beliau memandang tinggi bakat apabila
menyebut Seniman Agung Alahyarham Tan Sri P Ramlee, dan Allahyarham Azean
Irdawaty di Malaysia, serta mendiang Charles Bronson di Hollywood yang menjadi idola walaupun kurang tampan/jelita.
Noor Kumalasari menceritakan beliau
menjalani uji bakat sebelum berlakon kali pertama, walaupun kenalan baik ibu
bapanya, Allahyarham Aimi Jarr mengesyorkan langkahan ke dunia lakonan.
“Saya
menghadiri sesi itu sambil
sedikit-sebanyak meminta tunjuk ajar daripada ibu dan bapa, dan terus berusaha
sendiri,” katanya yang tidak mahu naik disebabkan oleh bapa, Allahyarham Dato’
S Roomai Noor, dan ibu, Allahyarham Datin Umi Kalthum.
Noor yang
juga dikenali sebagai penyanyi menerusi lagu-lagu seperti Usah Tergila Pandang Pertama, Selamat Pagi Sayang, Mata,
Hati Seorang Kekasih, Aku Di Sini, dan Lagu Dari Kamar, mengaku berlakon adalah
kerja sukar.
Mengenai
isu yang dibincangkan, Noor berpendapat
kecantikan/kekacakan tidak memadai sekadar luaran, tetapi perlu juga dalaman.
Kata beliau, jika dalaman cantik, luaran akan kelihatan sedemikian meskipun
wajah sebaliknya.
Sharifah Rose yang memang cantik
jelita pula tahu dirinya dikatakan sebagai ‘pelakon kayu’ pada awal kemunculan
dalam drama televisyen.
Namun demikian, kritikan pedas itu
tidak mematahkan semangatnya kerana sedar dirinya memang tiada ilmu, dan
pengalaman berlakon.
“Saya menganggap
itu sebagai pembakar semangat untuk
berjaya. Saya tak peduli, sebaliknya ‘tebalkan muka’ belajar dengan para
pelakon lama dan berpengalaman,” jelas Sharifah yang tidak menyangka
ditawarkan berlakon, dan setelah menceburinya menganggap ia kerja sukar.
Hariz juga
tidak pernah terfikir akan muncul sebagai pelakon, walaupun mengakui memang
meminati filem, dan kerana itu ‘berani’ menyertai pertandingan Hero Remaja.
“Saya tak peduli orang kata saya kacak atau
sebaliknya. Saya lebih percaya pada bakat, kerana dengannya, seseorang pelakon
boleh pergi jauh. Rupa paras tak kekal. Pelakon ialah pelakon. Begitu juga
kalau penyanyi,” tegas Hariz.
Sementara
itu, dalam ucapan beliau, Dr Ammar Redza
mengharapkan para pelajarnya dapat memanfaatkan perbincangan dalam forum
berkenaan dengan sebaik-baiknya sebagai bekalan setelah tamat pengajian nanti.
Datuk Seri Hajah Zurainah pula yang sentiasa tegas dalam ucapan
beliau, menyatakan FINAS sentiasa
menyokong usaha untuk memajukan perfileman tanah air.
Justeru,
beliau memuji usaha penganjuran forum ini walaupun tercetus daripada
kontroversi, dan juga mahu para pelajar MENTION mengambil seberapa banyak
masukan berguna daripadanya.
.
No comments:
Post a Comment