Pages

Tuesday, 18 April 2023

SAJIAN 11 TELEFILEM RAYA MENARIK

 

KEMERIAHAN yang bakal diraikan bersama-sama 11 telefilem Raya yang hebat, yang dicipta khas untuk tontonan para pelanggan bersempena dengan Syawal ini.

 

Antaranya ialah Quran Pondok Buruk (Malam Raya |8:30 malam/10pagi)

 

Kesinambungan daripada telefilem legenda Pondok Buruk 1 dan 2Quran Pondok Buruk membawakan kisah obsesi tiga beradik yang derhaka, tetapi terdesak mahukan keampunan daripada ibu mereka yang telah meninggal dunia.

 

Para pelakon: Datuk Rosyam Nor, Fauziah Nawi, Raja Azura, Vanidah Imran, Dato’ Jalaluddin Hassan.

=========================================================================


Sumpahan Peti Ais (1 Syawal/10pagi)

 

Kerana mulut badan binasa dan kerana mulut berlagak, Tina disumpah menjadi peti ais pada waktu malam. Apa yang disangkakan mimpi rupanya kenyataan. Mampukah Tina mengawal mulut lancangnya, dan membatalkan sumpahan peti ais pada Aidilfitri ini?

 

Para pelakon: Sherry Al Hadad, Didie Alias, Sharifah Sakinah.


========================================================================

Heist-dilfitri (2 Syawal/10pagi)

 

Arahan sulung Zizan Razak, Heist-dilfitri mengisahkan tiga sahabat, iaitu Ibrahim, Musa dan Anis, perompak profesional yang tidak pernah merasai kemeriahan Aidilfitri bersama-sama keluarga.

Musa mendapat idea untuk merompak rumah seorang hartawan, dan memaksanya untuk menyambut Raya seperti sebuah keluarga bersama-sama mereka.

 

Para pelakon: Zizan Razak, Issey, Shiqin Kamal, Jiha Sham, Maria Faridah, Khir Rahman.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 
___________________________________________________________________________________

Diari Chinta (3 Syawal/10pagi)

 

Chinta yang selalu gagal dalam kisah cintanya dihadiahkan sebuah diari ajaib untuk dia menulis babak cinta yang diidamkan dalam diari tersebut. Hidup Chinta mula berubah apabila apa sahaja yang ditulis dalam diari itu, semuanya menjadi kenyataan. 

 

Para pelakon: Ben Amir, Tracie Sinidol.

 

Langit Tak Mendengar (4 Syawal/10pagi)

 

Apabila abangnya tidak mampu lagi menjaga ibu mereka, Jue terpaksa membawa ibunya yang seakan-akan nyanyuk untuk tinggal bersama dengannya.

Hidup Jue mula terbeban dengan pilihan mahu menjadi anak kepada ibunya, atau isteri kepada suaminya.

 

Para pelakon: Emma Maembong, Fikry Ibrahim, Mak Engku.

 

Pengantin Tangkap Muat (5 Syawal/10pagi)

 

Mengisahkan Arif dan Mazwin bertemu jodoh dalam keadaan mengejut apabila mereka dikahwinkan tanpa perancangan. Mereka dijadikan pengantin ganti pada saat akhir kerana pengantin asal, Harishah dan Natasha melarikan diri pada malam akad nikah.

 

Para pelakon: Raff Roslee, Siti Saleha, Nafiz Zaidi, Kimberly Chua.

 

Bro Jenin (6 Syawal/10pagi)

 

Sedang dia khayal berangan, Mat Jenin terjatuh dari pokok dan tanpa disedarinya, dia telah merentasi masa, dan dibawa ke tahun 2023.

Berhadapan dengan kejutan budaya yang ekstrem, Jenin cuba menyesuaikan diri sambil cuba kembali ke zamannya dengan batuan Emily.

 

Para pelakon: Remy Ishak, Daiyan Trisha.

 

Challenge Accepted (7 Syawal/1 pagi)

 

Setelah Fatimah, seorang gadis misteri berpurdah, menjadi viral apabila muncul dalam videonya, Jeff seorang TikTokers terkenal dicabar oleh peminatnya untuk mencari, berkenalan dan membuat Fatimah jatuh hati kepadanya.

Mampukah dia berbuat demikian?

 

Para pelakon: Ryan Bakery, Erysha Emyra.

 

Raya Sebagai Isteri (8 Syawal/10 pagi)

 

Soraya dan Haidar disatukan atas kehendak ibu Soraya, dan Soraya tidak pernah rasa bahagia dari hari pertama dia bergelar isteri.

Rasa tidak bahagia itu perlahan-lahan berubah menjadi cemburu apabila Haidar dan ibunya menjadi terlalu rapat sehingga Soraya rasa tergugat dengan statusnya sebagai isteri Haidar.

 

Para pelakon: Hawa Rizwana, Zizan Razak.

 

Bukan Biasa Biasa (9 Syawal/10 pagi)

 

Sofia diberi tugas memasarkan tudung mewah koleksi Raya terbaharu daripada pereka fesyen terkenal, Aisha Aminuddin dan dia juga perlu bekerjasama dengan Ketua Pereka syarikat bernama Mael Lambo.

Masalah timbul apabila Mael dituduh meniru rekaan sebuah perniagaan tudung kecil-kecilan yang sedang meningkat naik untuk rekaan baharu tudung Raya Aisha.

 

Para pelakon: Siti Khadijah, Adlin Aman Ramlee, Alicia Amin.

 

Debunk (21 April 2023/10 Malam)

 

Sekuel daripada telefilem viral Debunk, perjalanan cerita kali ini membawa Edna yang secara curi-curi mengikut Sofi balik ke rumahnya dengan niat hendak menyambut Hari Raya bersama-sama keluarga Sofi.

Edna juga jatuh cinta dengan Rafi, abang Sofi, dan kehadiran Edna mula memporak-perandakan persiapan Raya keluarga Sofi.

 

Para pelakon: Sharifah Sakinah, Wan Chai.

Saturday, 15 April 2023

FILEM

 

Papar Kecanggihan CGI, Peralatan Bomba

FLASH OVER

 

JIKA terlupa bahawa kecanggihan imej penjanaan komputer (CGI) telah ada, ataupun CGI belum wujud lagi, memang saya menganggap para pembikin filem ini sangat berani, dan wajar diberikan tabik spring!

 

Masakan tidak. Filem Flash Over ini membawa kisah anggota bomba dan penyelamat yang bertungkus-lumus menyelamatkan mangsa-mangsa gempa bumi. Adegan-adegan cemas yang dipaparkan dalam filem ini memang mendebarkan – dengan letupan demi letupan dan kebakaran besar. Sering saya menonton dengan gelisah dan tertanya-tanya bilakah semuanya akan berakhir.

 

Filem ini adalah filem bencana akibat gempa bumi yang menyebabkan kebakaran besar. Walau bagaimanapun, jika tiada kecanggihan CGI, tentulah adegan-adegan yang (mungkin) boleh mendatangkan bencana sebenar (kalau tersilap perkiraan), dan membawa kematian sebenar, mustahil dapat dilakukan.

 

Diarahkan oleh Oxide Pang yang berpengalaman menghasilkan 16 filem sejak 1999, Flash Over menampilkan Du Jiang, Wang Qianyuan, Tong Liya dan Han Xue sebagai pemegang watak utama.

 

Du berlakon sebagai Penyelaras Pasukan Bomba dan Penyelamat Han Kai. Wang pula memegang watak Kapten Zhao Ying Qi (Pasukan Bomba dan Penyelamat). Sementara itu, Tong sebagai Ye Xin, Jurutera Keselamatan Taman Industri Kimia, dan Han (Zhang Yong, guru sekolah rendah).

 

Ada juga Yu Haoming (Liu Zitao, Timbalan Pegawai Jabatan Bomba), Elvis Han (Wu, anggota/rekruit baharu Jabatan Bomba), serta Hu Jun (Wang, Setiausaha Majlis, Kementerian Pengurusan Kecemasan), Lo Ka Leung (Sun Yang, pegawai keselamatan Taman Industri), Wang Ge (Ben Wang, anggota bomba), dan Yin Xiaotian (Li Quan, pegawai bomba Taman Industri), Sophie Su (Yuan Ping, pegawai jururawat, Jabatan Ambulans), dan Jiang Mengjie (Zheng Wen, jurutera kimia).           

 

Kisah Flash Over bukan adaptasi atau berdasarkan kisah benar. Namun demikian, CGI yang bermutu tinggi menjadikan tragedi yang dipaparkan seperti benar-benar berlaku. Adegan situasi peristiwa sedang berlaku, dan setelah kejadian reda, mengagumkan.

 

Jadi, saya fikir secara tidak langsung filem ini memaparkan dua kecanggihan. Kecanggihan pertama adalah CGI yang digunakan bagi adegan-adegan cemas. Sudah pastilah CGI dimanfaatkan sebaik mungkin kerana pembikin – malah semua orang - tidak mahu ada yang terkorban semasa penggambaran.

 

Pembikinan filem produksi negara China ini juga beruntung kerana mendapat khidmat Dion Lam, pakar koreografi aksi lasak dari Hong Kong, iaitu salah seorang koreografer yang bereputasi tinggi.

 

Gempa bumi 3.1 magnitud yang berlaku telah menyebabkan dua letupan besar di kawasan perusahaan kimia di Guancheng. Seluruh taman industri itu hampir musnah, dan kawasan sekolah yang berdekatan turut terkena tempiasnya.

 

Kapten Ying, dan Liu bergegas ke tempat kejadian, tetapi kemudian mereka sendiri terperangkap di situ. Pada masa yang sama, Ye ditemani Han datang untuk membuat penilaian kerosakan.

 

Kapten Zhao dan Han, di sebalik pertentangan antara mereka, sanggup melupakan masalah tersebut dan bekerjasama.



Tong-tong berisi kimia yang meletup, tiba-tiba runtuh, ketika usaha untuk menghalang kesan letupan nuklear, dan mengawal kebakaran di teluk hingga semuanya kembali pulih terus dilakukan. Kapten Zhao dan anak buahnya segera memadamkan kebakaran.

 

Flash Over memang filem aksi lasak dan cemas. Walau bagaimanapun, turut diselitkan sedikit unsur romantik, dan perasaan cinta antara watak. Han sebenarnya menaruh hati terhadap Ye, tetapi sukar berterus-terang.

 

Dengan lakonan yang bagus dan CGI yang cemerlang, Flash Over berbaloi ditonton. Untuk itu, jangan ketinggalan ke pawagam berhampiran anda bermula 28 April nanti.



Monday, 10 April 2023

FILEM


PETRONAS Teroka Budaya Malaysia dengan Muzik

DILEMA IRAMA

 

PETRONAS meneruskan tradisinya menyambut Hari Raya Aidilfitri dengan karya visual untuk seluruh rakyat Malaysia. Sebagaimana sebelum ini, karya daripada PETRONAS memang dinanti-nanti.

 

Untuk Syawal 1444, ia menerbitkan Dilema Irama, filem pendek yang memaparkan keindahan budaya, dan warisan Malaysia.

Pengarah Hyrul Anuar (paling kanan) bersama-sama barisan pelakon Dilema Irama



Roslam Madun turut membuat persembahan dalam majlis Ramah Mesra dengan Pengarah dan Pelakon Filem Raya 2023 PETRONAS & Iftar Ramadan pada 10 April lalu.




Dilema Irama merakamkan intipati Aidilfitri dengan jalan ceritanya yang penuh emosi. Gubahan muziknya pula asli yang membawa penonton menelusuri perjalanan penemuan diri, dan hubungan kekeluargaan.




Diarahkan oleh pengarah filem tempatan terkenal Hyrul Anuar, Dilema Irama adalah kisah bapa dan anak lelaki yang berkongsi minat yang besar untuk muzik walaupun berbeza genre.

 

Nadim, lakonan Ikhlas Jalil, seorang komposer muzik kontemporari yang baru muncul. Dia menghadapi dilema apabila dengan berat hati bersetuju bermain gambus untuk persembahan muzik tradisional bapanya, lakonan Roslan Madun dalam acara iftar, menyebabkan timbul konflik antara mereka.

 

Semasa cerita berlangsung, penonton dapat melihat bagaimana anak-beranak itu kembali bersatu melalui muzik.

 

Menurut Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Datin Anita Azrina Abdul Aziz, lagu tradisional adalah warisan asli rakyat Malaysia, yang mencerminkan budaya pelbagai generasi yang kaya dengan seni, dan sopan santun terbaik.

 

“Keindahan lagu-lagu perayaan tradisional menjadi inspirasi kami untuk menghasilkan Dilema Irama yang menampilkan tiga gubahan muzik asli, berpaksikan pada tema sambutan perayaan PETRONAS untuk 2023, iaitu Akar untuk Masa Depan,” tambah Datin Anita.

 

“Kami harap cerita berkenaan akan memberi inspirasi kepada rasa bangga dan penghargaan yang diperbaharu terhadap tradisi, dan adat budaya Malaysia yang pelbagai,” katanya lagi.

 

Saksikan filem penuh irama dan emosi yang mengisahkan tentang pertembungan irama dua generasi, pada Aidilfitri ini.

 

Tonton Dilema Irama bersama-sama keluarga, dan rakan-rakan di Facebook dan saluran YouTube PETRONAS yang telah bermula pada 3 April lalu.

 

Filem pendek ini dilancarkan pada 10 April lalu dalam majlis Ramah Mesra dengan Pengarah dan Pelakon Filem Raya 2023 PETRONAS & Iftar Ramadan di sebuah hotel terkenal di Kuala Lumpur.

 

Antara yang hadir termasuklah Datin Anita Azrina Abdul Aziz, serta Ikhlas, Roslan, Hyrul, dan wakil media.

Saturday, 8 April 2023

SYIAR

 

Baca al-Quran, Haflah, Tadabbur, Tausiyah Mantapkan Ramadan Kita

 

BEBERAPA selebriti televisyen terkenal dan pelakon lelaki/wanita veteran turut menghadiri dan menjayakan ‘Mega Haflah’, bersempena dengan sambutan Nuzul al-Quran 1444 Hijrah/2023 Masehi di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada 7 April lalu.

 

Majlis anjuran Infaq Ihsan, Mega Haflah, Sweet Talk to Syurga, dan Rumah Ngaji tersebut bertemakan Meraih Keberkatan Ramadhan Bergema Takbir Syawal, dengan #pemburulailatulqadar.

 

Datuk Hjh Rozzana Dato’ Hj Rahmat turut tampil pada penghujung slot berkenaan menyampaikan tadabbur surah tersebut.

 

                                             Persembahan qasidah dan maulid.



Ammar Mukhlis, Ustaz Amirahman Abas dan Ustaz Zainur Irsyadi, bersama-sama Datuk Hjh Rozzana Dato’ Hj Rahmat.



                            Ustaz Huda Edayu tampil menjayakan slot Penyucian Jiwa.

 

Pelakon lelaki yang juga pelawak terkenal itu ialah Shamsul Ghau Ghau. Sementara pelakon wanita veteran pula termasuklah Delimawati yang terkenal dengan watak Kak Limah (dalam filem Hantu Kak Limah Balik Rumah, dan Hantu Kak Limah), Kuza dan Noniswara.

 

Selebriti televisyen yang dimaksudkan ialah pentadabbur program terkenal My Qurantime, Ustaz Fazrul Ismail bersama-sama salah seorang qarinya, Ustaz Tarmidzi Abdul Rahman.

 



                Sebahagian daripada anak yatim yang menerima sumbangan duit Raya.



        Ustaz Syahmil Syazeril dengan ceramah bertajuk Ketika Turunnya Rahmat Ilahi.

 



Sumbangan duit Raya kepada anak-anak yatim dan asnaf disampaikan oleh Datuk Hjh Rozanna Dato' Hj Rahmat.


 ----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Ustaz Fazrul menyampaikan tausiyah berjudul Syukur & Sabar Bekalan Ramadhan sebelum waktu berbuka puasa. Ustaz Tarmidzi pula menjadi imam solat isyak dan terawih berjemaah.

 

Acara ‘Mega Haflah’ yang berlangsung dari jam 3 petang hingga 10.30 malam itu dimulakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif & Felo Pendidik at Tadabbur Centre, Ustaz Syahmil Syazeril dengan ceramah bertajuk Ketika Turunnya Rahmat Ilahi.

 

Muddaris Akademi Qurra TV Al Hijrah, Ammar Mukhlis; Finalis Otrel Kalam Riyadh dan Naib Johan Tilawah al-Quran, Negeri Sembilan, Ustaz Zainur Irsyadi, dan Johan Qari Majlis Tilawah al-Quran peringkat Antarabangsa 2011, Ustaz Amirahman Abas bergabung dalam slot Mega Haflah, membacakan surah al-Qadr.




Ustaz Fazrul menyampaikan tausiyah berjudul Syukur & Sabar Bekalan Ramadhan.



__________________________________________

Pengasas dan penganjur Mega Haflah, Datuk Hjh Rozzana Dato’ Hj Rahmat turut tampil pada penghujung slot berkenaan menyampaikan tadabbur surah tersebut.

 

Selepas itu, Ustaz Huda Edayu tampil menjayakan slot Penyucian Jiwa.

 

Selain ceramah agama, berbuka puasa, makan malam, solat berjemaah, moreh serta qasidah dan maulid, Mega Haflah tidak melupakan anak-anak yatim dan asnaf. Sumbangan duit Raya kepada anak-anak yatim dan asnaf disampaikan oleh Datuk Hjh Rozanna sendiri.





Friday, 7 April 2023

PELANCONGAN


Atasi Kesan Kerenah Orang Tengah, Basmi Rasuah

SISTEM PENDIGITALAN PEKERJA ASING

 

KAPTEN (B) Mahadzir Tan Sri Mansor menganggap pihaknya bertuah kerana hasrat selari dengan iltizam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai Kerajaan Perpaduan membanteras rasuah.

 

Usaha menghapuskan gejala dan musuh besar negara ini boleh dilakukan dalam apa juga bidang, dan pelbagai cara. Antara bidang yang penting dan penyumbang ekonomi negara, tetapi turut terpalit dengan kesan gejala rasuah ialah pelancongan.

 

Menurut Kapten Mahadzir yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MiTDA), persatuan beliau ditubuhkan untuk menjadi pemangkin kepada pembangunan, dan inisiatif baharu para pemegang taruh dalam industri pelancongan.

 

“Pemegang-pemegang taruh dalam industri pelancongan mempunyai lebih daripada 50 persatuan pelbagai bidang pemfokusan. Perjanjian persefahaman atau MoU yang dimeterai pada 1 April lalu dengan WOWI HR-Malaysia yang berpengalaman luas pada peringkat antarabangsa diharap dapat membantu mempermudah proses permohonan,” kata beliau.


Datuk Dr Hassan Saad (tiga dari kiri), Prakash Gaier (lima dari kiri), Dato' Noor Zaleha Baharuddin (empat dari kanan), dan Kapten (B) Mahadzir Tan Sri Mansor (tiga dari kanan) selepas sidang media.


Dari kiri; Datuk Dr Hassan Saad, Prakash Gaier, Dato' Noor Zaleha Baharuddin, dan Kapten (B) Mahadzir Tan Sri Mansor.

                    
                   Dato' Noor Zaleha Baharuddin (kiri) dan Kapten (B) Mahadzir Tan Sri Mansor.

                                    
                             Ketua Pegawai Eksekutif WOWI HR-Malaysia Gaier (tengah).


                                              Kapten (B) Mahadzir Tan Sri Mansor (kanan).


MiTDA, tambahnya, akan berusaha memulihkan sektor pelancongan, serta merangka inisiatif dan bantuan bagi memacu semula sektor pelancongan yang merupakan antara penyumbang terbesar keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

 

Kapten Mahadzir menegaskan sedemikian semasa sidang media Pengurusan Sistem bagi Mengatasi Masalah Pekerja Asing untuk Sektor Pelancongan oleh MiTDA dan WOWI HR-Malaysia di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) pada 7 April lalu.

 

Turut hadir ialah Pengerusi WOWI HR-Malaysia, Datuk Dr Hassan Saad; Ketua Pegawai Eksekutif WOWI HR-Malaysia, Prakash Gaier, dan Presiden MiTDA, Dato’ Noor Zaleha Baharuddin.

 

Menurut Dato’ Noor Zaleha, dianggarkan kini Malaysia kekurangan lebih daripada sejuta pekerja asing. Ia berlaku akibat pengambilan pekerja asing dibekukan, sementara mereka yang telah tamat tempoh pas lawatan dihanar pulang, dan tiada pengganti di sepanjang 2020 dan 2021.

 

“Umum mengetahui sektor kritikal seperti perkilangan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan, lebih-lebih lagi sektor pelancongan sangat memerlukan tenaga kerja asing,” kata Dato’ Noor Zaleha.

 

Sektor pelancongan, tambah beliau, memerlukan antara 15,000 hingga 20,000 pekerja. Usaha sedang dilakukan untuk mengambil seramai mungkin, termasuk pengambilan pekerja-pekerja asing bagi mengisi keperluan dalam semua sektor pelancongan, khususnya perhotelan.

 

Objektif MoU MiTDA dengan WOWI HR-Malaysia mengikut panduan Kementerian Sumber Manusia, dan kolaborasi dengan Jabatan Tenaga Kerja, Pertubuhan Keselamatan Sosial, dan Pembangunan Sumber Manusia untuk melaksanakan sistem digital pengambilan tenaga kerja, khasnya untuk sektor pelancongan negara.

 

Dato’ Noor Zaleha, Kapten Mahadzir, Hassan dan Prakash yakin sistem digital pengambilan tenaga kerja dapat mengatasi masalah kekurangan tenaga kerja tersebut.

 

Terlebih dahulu, yang penting ialah memberi manfaat kepada rakyat Malaysia bagi mengisi jawatan kosong yang diperlukan, di samping memilih dengan teliti pekerja asing bagi menampung keperluan mendesak pengusaha dalam semua sektor pelancongan.

 

Walaupun masih baharu di Malaysia, tetapi sistem pendigitalan ini telah lengkap dan pelaksanaannya mampu mencapai matlamat.

 

Tegas Kapten Mahadzir, pelaksanaan sistem ini dapat mengelakkan penyelewengan seperti penipuan dan rasuah. Ejen atau orang tengah adalah anasir yang amat menyumbang bagi berlakunya penyelewengan.

 

Tanpa penipuan dan rasuah, negara juga dapat menjimatkan perbelanjaan mengimport tenaga pekerja asing. Inilah yang saya maksudkan matlamat MiTDA selari komitmen kerajaan, khususnya Perdana Menteri terhadap pembasmian gejala rasuah,” tambah beliau dengan yakin.

 

Pentadbiran Malaysia kini memang berusaha mewujudkan sebuah sistem digital pada proses pengambilan tenaga pekerja, bagi memastikan kebajikan antara pekerja asing dengan majikan terjamin.

 

Matlamat membentuk sistem ini, menurut Datuk Seri Anwar adalah mengurangkan kerenah birokrasi dan penglibatan orang tengah yang dilihat tambah menyukarkan proses kemasukan, selain menyeragamkan kos pengambilan pekerja asing yang dilihat tidak selari, iaitu sekitar RM10,000 sehingga RM25,000.

 

Bukan sekadar menjadikan medium tersebut sebagai akses mudah untuk majikan di Malaysia dan pekerja asing di luar negara berinteraksi, tetapi segmen aduan antara yang akan turut tersedia untuk memastikan tiada penindasan melibatkan gaji atau penderaan berlaku dalam kalangan kedua pihak.