Teater Hargai Pengorbanan Para Guru, Angkat YAA
CIKGU ANDA
BERTUAH rakyat Malaysia, khususnya para peminat seni apabila dua bulan berturut-turut, iaitu pada Mei dan Jun tahun ini dapat menonton karya visual yang menampilkan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Anwar).
Bermula 18 Mei lalu, filem Anwar: The Untold Story ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Pada 10 Jun nanti, akan berlangsung pementasan teater pula, iaitu Cikgu Anda, terbitan Persatuan Alumni Yayasan Anda Akademik Malaysia (PAYAAM) dengan kerjasama PEMEKAR, dan Grand Barakah Hotel di hotel berkenaan di Ampang.
Dengan tema sambutan Hari Guru Kebangsaan 2023, iaitu ‘Cikgu Pencetus Generasi Madani’, idea asal teater ini datang daripada Dato’ Dr Suhaimi Ibrahim. Skripnya ditulis oleh Anwar Idris, penulis veteran.
Dato’ Dr Suhaimi juga bertindak sebagai penerbit menerusi PAYAAM, sementara Amran Nasrudin yang juga Pengerusi Persatuan Melodi Kenangan Artis dan Penggiat Seni Malaysia (PEMEKAR) mengolah pentas, dan mengarah Cikgu Anda.
Pementasan teater Cikgu Anda yang berdurasi sekitar 90 minit bermula jam 8.30 malam, merupakan antara program PAYAAM untuk mengangkat perjuangan pengasasnya menubuhkan Yayasan Anda Akademik (YAA) sebagai sebuah institusi pendidikan swasta untuk menampung keciciran pelajar, khususnya pelajar luar bandar bagi menerus, dan mendapatkan pendidikan yang lebih tinggi.
Selain itu, pementasannya juga diadakan untuk memugar cita-cita, dan idealisme perjuangan YAA menerusi motto ‘Insan Akademis yang Bertaqwa’ yang telah dicetuskan oleh Anwar sebagai pengasas, dan dianggap ikon pendidikan negara.
Di samping memberikan peluang kepada masyarakat berkongsi pengalaman mengenai falsafah dan perjuangan serta sumbangan besar yang telah diberikan oleh Anwar dalam bidang pendidikan pada zaman mudanya di YAA, sebagai sebuah institusi pendidikan swasta yang berjaya, dan berpengaruh dalam pembangunan pendidikan negara.
Tanpa bayaran masuk, Cikgu Anda akan dijayakan oleh gabungan pelakon berpengalaman luas, dan generasi baharu di bawah arahan Amran yang juga pelakon, pengarah dan penggiat teater selama empat dekad.
Mereka yang dimaksudkan ialah Dato’ Ahmad Tamimi Siregar, Abon, Mubarak Majid, Hairi Safwan, Najua P Ramlee, Che Mat Raja Lawak, Sarah Fazny, Irea Sabariah, Shasha Marcela, Amir Ameezan, Fitri Amran, dan Rizal.
Cikgu Anda mengisahkan Nazri (lakonan Che Mat Raja Lawak) yang nekad berhijrah ke Kuala Lumpur untuk menimba ilmu di YAA, setelah kecewa hanya memperoleh gred 3 dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia.
Sasaran utama Nazri ialah lulus cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan (STP), dan kemudian ke institusi pengajian tinggi. Dengan bantuan Cikgu Anwar Ibrahim (lakonan Hairi Safwan), Nazri diterima menjadi pelajar.
Nazri hidup sebatang kara di Kuala Lumpur. Segala kos sara hidup dan pelajaran terpaksa diusahakannya sendiri. Nazri bekerja di kedai makan Amjal. Biasanya jika malam bekerja, dia belajar pada waktu siang. Begitu juga sebaliknya bersilih ganti.
Dengan bantuan pendidikan dari keluarga YAA, Nazri lulus cemerlang dalam STP, dan berjaya melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya.
Lokasi pementasan teater Cikgu Anda mampu memuatkan seramai 600 penonton dengan susunan 10 kerusi setiap meja, termasuk western set dinner.
Untuk makluman, Anwar sebagai Penaung YAA akan hadir sama
menonton bersama-sama isteri, dan ahli keluarga pada 10 Jun itu.
PEMEKAR yang ditubuhkan hampir dua tahun lalu bermatlamat
memperkasakan pencapaian karya-karya nostalgia insan seni. Pada masa yang sama
tujuan utamanya ialah menjalankan aktiviti, serta program seni, dan budaya bagi
mencari dana kebajikan untuk para penggiat seni meneruskan kelangsungan hidup –
lebih-lebih lagi akibat COVID-19.
Pada 1 Jun lalu bertempat di hotel yang sama telah
berlangsung majlis Sidang Media Teater Cikgu
Anda yang dihadiri Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur, Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi, serta Dr Suhaimi, Amran,
para pelakon, dan Ketua Pegawai
Eksekutif hotel tersebut yang juga
Penerbit Eksekutif, Dato’ Seri Razali Mohd Sham.
Pelancaran teater Cikgu
Anda disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara, Senator Prof Datuk Seri Dr Awang
Sariyan.
Sebelum itu, hadirin turut dihiburkan dengan persembahan fragmen
teater Cikgu Anda yang dijayakan oleh
Che Mat, Abon, Najua, Irea, dan Dato’ Ahmad Tamimi yang memegang watak Datuk Seri Anwar Ibrahim.
No comments:
Post a Comment