Pages

Wednesday, 7 June 2023



MUZIK/PENDIDIKAN

 

Kolaborasi PRIHATIN-Siti Nurhaliza 'Berhibur Sambil Beramal' dalam Konsert David Foster

 

PENGANJURAN Konsert Eksklusif David Foster and Friends Asia 2023 dijangka mendapat sambutan luar biasa daripada peminat tempatan, dan antarabangsa apabila pertama kali akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 7 Ogos depan.

 

Faktor jangkaan sambutan sedemikian antara lain ialah penampilan khas penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Hajah Siti Nurhaliza yang akan turut bergandingan dengan David Foster.

 

Konsert ini dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dengan kerjasama B De Paris Beauty Project Ent.






PRIHATIN merupakan sebuah organisasi kebajikan yang ditubuhkan untuk menyediakan pelbagai bantuan kepada golongan miskin, dan tiada kemampuan ke arah kehidupan yang lebih baik, melibatkan tiga teras utama, iaitu pendidikan, kepimpinan, dan keusahawanan.

 

Ia turut menjadi penggerak utama membantu kerajaan dalam melaksanakan program-program bercorak kemasyarakatan di seluruh negara dalam menyalurkan bantuan dengan telus, dan sistematik.

 

Menjelang tarikh konsert berkenaan dan sebagai usaha mewar-warkannya, majlis sidang media diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada 7 Jun lalu.


          Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Haji Mohd Aizuddin Mohd Ghazali. 



Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Haji Mohd Aizuddin Mohd Ghazali turut menghadiri sidang media tersebut bersama-sama Dato’ Sri Siti.

 

Oleh kerana beberapa masalah teknikal, Foster tidak dapat turut serta menerusi sidang video, meskipun pada awalnya dirancang tampil sedemikian. Apa pun, sidang media dapat berjalan dengan baik dan santai-mesra.

 

Konsert ini juga diadakan bersempena dengan hasrat menghargai para peminat Siti, sama ada dari tempatan mahupun antarabangsa hasil gabungan, dan paduan penyanyi terkenal tempatan, dan pemuzik terkenal antarabangsa.

 

Hebatnya, konsert ini turut menampilkan penyanyi terkenal era 90-an, Michael Bolton, dan Peabo Byson serta Katherine Hope McPhee, dan Loren Allred. Mereka akan menemani Foster di sepanjang konsert meganya ini. McPhee juga bekas isteri pertama Foster.


 

 Difahamkan, sebahagian daripada hasil jualan tiket yang dijual akan disalurkan ke Tabung Kasih PRIHATIN bagi kegunaan, dan manfaat pendidikan pelajar di menara gading yang tiada kemampuan dalam kategori asnaf, dan B40.

 

Konsert ini dijangka menjadi satu fenomena baharu bagi peminat tempatan, dan antarabangsa apabila menggamit memori gandingan Siti dan Foster pada 2014. Ia juga bakal mengukuhkan nama Malaysia di persada antarabangsa, dan memperkuat hubungan Malaysia-negara luar, selain mahu memperkasakan pendidikan menerusi PRIHATIN menganjurkan konsert amal antarabangsa berskala besar untuk mengumpulkan dana kebajikan.

 

Siti bersyukur kerana akhirnya konsert yang ditunggu-tunggu hampir tiba, dan tidak sabar ingin berganding sekali lagi dengan Foster, serta rakan-rakan selebriti lain.

 

Untuk itu, Siti berharap beliau akan dapat benar-benar bersedia dari segi vokal, dan mental untuk memberikan persembahan terbaik, serta habis-habisan meskipun hanya mengalunkan dua lagu.

 

“Saya juga berasa amat gembira untuk para peminat tempatan, dan antarabangsa kerana selain berhibur, mereka akan turut menyumbang untuk dana kebajikan di Malaysia menerusi PRIHATIN,” tambah beliau yang mengucapkan terima kasih kepada penganjur konsert, dan menganggap dirinya mewakili Malaysia.

 

“Penganjuran konsert ini membolehkan rakyat Malaysia memberi sumbangan secara tidak langsung bagi membantu mereka yang memerlukan di luar sana,” tegas Siti yang merahsiakan lagu ciptaan Foster, dan lagu popular beliau ciptaan komposer tempatan yang bakal didendangkan nanti.

 

Walaupun mengakui sukar untuk memilih hanya sebuah daripada sekian banyak lagu popularnya sejak 1996, tetapi beliau mengaku telah pun membuat pilihan.

                                     

Dato’ Sri Hajah Siti Nurhaliza bersama-sama Dato’ Haji Mohd Aizuddin Mohd Ghazali (kiri) semasa sidang media Konsert David Foster & Friends Asia 2023.


Foster, 73, kelahiran British Columbia, Kanada masih aktif. Beliau pencipta melodi, penyusun, eksekutif muzik, penerbit album, dan memenangi 16 anugerah daripada 47 pencalonan Anugerah Ammy.

 

Merangkumi genre klasik, pop, rock, gospel, R&B dan jazz, antara melodi ciptaannya yang popular termasuklah lagu Hard to Say I’m Sorry nyanyian Chicago, Goodbye (Air Supply), In the Stone (Earth, Wind & Fire), The Best of Me (Olivia Newton-John-Foster), When a Man Loves a Woman (Bolton), I Have Nothing (Whitney Houston), dan The Colour of My Love (Celine Deon).

 

Sebelum itu, Dato’ Mohd Aizuddin menjelaskan penganjuran konsert David Foster & Friends Asia 2023 bakal memberikan manfaat kepada anak-anak Malaysia Madani di menara gading yang kurang kemampuan dari golongan asnaf untuk meringankan bebas kos sara hidup di kampus.

 

“PRIHATIN amat proaktif dalam menjalankan program-program bersifat kebajikan, terutamanya, dalam memperkasakan pendidikan negara ke aras yang lebih tinggi di persada dunia,” katanya yang teruja kerana diberi peluang menganjurkan konsert ini yang bukan hanya bersifat komersial semata-mata, tetapi turut menekankan konsep ‘berhibur sambil beramal’.

 

Mohd Aizuddin turut bersyukur dengan penglibatan semua artis yang bersetuju untuk sama-sama mencari dana menerusi jualan tiket, seterusnya menyalurkan sebahagian hasil jualan bagi tujuan kebajikan.

 

“PRIHATIN turut berterima kasih kepada pihak korporat dan orang perseorangan yang membeli tiket korporat, sekali gus memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan dalam bidang pendidikan,” kata beliau lagi.

                                                 

Kepada para peminat, tiket telah mula dijual bermula dengan harga RM288, RM388, RM488, RM688, RM788, dan RM988 secara atas talian di laman sesawang di www.myticket.asia.

         






No comments:

Post a Comment