MUZIK/PENDIDIKAN
Kolaborasi PRIHATIN-Siti Nurhaliza 'Berhibur Sambil Beramal' dalam Konsert David Foster
PENGANJURAN Konsert Eksklusif David Foster and Friends Asia 2023 dijangka mendapat sambutan luar biasa daripada peminat tempatan, dan antarabangsa apabila pertama kali akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 7 Ogos depan.
Faktor jangkaan sambutan sedemikian antara lain ialah penampilan khas penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Hajah Siti Nurhaliza yang akan turut bergandingan dengan David Foster.
Konsert ini dianjurkan oleh Yayasan Prihatin Nasional (PRIHATIN) dengan kerjasama B De Paris Beauty Project Ent.
PRIHATIN merupakan sebuah organisasi kebajikan yang ditubuhkan untuk menyediakan pelbagai bantuan kepada golongan miskin, dan tiada kemampuan ke arah kehidupan yang lebih baik, melibatkan tiga teras utama, iaitu pendidikan, kepimpinan, dan keusahawanan.
Ia turut menjadi penggerak utama membantu kerajaan dalam melaksanakan program-program bercorak kemasyarakatan di seluruh negara dalam menyalurkan bantuan dengan telus, dan sistematik.
Menjelang tarikh konsert berkenaan dan sebagai usaha mewar-warkannya, majlis sidang media diadakan di sebuah hotel terkemuka di ibu kota pada 7 Jun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Haji Mohd Aizuddin Mohd Ghazali.
Ketua Pegawai Eksekutif PRIHATIN, Dato’ Haji Mohd Aizuddin Mohd Ghazali turut menghadiri sidang media tersebut bersama-sama Dato’ Sri Siti.
Oleh kerana beberapa masalah teknikal, Foster tidak dapat turut serta menerusi sidang video, meskipun pada awalnya dirancang tampil sedemikian. Apa pun, sidang media dapat berjalan dengan baik dan santai-mesra.
Konsert ini juga diadakan bersempena dengan hasrat menghargai para peminat Siti, sama ada dari tempatan mahupun antarabangsa hasil gabungan, dan paduan penyanyi terkenal tempatan, dan pemuzik terkenal antarabangsa.
Hebatnya, konsert ini turut menampilkan penyanyi terkenal era 90-an, Michael Bolton, dan Peabo Byson serta Katherine Hope McPhee, dan Loren Allred. Mereka akan menemani Foster di sepanjang konsert meganya ini. McPhee juga bekas isteri pertama Foster.
Difahamkan, sebahagian daripada hasil jualan tiket yang dijual akan disalurkan ke Tabung Kasih PRIHATIN bagi kegunaan, dan manfaat pendidikan pelajar di menara gading yang tiada kemampuan dalam kategori asnaf, dan B40.
Konsert
ini dijangka menjadi satu fenomena baharu bagi peminat tempatan, dan
antarabangsa apabila menggamit memori
gandingan Siti dan Foster pada 2014. Ia juga bakal mengukuhkan nama
Malaysia di persada antarabangsa, dan memperkuat hubungan Malaysia-negara luar,
selain mahu memperkasakan pendidikan menerusi PRIHATIN menganjurkan konsert
amal antarabangsa berskala besar untuk mengumpulkan dana kebajikan.
Siti
bersyukur kerana akhirnya konsert yang ditunggu-tunggu hampir tiba, dan tidak
sabar ingin berganding sekali lagi dengan Foster, serta rakan-rakan selebriti
lain.
Untuk itu, Siti berharap beliau akan
dapat benar-benar bersedia dari segi vokal, dan mental untuk memberikan
persembahan terbaik, serta habis-habisan meskipun hanya mengalunkan dua lagu.
“Saya
juga berasa amat gembira untuk para peminat tempatan, dan antarabangsa kerana
selain berhibur, mereka akan turut menyumbang untuk dana kebajikan di Malaysia
menerusi PRIHATIN,” tambah beliau yang
mengucapkan terima kasih kepada penganjur konsert, dan menganggap dirinya
mewakili Malaysia.
“Penganjuran
konsert ini membolehkan rakyat Malaysia memberi sumbangan secara tidak langsung
bagi membantu mereka yang memerlukan di luar sana,” tegas Siti yang merahsiakan
lagu ciptaan Foster, dan lagu popular beliau ciptaan komposer tempatan yang
bakal didendangkan nanti.
Walaupun
mengakui sukar untuk memilih hanya sebuah daripada sekian banyak lagu
popularnya sejak 1996, tetapi beliau mengaku telah pun membuat pilihan.
Dato’ Sri Hajah Siti Nurhaliza bersama-sama Dato’ Haji Mohd Aizuddin Mohd Ghazali (kiri) semasa sidang media Konsert David Foster & Friends Asia 2023.
Foster, 73, kelahiran British
Columbia, Kanada masih aktif. Beliau pencipta melodi, penyusun, eksekutif muzik,
penerbit album, dan memenangi 16 anugerah daripada 47 pencalonan Anugerah Ammy.
Merangkumi
genre klasik, pop, rock, gospel, R&B dan jazz, antara melodi ciptaannya
yang popular termasuklah lagu Hard to Say I’m Sorry nyanyian Chicago, Goodbye (Air Supply), In the Stone (Earth, Wind & Fire), The Best of Me (Olivia
Newton-John-Foster), When a Man Loves a
Woman (Bolton), I Have Nothing
(Whitney Houston), dan The Colour of My
Love (Celine Deon).
Sebelum
itu, Dato’ Mohd Aizuddin menjelaskan
penganjuran konsert David Foster &
Friends Asia 2023 bakal memberikan manfaat kepada anak-anak Malaysia Madani
di menara gading yang kurang kemampuan dari golongan asnaf untuk meringankan
bebas kos sara hidup di kampus.
“PRIHATIN
amat proaktif dalam menjalankan program-program bersifat kebajikan,
terutamanya, dalam memperkasakan pendidikan negara ke aras yang lebih tinggi di
persada dunia,” katanya yang teruja kerana diberi peluang menganjurkan konsert
ini yang bukan hanya bersifat komersial semata-mata, tetapi turut menekankan
konsep ‘berhibur sambil beramal’.
Mohd Aizuddin turut bersyukur dengan
penglibatan semua artis yang bersetuju untuk sama-sama mencari dana menerusi
jualan tiket, seterusnya menyalurkan sebahagian hasil jualan bagi tujuan
kebajikan.
“PRIHATIN
turut berterima kasih kepada pihak korporat dan orang perseorangan yang membeli
tiket korporat, sekali gus memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan
dalam bidang pendidikan,” kata beliau lagi.
Kepada
para peminat, tiket telah mula dijual bermula dengan harga RM288, RM388, RM488,
RM688, RM788, dan RM988 secara atas talian di laman sesawang di www.myticket.asia.
No comments: