MENTERI Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia (KUSKOP), YB Datuk Ewon Benedick merakamkan penghargaan atas komitmen semua yang terlibat dalam merealisasikan majlis perhimpunan KUSKOP bersama-sama warga KUSKOP, dan agensi di Bank Rakyat, Kuala Lumpur pada 9 Mei lalu.
“Sambutan Hari Raya di KUSKOP amat meriah dengan amalan kunjung mengunjung antara warganya, dan agensi di rumah terbuka anjuran agensi-agensinya. Majlis rumah terbuka seperti ini dapat mengeratkan ukhuwah, dan menguatkan semangat kerja berpasukan antara warga KUSKOP dengan agensi,” ujar Datuk Ewon.
Majlis yang berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak, Menara Kembar Bank Rakyat itu juga bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri 1445 Hijrah.
Turut hadir Timbalan Menteri KUSKOP, YB Dato’ Ramanan Ramakrishnan; Ketua Setiausaha (KSU) KUSKOP, YBhg Dato’ Sri Suriani Dato’ Ahmad; Timbalan KSU (Pembangunan Keusahawanan) KUSKOP, YBhg Datuk Haji Zamri Salleh; Timbalan KSU (Dasar dan Pemantauan) KUSKOP, YBrs Puan Noor Afifah Abdul Razak; SU Bahagian Kementerian dan Ketua-Ketua Agensi Negeri, warga KUSKOP serta Agensi.
Walaupun majlis tersebut diadakan pada hari terakhir Syawal, tetapi Ewon berasa belum terlambat untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh warga KUSKOP, dan agensi yang merayakannya.
“Saya berharap ukhuwah dan keakraban antara warga KUSKOP dan agensi akan diteruskan, dan dapat diterjemahkan kepada semangat kerja berpasukan yang utuh dalam pelaksanaan program-program Kementerian,” ujarnya sambil merakamkan terima kasih kepada Bank Rakyat atas kesudian menyediakan lokasi untuk majlis berkenaan.
Masa, tambah Ewon, memang begitu cepat berlalu, dan kita sekarang berada di pertengahan suku kedua 2024. Sehubungan itu, beliau yakin KUSKOP sedang bergerak di landasan yang betul ke arah mencapai KPI yang telah ditetapkan dalam Perancangan Strategik Kementerian Tahun 2024, sejajar dengan visi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030).
Sejak beberapa bulan lalu, katanya lagi, KUSKOP telah menganjurkan dan menyertai pelbagai program MADANI seperti Karnival Usahawan dan Jualan Mega MADANI (KUJMM) KUSKOP 2024 pada 23-25 Februari 2024 di Simpang Empat, Perlis; Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) pada 30 Mac 2024 di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh, Selangor, dan Program MADANI Rakyat Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang pada 3 hingga 5 Mei 2024.
“Semua program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada penduduk setempat. Selain mendapat maklumat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh Kementerian, para pengunjung juga dapat membeli barangan keperluan asas dengan harga yang berpatutan, yang sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan kenaikan kos sara hidup mereka,” ujar Ewon.
Untuk rekod, Karnival Usahawan dan Jualan Mega MADANI di Perlis mencatatkan jualan sebanyak RM272,213.86, dan 12,332 pengunjung. Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan di Sungai Buloh pula mencatatkan jualan RM435,480.00 dengan 3,629 pengunjung. Sementara Program MADANI Rakyat di Pulau Pinang merakamkan jualan RM307,995.20, dan mencatatkan 289,228 pengunjung.
“Sebagai perkongsian, baru-baru ini saya telah menyertai SME Future Day 2024 anjuran German Association for Small and Medium-Sized Business (BVMW) di Berlin, dan mengiringi YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam lawatan kerja beliau ke Berlin dan Hamburg di Jerman, pada 10 hingga 15 Mac lalu,” jelas beliau.
Semasa berada di sana, tambah Ewon, beliau bersama-sama delegasi negara yang mengiringi Datuk Seri Anwar telah menyertai mesyuarat-mesyuarat dengan pemain industri di Jerman seperti Siemens Energy, Infeneon Technologies, Airbus Group dan Nexperia.
“Antara hasil yang diperoleh dalam sesi bersama-sama pemain industri tersebut adalah potensi pelaburan, dan kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan dan pemindahan teknologi, serta peluang untuk PKS Malaysia turut terlibat dalam rantaian bekalan global mereka yang luas, dan berpengaruh,” ujar Ewon, yang pada 28 hingga 30 April lalu, mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Menteri-Menteri Koperasi Asia Pasifik ke-11.
Dalam persidangan tersebut, beliau telah menyampaikan Kenyataan Menteri dalam Sesi 3 di bawah tema ‘Adapting to Changing Environment and Building Resiliency’.
“Antara lain, saya menyentuh soal landskap dan pencapaian gerakan koperasi negara yang telah menjangkau usia melebihi 100 tahun, serta dasar semasa seperti Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM2030) yang memetakan hala tuju gerakan koperasi negara dengan sasaran perolehan RM60 bilion pada 2025, dan RM73 bilion pada 2030,” tambah beliau.
Kata Ewon lagi, beliau turut menyentuh berkenaan hala tuju KUSKOP dalam memperkasakan perniagaan berasaskan teknologi menerusi pelancaran Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) 2030, serta menekankan kepentingan perubahan perniagaan daripada kaedah konvensional kepada adaptasi teknologi, dan digitalisasi dalam penawaran produk dan perkhidmatan, terutama sekali rentetan dari pandemik COVID-19 yang telah melanda seluruh dunia, selain berkongsi kejayaan dan pencapaian gerakan koperasi Malaysia pada peringkat nasional, dan persada antarabangsa.
Malaysia juga telah terlibat di dalam Deklarasi Bersama gerakan koperasi negara-negara Asia Pasifik semasa sesi penutup, yang antaranya menekankan peranan koperasi dalam menggalakkan pembangunan inklusif bagi memastikan keperluan kumpulan terpinggir, wanita, belia, dan komuniti orang asli terjaga, berdasarkan pada inisiatif yang digariskan dalam agenda United Nation Sustainable Development Goals (SDGs).
Ewon turut mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada seluruh warga KUSKOP dan agensi. Tema Hari Pekerja 2024, ‘Pekerja Kesuma Bangsa’, kata beliau adalah seiring dengan inisiatif Kerajaan melahirkan modal insan yang mempunyai ciri-ciri kebudayaan, nilai dan aspirasi yang sama, di samping berkompetensi untuk berinovasi dan meneroka bidang-bidang baharu yang merupakan faktor yang akan menentukan daya saing, dan kemakmuran masa depan negara.
“Dalam konteks KUSKOP, seluruh warga KUSKOP dan agensi adalah penyumbang kepada terlaksananya semua dasar dan perancangan Kementerian ke arah mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif, bagi menyokong pembangunan sosioekonomi negara yang inklusif, seimbang dan mampan,” tegas Ewon.
Pada 6 Mei lalu, KUSKOP telah membentangkan kertas Pemerkasaan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Cadangan yang dikemukakan melibatkan intervensi-intervensi bagi meningkatkan skala dan daya saing PKS.
“Dalam hal ini, Perdana Menteri telah menzahirkan peri pentingnya kerjasama, serta sinergi dalam kalangan Kementerian dan Agensi bagi mengelakkan pertindihan pelaksanaan, dan memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada usahawan dan PKS adalah menyeluruh serta saling melengkapi,” jelas beliau.
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
Justeru, Ewon menyeru kepada semua warga KUSKOP dan Agensi untuk memperkukuh semangat kerjasama dan kerja berpasukan, serta tidak work in silo dalam melaksana, serta menyampaikan perkhidmatan agar tiada kumpulan usahawan dan koperasi yang tercicir daripada menerima bantuan yang diperlukan.
Mengakhiri ucapan beliau, Ewon merakamkan jutaan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua warga KUSKOP dan agensi kerana telah bekerja bersama-sama dengannya sejak menjadi Menteri KUSKOP. Banyak yang telah kita capai bersama, katanya, dan berharap kita akan terus bekerja bersama-sama demi menjadikan Malaysia sebuah negara keusahawanan unggul.
Majlis yang diadakan ini turut diserikan dengan persembahan nyanyian oleh Zamani Slam dan Blank Gamma. Zamani mendendangkan Kembali Terjalin, Mentari Muncul Lagi, dan Gerimis Mengundang, sambil bermesra dengan hadirin.
Blank pula memukau hadirin dengan lagu-lagu Kembang Terhalang, Bahang Asmara, dan Still Loving You.
No comments:
Post a Comment