MUZIK
‘Sinonim Sudirman’ untuk Teladani, Bukan Menggantikan Allahyarham
ALLAHYARHAM Sudirman atau Dato’ Sudirman Haji Arshad kekal sebagai tokoh yang disegani dalam dunia muzik tanah air, kerana vokal luar biasa, dan pengawalan pentasnya yang memukau, walaupun telah lebih tiga dekad meninggalkan kita.
Sebagaimana Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang telah pergi pada 28 Mei 1973, lagu-lagu dendangan Sudirman juga masih diminati, dan berkumandang di seluruh negara. Itu menandakan anak seni kelahiran Temerloh, Pahang ini sentiasa diingati.
Gerimis di Lautan, Joget Kenangan Manis, Merisik Khabar, Terasing, Milik Siapakah Gadis Ini, Salam Terakhir, serta yang bermusim seperti Dari Jauh Kupohon Maaf dan Warisan terus menjadi pilihan peminat.
Walau bagaimanapun, ada pihak yang prihatin, merasakan Sudirman perlu dikenang lebih daripada itu.
Sesi perjanjian persefahaman (MoU) antara Koperasi Industri Muzik Malaysia Berhad dengan Summit USJ pada 14 Ogos lalu.
Koperasi Industri Muzik Malaysia Berhad (KOPSTAR), misalnya telah memikirkan sesuatu yang lebih menarik dan bermakna.
Maka lahirlah sebuah program yang dinamakan ‘Sinonim Sudirman’: Mengangkat Nama Legenda, bagi Menginspirasi Bakat Baharu.
Dengan kerjasama Summit USJ dan sokongan Sudirman Asset Management, KOPSTAR dalam sidang media di Summit USJ pada 14 Ogos lalu, amat berbesar hati mengumumkan pelancaran program berkenaan yang bertujuan meraikan legasi kekal penghibur ikonik tersebut, sambil memupuk bakat muzik generasi seterusnya.
Encik Ar Kamarul Hisham Hj Yeop Hashim, Ahli Majlis Zon 4, MBSJ (tiga dari kiri) melancarkan program ‘Sinonim Sudirman’ sambil diperhatikan oleh dari kiri; Encik Saw Poh Chuan, Encik Ryn Mohamed, Dato’ Rohayati Sa’ayan, dan Datuk Hajah Habsah Hassan.
Menurut Dato’ Rohayati Sa’ayan, Pengerusi KOPSTAR, ‘Sinonim Sudirman’ menghargai sumbangan Penghibur Nombor 1 Asia pada 1989 itu kepada muzik dan budaya, dan memberi inspirasi kepada penyanyi yang bercita-cita tinggi untuk mempamerkan bakat mereka di platform yang berprestij.
“Setelah mendapat keizinan Sudirman Asset Management, KOPSTAR sangat teruja untuk memperkenalkan ‘Sinonim Sudirman' sebagai satu penghormatan kepada legenda muzik yang impaknya merentas generasi,” jelas beliau.
Menerusi pertandingan ini, tambah Dato’ Rohayati, KOPSTAR berhasrat untuk tidak hanya meraikan legasi Sudirman yang luar biasa, tetapi juga menggalakkan individu berbakat untuk meneruskan minat mereka dalam bidang nyanyian.
Dari kiri; Encik Saw Poh Chuan, Encik Ryn Mohamed, Encik Ar Kamarul Hisham Hj Yeop Hashim, Dato’ Rohayati Sa’ayan, dan Datuk Hajah Habsah Hassan.
+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
“Program berlangsung selama tiga hari, iaitu pada 30 dan 31 Ogos, serta 1 September 2024, bersempena dengan menyambut hari kemerdekaan Malaysia yang Ke-67,” jelas beliau dan turut memberitahu pelbagai acara telah disusun.
Antaranya ialah Pertandingan Peragaan Bayi, Pertandingan Mewarna Karikatur Gayour, Pertandingan Deko Kek PWIP, Pertandingan Nyanyian Patriotik, Deklamasi Puisi, Klinik Gitar M Noor Hendrix, dan Klinik Vokal Cikgu Siti Hajar Ismail. Pertandingan ‘Sinonim Sudirman’ pastilah amat dinanti-nantikan.
Barangkali ada yang menganggap usaha atau motif pertandingan ini terlalu mengangkat Sudirman.
Namun demikian, Datuk Hajah Habsah Hassan menyangkal sekiranya ada dakwaan sedemikian. Beliau yang saya anggap sebagai sinonim dengan Sudirman kerana banyak menghasilkan lirik puitis untuk lagu-lagu terkenal Allahyarham, mengatakan pertandingan tersebut bukan mahu mendewa-dewakannya.
“Pada saya, suara Allahyarham tidaklah semerdu dan sehebat Dato’ Jamal Abdillah. Tetapi, beliau begitu komited dalam kerjayanya sebagai penyanyi. Kita semua tahu Allahyarham telah menyanyi dengan penuh penghayatan dalam semua lagunya, selain berpelajaran tinggi,” tegas Datuk Habsah atau mesra dipanggil Kak Cah yang turut menghadiri sidang media tersebut.
Dari kiri; Salman Shariff, Encik Ryn Mohamed, Encik Saw Poh Chuan, Encik Ar Kamarul Hisham Hj Yeop Hashim, Dato’ Rohayati Sa’ayan, Datuk Hajah Habsah Hassan, Cikgu Siti Hajar Ismail, dan M Noor Hendrix.
‘Sinonim Sudirman’, kata beliau lagi, bukan mahu mencari pengganti Sudirman, tetapi ingin penyanyi generasi hari ini meneladani segala perkara positif daripada penghibur tersebut.
Turut hadir Encik Saw Poh Chuan, Pengurus Besar Summit USJ; Encik Ar Kamarul Hisham Hj Yeop Hashim, Ahli Majlis Zon 4, Majlis Bandaraya Subang Jaya; Encik Ryn Mohamed, Eksekutif Pemasaran Kanan, Summit USJ, pemuzik M Noor Hendrix, guru vokal Cikgu Siti Hajar Ismail, dan komposer Salman Shariff.
Sidang media itu juga menyaksikan perjanjian persefahaman atau MoU antara KOPSTAR dengan Summit USJ. KOPSTAR diwakili Kak Cah, sementara Summit USJ oleh Encik Ryn.
Sebelum bersurai, pihak penganjur dan wakil media, serta tetamu jemputan dibawa mengunjungi beberapa pusat hiburan ria di Summit USJ.
Walau bagaimanapun, Encik Ryn mengatakan setakat ini kita semua tahu, tiada siapa akan dapat mengatasi, atau menggantikan Sudirman.
Menjelang hari pertandingan, penganjur ‘Sinonim Sudirman’ mengalu-alukan peserta dari pelbagai latar belakang menunjukkan kebolehan vokal, dan karisma pentas masing-masing.
“Peserta akan berpeluang untuk bersaing bagi merebut piala pusingan, piala iringan, wang tunai, cenderahati, dan sijil penyertaan. ‘Sinonim Sudirman’ mewakili komitmen KOPSTAR dan Summit USJ untuk memupuk kecemerlangan seni, dan memelihara pengaruh Sudirman dalam landskap muzik moden,” tambah beliau yang juga seorang penyanyi dengan nama D’ Royce Sa’ayan.
Pertandingan itu ditetapkan untuk memikat penonton dan menentukan penanda aras baharu dalam bidang pertandingan nyanyian. Pemilihan lagu adalah bebas, tetapi sudah semestinya hanya lagu dendangan legenda tersebut.
“Yang pasti, banyak hadiah hadiah dan cabutan bertuah
menanti kehadiran pengunjung Summit USJ pada tiga hari yang disebutkan tadi,”
ujar D’ Royce, sambil memberitahu bahawa Kak Cah juga merupakan salah seorang
juri pertandingan ‘Sinonim Sudirman’, selain Cikgu Siti, dan Salman.
Selain oleh Nami Harez, Farra Ahmad, dan Emma Akma yang
turut menghadiri sidang media, pengunjung acara juga akan dihiburkan oleh artis
lama dan baharu seperti Zack Kacamata, Zack Kool, Wafi The Voltage, dan
Kumpulan Aktivis.
Untuk memeriahkan lagi acara, KOPSTAR juga menggalakkan
mana-mana artis dan selebriti Malaysia untuk mengisi kios perniagaan yang disediakan
oleh Summit USJ dengan cara mengimbas QR Code untuk pendaftaran, dan
mengalu-alukan para penggiat seni mendaftar keahlian.
-
RAJA
YUSOFF ARIFFIN
No comments:
Post a Comment