Pages

Monday, 19 August 2024


                                        ***

                                            

PELANCONGAN

 

AITEX 2024 Rintis Platform Global Utama untuk Pelancongan dan Perdagangan Islam

 

YBHG Dato’ Dr Hj Mohd Khalid Harun, dan Dato’ Jeffri Sulaiman gembira dapat meneruskan penganjuran Ekspo Pelancongan & Perdagangan Islam Asia (AITEX), selepas pertama kali menganjurkannya pada tahun lalu.

 

Mereka juga bersyukur kerana jumlah peserta atau pempamer, dan penajaan turut bertambah untuk AITEX kedua (AITEX 2024) yang bakal berlangsung dari 23 hingga 25 Ogos ini di Hotel Sunway Resort (SRH), Bandar Sunway, Selangor.

 

AITEX 2024 dengan tema ‘Merangkul Kepelbagaian: Janji dan Potensi Pelancongan Islam’ ini turut menyaksikan kerjasama Batik Air Malaysia (dahulunya Malindo) buat pertama kali, sebagai rakan penerbangan.

 

Dato’ Dr Hj Mohd Khalid sebagai Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) merangkap Pengerusi AITEX 2024, dan Dato’ Jeffri, Timbalan Presiden MATA/Pengerusi Penganjuran AITEX 2024 menyatakan sedemikian semasa sidang media AITEX 2024 di SRH pada 19 Ogos lalu.

                                         

Encik Ahmad Jafri Ngah Ali (berdiri) mengendalikan majlis sidang media Ekspo Pelancongan & Perdagangan Islam Asia 2024 (AITEX 2024) pada 19 Ogos lalu.


Turut hadir YBrs Puan Dr Izyan Diyana Mohd Khalid, Setiausaha Agung MATA merangkap Pengerusi Penganjuran WITA 2024 yang juga menyertai buat julung kali; YBrs Encik Fauzi Rajab, Ketua Pembangunan Bisnes Kerajaan Batik Air Malaysia; dan YBrs Encik Nazli Ahmad, Pengarah Hal Ehwal Protokol, Diplomatik dan Jualan Makanan & Minuman SRH.

 

Mereka disertai Puan Hjh Siti Zabidah,  Bendahari MATA merangkap Ahli Jawatankuasa AITEX 2024; Encik Ahmad Jafri Ngah Ali, Ahli Jawatankuasa MATA/Pemasaran dan Jualan AITEX 2024, dan Tuan Dr Hj Zawari Ali, Ahli Jawatankuasa AITEX 2024.

 

Mengenai matlamat AITEX 2023 yang sekiranya masih belum dicapai, Jeffri menegaskan perkara tersebut akan dilanjutkan dalam AITEX 2024. Dr Mohd Khalid juga senada dengan Jeffri, iaitu matlamat AITEX tidak terhenti setelah sesebuah AITEX berakhir.

 

“Ia akan diteruskan tahun demi tahun selaras dengan hakikat manifestasi AITEX 2024, iaitu perpaduan pelancongan dan perdagangan Islam global.

                                          

Dato’ Dr Hj Mohd Khalid (tengah), Presiden MATA merangkap Pengerusi AITEX 2024 semasa sidang media AITEX 2024 pada 19 Ogos lalu.

+++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

AITEX 2024 dianjurkan oleh MATA dengan kerjasama organisasi terkemuka seperti Majlis Pelancongan Islam Sedunia, Pertubuhan Pelancongan Islam Sedunia, dan Persekutuan Umrah & Haji ASEAN (AFUH), dengan sokongan Biro Pameran & Konvensyen Malaysia (MyCEB).

 

SRH merupakan rakan hotel, TV Alhijrah rakan TV, serta Pelancongan dan Pengembaraan Sedunia (TTW) pula adalah rakan media rasmi.

 

AITEX 2024 dijangka akan menjadi perhimpunan utama bagi pemimpin industri, pembeli perdagangan, dan pengguna awam, menonjolkan potensi besar dalam sektor pelancongan dan perdagangan Islam.

 

Ia adalah acara utama yang didedikasikan kepada sektor pelancongan, dan perdagangan Islam, dengan menyediakan platform global untuk para profesional industri, pemimpin kerajaan, dan pengguna bagi berhubung, meneroka, serta meraikan pelbagai tawaran dalam pelancongan dan perdagangan Islam.

 

Pemegang taruh di AlTEX 2024 akan memperoleh peluang unik untuk berhubung dengan pempamer dari pelbagai negara, termasuk Zambia, Arab Saudi, Mesir, Uzbekistan, Tajikistan, China, dan sudah tentu Malaysia serta banyak lagi.

                                          

                       Dato’ Jeffri Sulaiman (kiri) yang juga Ketua Pegawai Eksekutif AITEX 2024.

=========================================================================

Platform ini diadakan untuk memudahkan penemuan produk, perkhidmatan, dan kerjasama baharu yang boleh mendorong pertumbuhan, serta inovasi dalam industri pelancongan dan perdagangan Islam global.

 

Antara daya penarik bagi orang awam sebagai pengunjung, penganjur AITEX 2024 mengadakan pelbagai aktiviti dan tawaran pakej menarik di sepanjang tiga hari ini penganjurannya.

                                                 

YBrs Encik Fauzi Rajab (tengah), Ketua Pembangunan Bisnes Kerajaan Batik Air Malaysia.


Dari pakej pelancongan eksklusif yang dijual kepada pengunjung, turut diadakan Pameran Artifak Nabi Muhammad SAW yang menawarkan pameran yang ‘jarang-jarang’ ada untuk semua orang.

 

Pengunjung AITEX 2024 boleh merasai ‘Perjalanan Realiti Maya’ (VR) Nabi Muhammad SAW, iaitu satu pengalaman canggih yang menghidupkan peristiwa penting dalam perjalanan Baginda.

 

Bagi pengunjung yang membelanjakan sekurang-kurangnya RM500 pula berpeluang memenangi tiket penerbangan pergi-balik ke destinasi menakjubkan seperti Maldives dan Vietnam yang akan diuruskan oleh Batik Air Malaysia.

                                            

YBrs Puan Dr Izyan Diyana Mohd Khalid (kiri sekali) memberikan serba sedikit penjelasan mengenai Anugerah Perdagangan dan Pelancongan Islam Sedunia 2024.


AITEX 2024 juga akan menganjurkan beberapa persidangan utama, termasuk Persidangan Pelancongan Islam pada 23 dan 24 Ogos, dengan pakar industri akan membincangkan beberapa topik penting yang membentuk masa depan pelancongan Islam.

 

Sementara itu, acara kemuncak AITEX pada 25 Ogos adalah Sidang Kemuncak Menteri & CEO dan Pelaburan Pelancongan Asia, yang mempertemukan pemimpin dari Kemboja, Filipina, Zambia, Mesir, Indonesia, dan Uzbekistan untuk menerokai peluang pelaburan, dan membincangkan masa depan pelancongan Islam.

 

Satu lagi acara kemuncak AITEX 2024 ialah Anugerah Perdagangan dan Pelancongan Islam Sedunia (WITA) 2024, yang akan berlangsung semasa majlis makan malam gala pada 26 Ogos, di Ballroom, SRH.

 

WITA 2024 akan mengiktiraf 30 individu dan organisasi cemerlang dari industri pelancongan dan sektor kerajaan atas sumbangan mereka dalam pelancongan, dan perdagangan Islam. Tetamu akan dihiburkan oleh artis popular Malaysia, dan orkestra kombo.

 

AITEX 2024 dibuka dari jam 10 pagi hingga 8 malam secara percuma. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk menjadi sebahagian daripada acara yang akan membentuk masa hadapan pelancongan, dan perdagangan Islam.

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.aitex.my, atau hubungi +60192157116.

 

Hubungan Media: Dato’ Jeffri Sulaiman, Ketua Pegawai Eksekutif AITEX 2024 +60192157116 ceo@aitex.my / marketing@aitex.my.

###################################################################################

Dari kiri; YBrs Puan Dr Izyan Diyana Mohd Khalid, YBhg Dato’ Jeffri Sulaiman, YBhg Dato’ Dr Hj Mohd Khalid Harun, YBrs Encik Fauzi Rajab, dan YBrs Encik Nazli Ahmad.

______________________________________________________________________________________________________________________________________________________________________

 ***

Dari kiri; Puan Hjh Siti Zabidah, YBrs Puan Dr Izyan Diyana Mohd Khalid, YBhg Dato’ Jeffri Sulaiman, YBhg Dato’ Dr Hj Mohd Khalid Harun, YBrs Encik Fauzi Rajab, YBrs Encik Nazli Ahmad, Encik Ahmad Jafri Ngah Ali, dan Tuan Dr Hj Zawari Ali.

***********************************************************************************


YBrs Encik Nazli Ahmad, Pengarah Hal Ehwal Protokol, Diplomatik dan Jualan Makanan & Minuman Hotel Sunway Resort.


-          RAJA YUSOFF ARIFFIN

***Foto kredit MegatzReview






No comments:

Post a Comment