Pages

Thursday, 22 May 2025

=============

KESIHATAN

 

Gabungan Tiga Pihak yang Cakna Jayakan Kempen ‘Kami Bawa Senyuman’

 

MYDIN Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), dengan kerjasama Procter & Gamble (P&G) Malaysia, melancarkan sebuah kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) bersama-sama Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia (CWS), yang bertujuan menyemai harapan dan kegembiraan buat kanak-kanak yang menghidap penyakit terminal di seluruh negara.

 

Kempen bertemakan ‘Kami Bawa Senyuman - Jom Tunaikan Impian Kanak-Kanak’ ini menggalakkan rakyat Malaysia menjadikan pembelian harian sebagai satu bentuk sumbangan bermakna. Ia berlangsung selama 45 hari, bermula 15 Mei lalu sehingga 30 Jun depan.

 

Pelancaran Kempen ‘Kami Bawa Senyuman – Jom Tunaikan Impian Kanak-Kanak’ disempurnakan oleh YB Puan Jamaliah Jamaluddin, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor, di MYDIN Mall, Subang Jaya pada 22 Mei lalu.   

                                 

                                                      

YB Puan Jamaliah Jamaluddin, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor, merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Utama, menyampaikan ucapan pelancaran.

                                                                    ******** 

Turut hadir YBrs Encik Nantha Kumaran Kalimuthu, Pengurus Negara P&G Malaysia dan Singapura; YBrs Encik Teoh Teik Hoong, Presiden CWS; YBhg Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin, Pengarah Urusan MYDIN; dan YBhg Datin Siti Hawa Mohd, Pengarah MYDIN.

  

Dalam ucapannya, Encik Nantha mengatakan sebagai sebuah syarikat yang komited terhadap kesejahteraan komuniti, P&G percaya bahawa adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menyokong golongan yang paling memerlukan, terutamanya kanak-kanak yang sedang menghadapi ujian hidup yang berat.

 

“Kolaborasi bersama-sama MYDIN dan Persatuan Impian Kanak-Kanak Malaysia membolehkan kami merealisasikan impian kanak-kanak ini, serta memberikan mereka memori yang penuh makna, dan kegembiraan. Momen seperti inilah yang menjadi inspirasi utama P&G Malaysia untuk terus berbakti kepada masyarakat,” jelas beliau.

 

Dari kiri; YBrs Encik Teoh Teik Hoong, YBhg Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin, YB Puan Jamaliah Jamaluddin, YBrs Encik Nantha Kumaran Kalimuthu, dan YBhg Datin Siti Hawa Mohd menyempurnakan gimik pelancaran Kempen 'Kami Bawa Senyuman - Jom Tunaikan Impian Kanak-Kanak’ di MYDIN Mall, 22 Mei lalu.     

                                                                                ======

Menurut Datuk Wira (Dr) Haji Ameer, pihak beliau percaya bahawa setiap perniagaan mempunyai peranan dalam membangunkan sesebuah komuniti.

 

“Melalui kempen ini, MYDIN berpeluang membawa senyuman kepada kanak-kanak penghidap penyakit terminal. Dengan kerjasama P&G dan CWS, kami bangga dapat membantu menjadikan aktiviti membeli-belah harian di MYDIN sebagai aktiviti yang bermakna. Dengan sokongan semua pihak, kita mampu merealisasikan impian kanak-kanak tersebut,” tambah beliau.

 

Inisiatif yang dilaksanakan cukup dekat di hati bagi merealisasikan hasrat kanak-kanak kurang bernasib baik. Selama 18 tahun, kata Ameer, CWS menunaikan impian kanak-kanak, yang kadang-kadang cuma mahu ke zoo, menjadi anggota bomba, atau Batman untuk sehari.

 

"Walaupun impian ini mungkin kecil bagi kita, tetapi besar maknanya buat mereka,” katanya selepas majlis perasmian kempen berkenaan.

YBrs Encik Teoh Teik Hoong, Presiden CWS menyampaikan ucapan alu-aluan beliau dalam dwi bahasa.

                                                                            *****

Tambah Ameer, dengan setiap pembelian barangan P&G bernilai RM10 ke atas, di semua cawangan MYDIN Mall, pelanggan telah menyumbang 10 sen ke arah mencapai sasaran RM100,000 dalam tempoh 45 hari, yang disalurkan kepada CWS.

 

CWS merupakan organisasi badan beramal berdaftar yang berpusat di Subang Jaya. Ia bekerjasama rapat dengan pasukan perubatan di hospital-hospital kerajaan bagi mengenal pasti kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang menghidap penyakit terminal atau kritikal.

 

Mereka akan diberi peluang untuk berkongsi impian mereka, sama ada dalam bentuk hadiah, pengalaman istimewa, mahupun aktiviti bersama keluarga. CWS akan berusaha memenuhi impian tersebut dalam masa yang terdekat.

 

Sementara itu, dalam ucapannya, Encik Teoh memberitahu bagi kanak-kanak yang menghidap penyakit terminal, satu impian yang tercapai boleh memberikan mereka kekuatan luar biasa. Ia bukan sekadar kegembiraan, malah menjadi sumber motivasi untuk terus melalui ujian hidup.

 

“Kami amat menghargai sokongan MYDIN dan P&G Malaysia yang membolehkan kami membantu lebih ramai kanak-kanak, serta memberi kenangan indah buat mereka dan keluarga,” tambah beliau.


YBrs Encik Nantha Kumaran Kalimuthu.

                                                                              *****
 

Kempen ‘Kami Bawa Senyuman - Jom Tunaikan Impian Kanak-Kanak’ menggalakkan seluruh rakyat Malaysia bersama-sama menjayakan misi murni ini. Melalui pilihan bijak sewaktu membeli-belah, pengguna bukan sahaja memperoleh produk keperluan, malah turut menyumbang kepada senyuman, harapan dan impian yang menjadi kenyataan.

Kempen dengan inisiatif murni ini merealisasikan impian kanak-kanak terlibat bagi mengukir kegembiraan, dan memberi semangat walaupun menerusi kehidupan yang sukar. Melalui setiap pembelian produk P&G di MYDIN, sejumlah dana akan dikumpulkan, dan disalurkan kepada mereka.

 

                                                                    
     

                                                                                ======

-         - disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

No comments:

Post a Comment