Pages

Sunday, 29 June 2025

                                         

                                                                                +++++

MUZIK

 

Karyawan Sokong Garis Panduan MyIpo, Kesali CMO yang Membantah

 

YBRS Encik Zaim Zaidee, YBrs Encik Cheb Ali Masrawi, YBrs Encik Ad Samad, dan YBhg Dato’ Freddie Fernandez bersepakat membantah dengan sekeras-kerasnya tindakan mahkamah yang telah diambil oleh badan kutipan royalti yang cuba menghalang pelaksanaan Garis Panduan MyIpo (Perbadanan Harta Intelek Malaysia).

 

Mereka menyuarakan rasa kesal semasa sidang media bantahan tersebut yang dianjurkan oleh Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) di Auditorium Mini, Pusat Pelancongan Malaysia, Kuala Lumpur pada 29 Jun lalu.

 

Encik Zaim merupakan Timbalan Presiden Persatuan 3PMuzik Malaysia. Encik Cheb dan Encik Ad pula adalah Exco persatuan tersebut. Sementara Dato’ Freddie tidak asing lagi sebagai Pengerusi KARYAWAN.

                                         

YBhg Dato’ Freddie Fernandez dua dari kiri) membacakan kenyataan akhbar KARYAWAN di Auditorium Pusat Pelancongan Malaysia, Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada 29 Jun lalu. 

+++++

Selain pihak media, turut hadir termasuklah penyanyi veteran Rozita Rohaizad merangkap AJK KARYAWAN; penyanyi Damasutra, Baggio; komposer Man Senoi, dan pelakon Ustaz Dinie Juri.

 

Freddie, Zaim, Cheb dan Ad sebulat suara menyokong pelaksanaan Garis Panduan MyIpo tersebut, sambil berharap media membantu membetulkan persepsi umum, dan turut menyokong bantahan KARYAWAN.

 

Mereka terkejut, hairan dan kesal dengan tindakan tiga  tersebut yang boleh dianggap bertindak melulu menyaman Kerajaan, MyIpo, serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup  (KPDNKSH).

                                                

Komposer terkenal, Man Senoi turut menandatangani memorandum bantahan KARYAWAN terhadap tiga badan kutipan royalti yang membantah garis panduan MyIpo.

                                                                                  +++++

Berikut adalah kenyataan akhbar KARYAWAN yang dibuat pada 29 Jun 2025, yang dibacakan oleh Freddie: 

 

“SOKONGAN TERHADAP PERBADANAN HARTA INTELEK MALAYSIA DAN GARIS PANDUAN HAK CIPTA ORGANISASI PENGURUSAN KOLEKTIF 2025, SERTA BANTAHAN TERHADAP TINDAKAN MAHKAMAH OLEH BADAN KUTIPAN ROYALTI YANG CUBA MENGHALANG PELAKSANAANNYA

 

Sejarah dan Perkembangan Akta Hak Cipta Malaysia

 

1. Akta Hak Cipta 1987

 

Akta Hak Cipta Malaysia 1987 merupakan asas utama dalam sistem perlindungan hak cipta di negara ini.

 

Ia memberikan hak eksklusif kepada para pencipta atas hasil kerja asli mereka, termasuk penulis, komposer, pelaku (performers), dan pemegang hak lain.

 

Hak eksklusif ini direka bagi menggalakkan kreativiti dan memastikan mereka mendapat imbuhan yang adil daripada eksploitasi karya kreatif mereka.

 

Akta ini telah beberapa kali dipinda untuk disesuaikan dengan keperluan semasa, dan perkembangan industri kreatif global.

 

Badan Perlindungan Hak Cipta Penulis Muzik Berhad (MACP), dan Persembahan Umum Malaysia Sendirian Berhad (PPM Sdn Bhd) tertubuh sejurus selepas, daripada Akta Hak Cipta 1987.

                                         

Antara karyawan yang turut menandatangani memorandum bantahan KARYAWAN terhadap tiga badan kutipan royalti yang membantah garis panduan MyIpo.

                                                                                 +++++

2. Akta Hak Cipta 1987 Pindaan 2012

 

i) Pengiktirafan Hak Pelaku

 

Pindaan penting pada Akta Hak Cipta telah dibuat pada 2000, yang membawa kepada pengukuhan hak para pelaku. Dalam konteks industri muzik, pelaku adalah pemuzik dan penyanyi.

 

Pindaan ini mengangkat kedudukan pelaku agar lebih hampir kepada pencipta dari segi pengiktirafan hak cipta.

 

Antara perubahan utama adalah memberi pelaku hak yang lebih seimbang berbanding pemilik bunyi rakaman (sound recording), yang biasanya dimiliki syarikat rakaman.

 

Namun begitu, pelaksanaannya sehingga ke hari ini masih belum mencapai tahap yang diharapkan.

 

Contohnya, agihan royalti antara pelaku dengan pemilik bunyi rakaman masih jauh daripada nisbah adil 50:50. Realitinya, syarikat rakaman (pemilik rakaman bunyi) menerima bahagian pendapatan yang jauh lebih besar daripada pelaku dalam kutipan royalti persembahan awam.

 

Nisbah 50:50 adalah sejajar dengan Perjanjian Pelaku dan Fonogram WIPO 1996 (WPPT 1996), yang turut diratifikasi oleh Malaysia.

 

ii) Pengawasan terhadap CMO

 

Pindaan 2012 juga membuka jalan pada pengawalseliaan yang lebih jelas ke atas badan pelesenan, kini dikenali sebagai Organisasi Pengurusan Kolektif (CMO). Sebelum ini, CMOs beroperasi dalam kerangka undang-undang yang longgar, dengan pemantauan yang terhad.

 

3. Akta Hak Cipta 1987 Pindaan 2022

 

i) Memperkukuhkan Perlindungan dan Penguatkuasaan

 

Pindaan 2022 menyambung usaha sebelumnya dengan menambah baik mekanisme pelaksanaan, memantapkan hak pelaku, dan memperketatkan kawal selia terhadap CMO.

 

Salah satu kemasukan penting ialah Seksyen 27M memberikan kuasa kepada Pengawal Hak Cipta (Copyright Controller) untuk mengeluarkan Garis Panduan yang wajib dipatuhi oleh semua CMO.

 

B. Garis Panduan Hak Cipta Organisasi Pengurusan Kolektif 2025

 

Berdasarkan aduan berterusan daripada penggiat muzik dan pengguna karya, serta hasil sesi libat urus bersama-sama pemegang hak, MyIPO telah menerbitkan Garis Panduan Organisasi Pengurusan Kolektif 2025 pada 17 Januari 2025.

 

Garis panduan ini bertujuan memperkukuh:

 

*           Ketelusan (Transparency)

*           Pertanggungjawab (Accountability)

*           Tadbir urus yang baik (Good Governance)

                                 

Dari kiri; YBrs Encik Cheb Ali Masrawi, YBhg Dato’ Freddie Fernandez, YBrs Encik Ad Samad, dan Encik Zaim Zaidee.  

                                                                            +++++

SEBAB KAMI MENYOKONG GARIS PANDUAN INI:

 

Sebagai penggiat industri kreatif seperti penulis lagu, komposer, penyanyi dan pemuzik; Garis Panduan Organisasi Pengurusan Kolektif 2025 memberikan pelbagai manfaat penting yang telah lama dinantikan.

 

Garis panduan ini mewajibkan semua CMO lebih telus dalam urusan kutipan dan pengagihan royalti. Ini bermakna para pemegang hak dapat mengetahui secara jelas bagaimana royalti dikutip, dibahagi, dan siapa yang menerimanya, iaitu sesuatu yang sebelum ini kabur dan tidak telus.

 

Selain itu, garis panduan ini juga memperkukuh tadbir urus dalam organisasi, memastikan setiap ahli diberi hak suara yang adil dalam mesyuarat agung dan pemilihan lembaga. Ia menghapuskan sistem pengundian yang berat sebelah, dan memperkenalkan mekanisme aduan yang jelas bagi ahli yang tidak berpuas hati.

 

Garis panduan ini melindungi hak lebih kurang 8,000 pemegang hak, tidak kira tahap populariti mereka. Semua ahli kini dilayan dengan lebih adil, dan setara.

 

Secara keseluruhan, Garis Panduan MYIPO 2025 adalah satu pembaharuan yang memperkukuh kedudukan pemegang hak, dan memulihkan kepercayaan terhadap sistem kutipan royalti di Malaysia.

 

Ia meletakkan hak pencipta sebagai keutamaan di samping melindungi kepentingan para pengguna karya muzik yang menjadi para pembayar lesen.

 

Para pengguna karya muzik adalah punca pendapatan utama para pencipta muzik.

 

Garis Panduan ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh semangat pemerkasaan harta intelek di Malaysia.

 

Ia seharusnya menjadi langkah berterusan.

 

Kami.

                                                                  

Majulah Hak Cipta dan majulah MYIPO untuk negara!”

 

Majlis sidang media dan kenyataan keras KARYAWAN tersebut diakhiri dengan penandatanganan memorandum bantahan yang akan diserahkan kepada KPDNKSH/Menterinya, YB Datuk Armizan Mohd Ali; dan MyIpo/Ketua Pengarahnya, YBrs Encil Kamal Kormin.


Sementara itu dalam perkembangan terbaharu, Freddie menyatakan KARYAWAN menyambut baik saranan YBhg Dato' Haji M Nasir, Pengerusi MACP, pada 30 Jun lalu agar semua pihak dalam industri muzik mengambil langkah berunding secara damai untuk menyelesaikan kemelut yang sedang berlaku antara KARYAWAN dan 3P Muzik Malaysia, dengan MACP, PPM dan RPM.
"Kami bersetuju bahawa rundingan adalah penyelesaian terbaik, dan tindakan mahkamah seharusnya menjadi jalan terakhir, kerana jika diteruskan, ia berpotensi menjejaskan kelangsungan, serta masa depan para penggiat seni di negara ini," ujar beliau. KARYAWAN, tambah Freddie, sedar bahawa banyak isu yang timbul berpunca daripada kekurangan persefahaman antara pihak terlibat dalam ekosistem muzik tanah air.

YBhg Dato' Haji M Nasir, Pengerusi MACP.

                                                                    +++++

"Maka itu, kami menyeru agar diadakan satu sesi perbincangan menyeluruh yang melibatkan semua pihak berkepentingan, termasuk persatuan seni, badan kutipan royalti, pihak berautoriti serta pemegang taruh utama bagi mencari penyelesaian yang adil dan realistik," tegas beliau.

Yang paling penting, kata Freddie lagi, semua pihak yang terlibat di sini yang menjadi paksi kepada industri muzik negara kita , perlu berdiri atas asas yang betul mengikut fungsi masing-masing.

"Hanya dengan cara ini, industri muzik dapat terus berkembangdengan harmoni, tanpa berlaku ketidakseimbangan yang akan merugikan mana-mana pihak,” ujarnya.

Justeru, KARYAWAN berharap semua pihak dapat mencari jalan penyelesaian yang tidak bersifat berat sebelah, sebaliknya memberi manfaat menyeluruh dan seimbang kepada keseluruhan industri muzik negara. KARYAWAN berpandangan bahawa hanya melalui dialog terbuka yang demokratik, serta semangat toleransi dan kerjasama, kita dapat membina semula industri muzik tanah air secara mapan. Biar semua pihak menang, demi masa depan muzik Malaysia.

                                

Penyanyi Baggio (kiri sekali) turut hadir bersama-sama YBrs Encik Zaim Zaidee, YBrs Encik Cheb Ali Masrawi (dua dan tiga dari kiri), Rozita Rohaizad (enam dari kiri), YBhg Dato' Freddie Fernandez (memegang memorandum bantahan KARYAWAN), YBrs Encik Ad Samad (tiga dari kanan), dan karyawan lain di Auditorium Mini, MaTiC pada 29 Jun lalu.

-       disesuaikan untuk siaran oleh RAJA YUSOFF ARIFFIN

No comments:

Post a Comment