
YBrs Encik Nasrul Hakim Md Noh (enam dari kiri), YBrs Encik Mohammad Yusari Ameer Mohd Yusof (dua dari kanan), dan YBrs Encik Rulhaizal Abd Rahman (empat dari kiri) bersama-sama Penerbit/Pengarah, para pelakon dan tenaga produksi telemovie Skuad Apartmen Putra – ‘Misi Cinta Merdeka’.
HiburanTV
Telemovie Skuad Apartmen Putra: ‘Misi Cinta Merdeka’
25 Ogos Ini
DRAMA rantaian
komedi situasi Apartmen Putra (AP)
telah melalui tujuh musim tayangan di TV2 Televisyen Malaysia (RTM).
Berita gembira untuk para pengikut dan peminatnya,
AP akan ke udara dalam slot Panggung RTM Khas bersempena dengan Merdeka 2025
pula. Berdurasi 90 minit, ia membawakan komedi kekeluargaan, misi penyiasatan, cinta,
dan makna kemerdekaan.
Diterbitkan dan diarahkan oleh Rohayu Abdul Wahab, adaptasi
AP yang diberi judul Skuad Apartmen
Putra: ‘Misi Cinta Merdeka’ ini akan ditayangkan di TV2/RTMKlik pada 25
Ogos 2025, jam 9 malam.
YBrs Encik Rulhaizal Abd Rahman, Penolong Pengarah
Unit Drama TV RTM bertindak sebagai Penerbit Eksekutif. Encik Mohd Erfan
Zainialdin pula sebagai Penerbit Penyelaras, sementara Siti Norbaya Mohd
Appandi dan Adibah Nazihah Abdul Malek sebagai Penolong Pengarah. Mohd Farid
Ahmad pula menjadi Pengurus Produksi, dan Suhaida Mohamed Sukarno Pembantu
Artis.
Pada 18 Ogos lalu, telah diadakan majlis Pratonton
dan Sidang Media Panggung RTM Khas Hari Kebangsaan 2025 Skuad Apartmen Putra – ‘Misi Cinta Merdeka’ (SAP-MCM) di
Theatrette, Tingkat 1, Wisma TV, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur.
Turut hadir YBrs Encik Nasrul Hakim Md Noh, Timbalan
Pengarah Seksyen Produksi TV; YBrs Encik Mohammad Yusari Ameer Mohd Yusof,
Timbalan Pengarah Seksyen Saluran TV; wakil-wakil yang berkenaan; sebahagian
daripada pelakon seperti Elly Arifin, Atu Zero, Mamak, Dewa Sapri, Zulin Aziz,
dan Noorkhiriah; penyampai Nazrie Fahmi dan Dyya Nawal, serta beberapa orang tenaga
produksi.
Semasa sesi soaljawab sidang media, Rohayu yang
pernah mengarahkan beberapa episod AP memberitahu beliau bersyukur berjaya menghasilkan SAP-MCM, tanpa sebarang tekanan.
Rohayu Abdul Wahab selaku Penerbit dan Pengarah Skuad Apartmen Putra – ‘Misi Cinta Merdeka’ memperkatakan sesuatu semasa sidang media telemovie itu.
Sementara itu, dalam ucapannya, Rulhaizal
mengucapkan tahniah kepada Rohayu, para pelakon dan tenaga produksi atas
kejayaan menghasilkan SAP-MCM.
Sambil menyatakan beberapa kelemahan yang boleh
diperbaiki, beliau berharap Rohayu dapat diberi peluang lagi mengarahkan
telemovie.
YBrs Encik Rulhaizal Abd Rahman, Penerbit Eksekutif telemovie Skuad Apartmen Putra – ‘Misi Cinta Merdeka’.
“Oleh sebab slot untuk menghasilkan telemovie
bersempena dengan kemerdekaan ke-68 tahun ini masih ada, saya mengambil peluang
menerbitkan SAP-MCM bersama-sama Rohayu,” jelas Rulhaizal apabila ditanya mengenai
rasional penerbitan telemovie.
Para pelakon yang hadir, termasuk penyiar Nazrie Fahmie
dan Dyya Nawal turut menyatakan kegembiraan mereka membintangi SAP-MCM, dan
berharap dapat beraksi lagi untuk projek akan datang.
Dalam memuji persembahan SAP-MCM, Encik Nasrul Hakim
dan Encik Mohammad Yusari Ameer turut menegur, dan memberikan pandangan
mengenai beberapa perkara yang dapat membantu telemovie ini tampil lebih
memikat.
Bergenre komedi ringan/drama, SAP-MCM mengisahkan
Jaafar (lakonan Jiggy Masin), penyelia bangunan di Apartmen Putra, yang
berhajat melamar kekasihnya, Elly (Elly).
Walau bagaimanapun, keadaan bertukar duka apabila ayah
Jaafar, Uncle Joe (Dewa) yang menentang hasrat tersebut, tiba-tiba
menghilangkan diri.
Dalam cemas dan kebingungan itu, Jaafar bersama-sama
Skuad Apartmen Putra paling kecoh, iaitu Ba (Atu); Subadron (Mamak), Kak Nor (Noorkhiriah),
Julia (Zulin), dan Elly sendiri, memulakan ‘Misi Cinta Merdeka’, satu pencarian
penuh penyamaran, komedi, dan momen menyentuh hati.
Jaafar berusia 30-an, kekasih Elly, manja dan kuat
merajuk, mahu mencari ayah dan ibu kandungnya, serta berkahwin dengan Elly.
Ba pula rakan serumah Jaafar, propman syarikat
produksi, berusia 30-an dari Kudat, bercita-cita menjadi pengarah filem, spontan,
sedikit cuai, dan selalu kehilangan barang; dan Elly (Barista) juga berusia
30-an, bijak, cantik dan bercita-cita tinggi; mahu menyambung pelajaran hingga
peringkat Master @ berkahwin dengan Jaafar?
Subadron, juga 30-an, pencari kerja, juga rakan
serumah Jaafar, seorang yang terlebih keyakinan, suka mengusik Elly dan Julia;
dan mahu menjadi ketua pegawai eksekutif; Uncle Joe, pemain game profesional, berusia 60-an, tenang
tetapi kadang kala tegas, dan suka memberi bagi nasihat dengan misinya menyatukan
keluarga; dan Julia peniaga kedai serbaneka, berusia 30-an, bimbo, suka bersolek dan live TikTok,
serta mahu mencari jodoh dengan lelaki antarabangsa.
Sementara itu, Puan Mala (Kenchana Devi), Pengerusi
Persatuan Penduduk AP, berusia 40-an, berjiwa patriotik, selalu mementingkan kesejahteraan
penghuni AP walaupun suka membebel, tetapi mahu AP memenangi anugerah Apartmen
Terbaik!; dan Kak Nor, pengawal keselamatan, berusia 40-an, kuat patriotik, berjiwa
muda, suka papan seluncur, kecoh tetapi dalam hati ada taman, dengan misinya
menjadi pengawal keselamatan wanita di bangunan pencakar langit.
Dengan panduan semangat kemerdekaan daripada Puan
Mala, mereka menyusun strategi operasi dengan bantuan penyampai Radio 3 Suara
NASIONALfm, iaitu penyiar Nazrie, Dyya, dan Sonic yang bukan sahaja menyebarkan
misi secara langsung, malah menyusup masuk ke resort sebagai watak misteri.
Para pelakon Skuad Apartmen Putra – ‘Misi Cinta Merdeka’; dua dari kiri; penyiar Nazrie Fahmie, Mamak, Atu Zero, Dewa Sapri, Elly Arifin, Zulin Aziz, dan Noorkhiriah, bersama-sama Rohayu Abdul Wahab (enam dari kiri), Penerbit dan Pengarah.
Namun demikian, kemampuan mereka diuji dalam sesi pemanas
badan oleh Kapten Zam (Faha Azhar). Tanpa disangka, dalam pencarian itu, Jaafar
menemui sesuatu yang jauh lebih besar daripada kehilangan, iaitu kebenaran
tentang ibunya, Maria (Angeline Tan) yang selama ini dicari.
Secara keseluruhannya, SAP-MCM menampilkan persoalan cinta, keluarga, impian dan kemerdekaan hati yang mengajar kita bahawa merdeka bukan sekadar Jalur Gemilang, tetapi keberanian untuk memaafkan, dan memilih untuk pulang.
