Sastera Budaya - Forum Yang Memulih, Bukan Melondeh DBP

SASTERA BUDAYA


Forum yang memulih, bukan melondeh DBP


Benarkah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memang (sudah) lemah, dan amat perlu diperkasakan (kembali)? Mungkin pula ada yang mengatakan DBP masih perkasa, tetapi wajar diperkasakan lagi.
Soal perkasa atau tidak itu masih boleh dibahaskan. Walau bagaimanapun, langkah DBP menjemput tokoh-tokoh sastera budaya yang ‘asing’ dengannya/menentang kerajaan sebelum ini (Barisan Nasional{BN}) menjayakan acara anjurannya seperti seminar, persidangan, dan/atau forum wajar dipuji. Amat diharapkan usaha itu menjadi amalan berterusan di bawah pentadbiran kerajaan sekarang, Pakatan Harapan (HARAPAN).
Yang menarik (lucu juga), pemudah cara forum sendiri terkejut kerana diundang oleh penganjur, berserta tokoh-tokoh yang menjadi pembicara.
Sebagai sebuah organisasi yang dipertanggungjawabkan oleh kerajaan BN dan diharap berkekalan atau lebih baik di bawah HARAPAN. untuk memajukan, dan mengembangkan bahasa Melayu melalui kegiatan kebahasaan, kesusasteraan dan penerbitan, peranan DBP amat penting bagi memartabatkan maruah, dan kepentingan bahasa itu yang semakin lesu di mata pelbagai pihak yang mementingkan penggunaan, dan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat.
Forum ‘Memperkasakan Dewan Bahasa dan Pustaka Menuju Malaysia Baharu’ di Dewan Bankuet, DBP baru-baru ini bertujuan menghimpunkan ilmuwan, serta penggiat persuratan dalam satu wacana ilmiah bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan dengan peranan DBP.
Ia juga untuk menyerlahkan peranan bahasa dan sastera kebangsaan, serta fungsinya sebagai antara tonggak pembinaan tamadun bangsa; mendapatkan maklum balas, komen serta saranan bagi DBP merangka usaha pemerkasaannya agar selari, dan memenuhi hasrat kerajaan; dijadikan wadah yang sesuai untuk khalayak, serta masyarakat melontarkan idea, dan pandangan terhadap DBP tentang isu-isu yang timbul, serta menyemarakkan kembali DBP sebagai medan para ilmuwan berwacana secara ilmiah.
Kita tidak boleh mengenepikan kewujudan, serta peranan DBP apabila menyebut sastera dan budaya (kebahasaan) – mustahil kita mengharapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, dan/atau Dewan Perniagaan Melayu Malaysia misalnya.
Peranan DBP ‘menjaga’ perihal sastera budaya negara menjadi luas, serta rumit apabila ia turut menerbitkan majalah bulanan, dan buku. Sesungguhnya, peranan itu juga perlu kerana bahan penerbitan tersebut turut mendidik masyarakat mengenai sastera budaya sebenar. Disebabkan peranan mendidik itu, ia diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan (dahulu Kementerian Pelajaran) Malaysia.
Hal tersebut turut disentuh oleh aktivis politik/penulis/pengarah filem, Hishamuddin Rais yang menjadi salah seorang ahli panel forum ‘Memperkasakan DBP Menuju Malaysia Baharu’ itu. Sebagaimana biasa, Hishamuddin lantang dan sinis dalam melontarkan pandangan, serta saranannya yang disambut gelak ketawa hadirin – lucu dalam pedas!
Turut menjadi pembicara ialah aktivis teater/penulis veteran, Dinsman, serta Pengarah Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional (PUSAKA), Eddin Khoo, bersama-sama pensyarah di Universiti Teknologi Petronas, Dr Muhaimin Sulam sebagai ahli panel. Dr Muhaimin memudahcarakan forum itu.
Meskipun mengakui kali pertama diundang menjayakan acara anjuran DBP, Hishamuddin langsung tidak canggung apabila mengatakan agensi penting itu sudah ‘mati pucuk’ sehingga gagal berfungsi sebagaimana sepatutnya.
Justeru, Hishamuddin mencadangkan agar DBP (sebagaimana lelaki yang sudah bermasalah kelelakian) mencari ‘viagra’ untuk kembali hidup.
Sepanjang Hishamuddin berbicara dalam dua pusingan, dan perbincangan  memang kakitangan DBP, termasuk Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Adzis Abas yang hadir merasmikan, pedih telinga mendengar kritikan kolumnis tabloid ‘Suara Keadilan’ itu. Namun begitu, pihak DBP mungkin sudah menjangkakannya, dan perlu bersikap terbuka menerima demi kebaikan.
Difahamkan, Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik sendiri yang mahukan Hishamuddin, Dinsman dan Muhaimin sebagai ahli panel.
Umno sudah tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei lalu. Walau bagaimanapun, Hishamuddin tetap membangkitkan soal nama penuh parti siasah tua itu, ‘United Malay National Organisation’ (Umno). Hishamuddin bertanya, mengapa DBP tidak menyanggah nama dalam bahasa Inggeris untuk parti politik berteraskan Melayu itu. Sepatutnya bukan Umno, tetapi Pekember atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Adakah kerana Perkember tidak enak disebut atau memang tiada kesedaran diri ahli?
Krisis ‘bahasa rojak’ memang semakin meruncing. Adakah drama televisyen meniru amalan masyarakat atau sebaliknya? Namun demikian, yang pasti, hampir semua drama televisyen, terutama yang disiarkan menerusi stesen Media Prima Berhad seperti TV3 dan NTV7 galak menampilkan ‘bahasa rojak’ dalam dialog watak-wataknya.
Hal tersebut turut dikesali oleh Hishamuddin kerana DBP tidak menyanggahnya. Bagi beliau, DBP perlu mengembangkan bahasa Melayu dalam kalangan warga asing, bukan membiarkan penggunaan bahasa bercampur-aduk/‘bahasa rojak’.
Hishamuddin juga menyanggah ‘budaya mengampu’. Bagi beliau, usaha mempertahan/memartabatkan bahasa Melayu tidak akan berjaya jika budaya buruk itu masih diamalkan/berleluasa.
Soal nama tempat seperti perumahan dan kawasan perindustrian dalam bahasa Inggeris turut tidak disenangi Hishamuddin. Beliau bertanya mengapa ‘Bangsar South’ (contoh di sekitar ibu kota), bukan Selatan Bangsar. Sehubungan itu, beliau menegaskan DBP mesti mengawal penggunaan bahasa asing dalam iklan, dan komersil. Tegasnya, bahasa Melayu jangan ‘dilanggar’.
Malaysia Baharu tidak salah. Masalahnya, kata Hishamuddin, ia hanya dilihat pada konsep politik sahaja. Pun begitu, beliau mengakui politik tidak boleh pula ditolak kerana telah lama dipupuk sebelum 9 Mei 2018. Dia yakin di sebalik semua itu ialah ekonomi.
Mengapa bahasa Melayu tidak boleh menjadi bahasa ekonomi? Semua negara yang pernah dijajah menghadapi masalah pasca penjajahan. Masalah timbul kerana ‘para pemain’ utama pentadbiran negara sekarang tidak nampak sastera budaya sama penting dengan ekonomi.
Justeru, kementerian yang berkaitan dengan seni sastera budaya juga lewat ditubuhkan di bawah HARAPAN pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri. Setelah ditubuhkan, pelancongan masih/yang diutamakan. Sama seperti semasa kerajaan BN, iaitu Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya – menggantikan Kebudayaan – pelancongan kekal di hadapan.
Mengenai pemasaran dan promosi, Hishamuddin memberitahu beliau memang melanggan majalah-majalah terbitan DBP ketika berada di luar negara. Walau bagaimanapun, kini tidak lagi.
Menurut Hishamuddin, antara sebab beliau menjauhi buku/majalah DBP ialah reka bentuk bahan penerbitan itu. Tanpa teragak-agak di hadapan Adzis, Hishamuddin mengatakan reka bentuk buku dan majalah terbitan DBP langsung tidak memikat hati pembaca kerana hodoh. Beliau turut mencadangkan agar Ketua Pengarah ‘turun padang’ melihat sendiri buku dan majalah DBP di kedai-kedai buku, meneliti reka bentuk yang baginya tidak diusahakan dengan penuh kesungguhan, dan daya kreatif tinggi.
Hishamuddin turut mengingatkan bahawa DBP ialah lembaga milik negara yang berada di bawah kementerian yang sah, bukan sembarangan – persatuan dan/atau pertubuhan biasa. Beliau (walaupun diakui mustahil/sukar juga untuk melakukannya) bertanya mengapa DBP tidak menegur Menteri Kewangan Malaysia, Lim Guan Eng menggunakan bahasa Mandarin dalam urusan rasmi.
Sebelum bertanya mengapa kebanyakan rakyat Malaysia tidak suka/mahu bercakap dalam bahasa Melayu, Dinsman menyatakan kehairanannya apabila secara tiba-tiba banyak orang memarahi Peguam Negara, Tommy Thomas bercakap dalam bahasa Inggeris, tetapi mendiamkan diri apabila peguam bela Dato’ Sri Najib Razak, Tan Sri Shafiee Abdullah juga bertutur dalam bahasa Inggeris.
Beliau menegaskan sepatutnya bahasa Melayu bernilai tinggi, iaitu berbilion Ringgit Malaysia. Namun demikian, ia kerugian besar setiap tahun kerana semua perkara menggunakan bahasa Inggeris – perlu/mesti dalam bahasa Inggeris. Kebanyakan iklan yang bernilai berbilion Ringgit Malaysia itu dipaparkan dalam bahasa Inggeris. Justeru, bahasa itu amat tinggi nilainya.
Dinsman turut menegaskan bahawa DBP patut/wajib peka pada kecenderungan Tun Dr Mahathir terhadap bahasa Inggeris. Beliau bersetuju memang ada ilmu dalam semua bahasa, termasuk bahasa Inggeris.
Walau bagaimanapun, Dinsman yang pernah bertugas di DBP pada sekitar 1970-an bertanya ilmu apa yang ada dalam nama tempat berbahasa Inggeris seperti ‘Sentul East’, ‘MidValley Megamall’, ‘KL Eco City’, ‘Taman Connaught’, dan sebagainya.
Saya pernah mencadangkan dalam artikel yang tersiar di media cetak beberapa tahun lalu bahawa DBP perlu menjadi ‘polis bahasa’ untuk menjamin pemartabatan bahasa Melayu. Menyebut ‘polis’ bererti ia berkaitan dengan akta (undang-undang) dan pelaksanaannya.
Namun demikian, Dinsman menegaskan bahawa DBP jangan terlalu bergantung pada undang-undang, sebaliknya boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan – dalam soal bahasa untuk papan tanda/lampu neon - sementelah memang tiada akta khusus untuk ia bertindak terhadap ‘penjenayah bahasa’.
Sambil menggesa agar penulis/pengarang yang tegas dengan pemartabatan bahasa Melayu wajar diangkat/dibela, Dinsman memberi ‘psikologi kilas’ atas sikap Dr Mahathir. Kata beliau, sebenarnya itu membawa kebaikan, iaitu mencabar DBP agar berusaha mencari penyelesaian.
Mengenai pemasaran, Dinsman turut bertanya mengapa DBP tidak (mampu) menerbitkan buku bermutu. Beliau memberi contoh sebuah penerbitan persendirian di Petaling Jaya milik bukan Melayu, iaitu Gerak Budaya boleh menjual buku-buku terbitannya yang dianggap/dilihat tidak boleh laris.
Pada 1980-an lalu, Samad Said menggemparkan dunia sastera tanah air dengan ‘mogok seni’. Banyak yang maklum/tahu bahawa Samad atau Pak Samad merajuk dengan DBP. Dinsman bertanya mengapa keadaan tersebut berlaku.
Eddin Khoo pula berpendapat rakyat Malaysia sekarang hidup dalam ‘kemangsaan’. Walau bagaimanapun, beliau tidak tahu apa masalah atau puncanya. Beliau juga kehairanan kerana diundang sebagai pembicara untuk mewakili anak muda, sedangkan usianya sudah 50 tahun!
Kata Eddin, ada kawan memberitahu beliau bahawa orang budaya hanya ‘bising’, tetapi tidak berisi – seperti ‘tin kosong’. Masalah utama bahasa Melayu kini ialah apakah ia akan wujud (kelihatan seperti ia tidak wujud lagi).
Eddin berpendapat perjuangan bahasa Melayu sekarang bukan dengan kejujuran atau menganggap ia memang mustahak, tetapi atas kepentingan politik. Malang sekali perkara yang baik/bersih seperti bahasa kebangsaan diburuk/kotorkan oleh para pemain politik.
Anak kepada tokoh sejarahwan terkenal tanah air, Tan Sri Khoo Kay Kim itu turut mendedahkan bahawa hubungannya dengan DBP sentimental. Kata Eddin, beliau sudah mengenali DBP semasa masih bersekolah. Beliau mengaku sering ponteng sekolah, tetapi bukan berpeleseran, sebaliknya kerap ke DBP, lalu berkenalan dengan Sasterawan Negara Allahyarham Datuk Dr Usman Awang, dan Allahyarham Sutung Umar RS.
Eddin juga rasa bertuah kerana dapat berguru dengan Tokoh Wartawan Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail.
Ketika itu, kata Eddin, banyak acara sastera budaya dianjurkan di sekitar Kuala Lumpur yang turut menarik penyertaan DBP. Namun begitu, lama-kelamaan DBP seperti memulaukan diri daripada tokoh-tokoh sastera pada ketika kegiatan sastera semakin rancak. Ia hanya ‘hidup’ dengan menganjurkan acara sendiri.
Justeru, dengan krisis yang berlaku sekarang, Eddin mahu tahu apakah usaha-usaha DBP ke arah kecemerlangan. Beliau berpendapat apa yang berlaku sekarang juga akibat kegagalan Dasar Ekonomi Baru.
Walau bagaimanapun, malang sekali kerana khabarnya ada pihak/individu yang tidak gembira dengan forum itu. Beberapa kakitangan dan mantan kakitangan DBP menganggap program tersebut hanya menjatuhkan maruah agensi tersebut. Tidak dapat dinafikan, rasa kecewa itu banyak disebabkan oleh hujahan Hishamuddin, dan Dinsman.   

No comments:

Powered by Blogger.