Sastera Budaya - Ubah DBP Sekarang!



Seorang mantan pegawai perancang bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur memberitahu saya bahawa agensi kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan (dahulu Kementerian Pelajaran) Malaysia itu telah lama mengamalkan rasuah dalam pentadbirannya.
Dia yang juga rakan penulis saya menegaskan, amalan tersebut berlaku dalam hal penerbitan, serta pengedaran majalah dan buku, yang bermula pada zaman Dato’ Dr Firdaus Abdullah menjadi Ketua Pengarah (2005-2008). Jelasnya, itu yang menyebabkan dia mengambil keputusan meletakkan jawatan bergaji besar.
Bermula dari Ungku Abdul Aziz Ungku Abd Hamid (1956-1957) sehingga sekarang, Datuk Abdul Adzis Abas (mulai 2016), DBP telah mempunyai 11 orang Ketua Pengarah (KP). Setahu saya, DBP menempuh zaman kegemilangannya semasa pentadbiran Ungku Aziz, Allahyarham Tun Syed Nasir Ismail (1957-1969), dan Allahyarham Datuk Hassan Ahmad (1976-1988).
Walau bagaimanapun, sejak lebih dua dekad kebelakangan ini (termasuk pentadbiran Aziz), dan kian parah semasa Dato’ Termizi Aziz (2009-2012), DBP sudah tidak dihormati/disegani lagi. ‘Taring’nya dikatakan telah hilang sekalipun ‘panglima bahasa’, Datuk Dr Awang Sariyan turut menjadi KP (2012-2016).
Ada seniman/budayawan yang berharap pendidikan digabungkan dengan kebudayaan, menjadi Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan di bawah kerajaan baharu, Pakatan Harapan (HARAPAN).
Namun demikian, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menubuhkan Kementerian Pendidikan (yang menggabungkan sekali pengajian tinggi, tanpa menyertakan nama itu) dengan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dipilih sebagai menterinya.
Antara usaha yang telah dan sedang diusahakan oleh Dr Maszlee untuk memacu kembali DBP menuju kegemilangan ialah menganjurkan Forum ‘Memperkasakan Dewan Bahasa dan Pustaka Menuju Malaysia Baharu’ di Dewan Bankuet, DBP baru-baru ini, dan mahu membawa Sasterawan Negara (SN) keempat (1985), Dato’ Seri Dr A Samad Said kembali ke agensi itu.
Forum ‘Memperkasakan Dewan Bahasa dan Pustaka Menuju Malaysia Baharu’
dijayakan oleh penggiat politik/penulis/pengarah filem tanah air, Hishamuddin Rais; penggiat/penulis teater veteran/Presiden Seniman Paksi Rakyat, Dinsman, serta Pengarah Pusat Kajian dan Dokumentasi Pementasan Tradisional (PUSAKA), Eddin Khoo, bersama-sama pensyarah di Universiti Teknologi Petronas, Dr Muhaimin Sulam sebagai ahli panel. Dr Muhaimin memudahcarakan forum berkenaan.
Antara tujuan forum ‘Memperkasakan Dewan Bahasa dan Pustaka Menuju Malaysia Baharu’ ialah menghimpunkan ilmuwan, serta penggiat persuratan dalam sebuah wacana ilmiah bagi membincangkan isu-isu semasa berkaitan dengan peranan DBP.
Ia juga mahu menyerlahkan peranan bahasa dan sastera kebangsaan, serta fungsinya sebagai antara tonggak pembinaan tamadun bangsa; mendapatkan maklum balas, komen, serta saranan bagi DBP merangka usaha pemerkasaannya agar selari, dan memenuhi hasrat kerajaan; dijadikan wadah yang sesuai untuk khalayak, serta masyarakat melontarkan idea, dan pandangan terhadap DBP tentang isu-isu yang timbul, serta menyemarakkan kembali DBP sebagai medan para ilmuwan berwacana secara ilmiah.
Kita tidak boleh mengenepikan kewujudan, serta peranan DBP apabila menyebut sastera dan budaya (kebahasaan), kerana mustahil kita mengharapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, atau Dewan Perniagaan Melayu Malaysia misalnya.
Di sebalik pro dan kontra forum tersebut, malah dikatakan seperti ia sengaja ‘menyerah tengkuk’, DBP tidak berkecil hati.
Semasa menjawab soalan wartawan dalam majlis Ramah Mesra Pengerusi Lembaga Pengelola DBP bersama-sama Media di Sanggar Tun Seri Lanang, DBP pada 27 Julai lalu adakah forum sedemikian akan diteruskan, Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom memberi jawapan positif – forum sedemikian akan diteruskan – DBP bersedia mendengar, serta berubah selaras dengan kerajaan baharu, dan Malaysia Baharu.
Ada yang mempertikai langkah Maszlee mahu membawa Samad Said atau Pak Samad kembali ke DBP. Kata mereka, ‘kembali’ apa kerana Pak Samad bukan mantan kakitangan DBP. Tambah mereka, jika Samad dibawa, SN lain juga perlu dibawa sama.
Sementelah kalau diteliti, dalam senarai 13 SN setakat ini, ada lima mantan pegawai DBP, iaitu Keris Mas (Kamaludin Muhamad/1981), Dato’ Dr Usman Awang (1983), Dato’ Dr Anwar Ridhwan (2009), Dato’ Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala/2010), dan Dato’ (Dr)  Baharuddin Zainal (Baha Zain/2013). Keris dan Usman sudah meninggal dunia.
Ada juga yang menulis dalam akhbar (kolumnya) bahawa jangan hanya menyelamatkan Samad, tetapi yang lebih penting ialah sastera tanah air.
Samad cuba ‘dikembalikan’ kerana beliau memang tidak akrab lagi dengan DBP. Lagipun, beliau Samad sasterawan yang lebih banyak (berani) bergerak dan bertindak dalam segala macam isu sastera budaya (kebahasaan) tanah air – menyebelahi pembangkang ketika itu - Pakatan Rakyat, sebelum Pakatan Harapan, sedangkan tiga mantan pegawai DBP yang disebutkan hanya (terpaksa) membisu (mungkin kerana kekangan birokrasi dan kepentingan kedudukan). Mereka juga ada datang sesekali memenuhi undangan DBP.
Kelihatan hasrat Maszlee akan terbantut kerana Samad menolak pelawaan tersebut. Kata Samad, beliau tidak akan ke DBP sebagai APA pun kerana sudah TERLAMBAT.
Namun begitu, Hatta menegaskan kasih sayang DBP terhadap semua SN  tidak pernah luntur. Cuma, adat percintaan, katanya, kadang-kadang merajuk, bergaduh, dan cemburu.
Dr Hatta yang dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP yang baharu mulai 9 Julai 2018 menegaskan, pihaknya akan terus memujuk Samad dari semasa ke semasa. Jika boleh, beliau dan KP/TKP akan melakukan kunjungan hormat ke rumah Samad!
Peranan DBP ‘menjaga’ perihal sastera budaya tanah air menjadi semakin luas, serta rumit apabila ia turut menerbitkan majalah bulanan, dan buku. Peranan itu juga amat perlu kerana bahan penerbitan tersebut turut mendidik masyarakat mengenai sastera budaya sebenar. Disebabkan peranan mendidik itu, ia diletakkan di bawah Kementerian Pendidikan (dahulu Kementerian Pelajaran) Malaysia.
Rakan saya menyambut baik perancangan dan usaha Maszlee. Namun demikian, dia tidak yakin matlamat akan tercapai selagi sikap/pemikiran sebahagian besar kakitangan DBP, termasuk KP yang bertugas masih sama. Menteri baharu, tetapi para pegawai agensi kementerian masih beracuan lama, katanya, tidak akan membawa ke mana-mana.
Maszlee boleh mengeluarkan arahan, tetapi dapatkah difahami serta diikuti jika majoriti petugas telah sebati dengan cara, dan perangai lapuk? Langkah yang terbaik, katanya, ialah menukarkan KP. Tenaga baharu yang boleh mengikut arahan/membawa perubahan positif amat penting.
Isu pegawai dan editor DBP tidak mengenali penulis yang datang berkunjung juga sering diperkatakan. Kata rakan saya, itu disebabkan sesi ujian bertulis berkaitan sastera budaya tanah air sebelum sesi temuduga jawatan pegawai/kakitangan DBP telah ditiadakan. Calon tidak lagi perlu menulis karangan, meringkaskan karangan, menterjemah karangan dari bahasa Inggeris ke bahasa Melayu, dan merumikan karangan bertulisan Jawi.
Jelas rakan saya itu , ujian bertulis tersebut diberhentikan semasa Dato’ A Aziz Deraman menjadi KP (1994-2004). Entah kenapa, tetapi dikatakan antara tujuannya ialah memberi laluan mudah kepada kroni Aziz, terutama calon dari Kelantan bertugas di DBP.
Sepanjang mentadbir DBP, Aziz juga banyak membuka peluang untuk menerbitkan kumpulan puisi beliau sendiri, selain kerap ‘makan angin’ ke dalam dan ke luar negara.
Pernah berlaku isu sehingga berlarutan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan pengurusan DBP, iaitu pelantikan Timbalan KP (TKP). Jika mengikut proses sebenarnya, Khalid Ahmad yang wajar dilantik. Walau bagaimanapun, Kamarul Zaman Shaharudin yang dipilih, dan itu dibantah oleh Presiden Kesatuan Pekerja DBP, Hasni Abas.
Hanya Pengerusi Lembaga Pengelola DBP ketika itu, Tan Sri Johan Jaafar yang tahu mengapa beliau melantik orang lain. Persatuan Pekerja DBP telah mengadakan piket di DBP sendiri membantah campur tangan Johan. Khalid dan persatuan membawa isu ke mahkamah, tetapi kalah. Presiden, Naib Presiden, dan Penolong Setiausaha disaman malu oleh Kamarul. Naib Presiden dan Setiausaha memohon maaf daripada Kamarul. Namun begitu, Presiden dan Penolong Setiausaha menang, dan Kamarul perlu membayar kos mahkamah sebanyak RM20,000.
Sebenarnya, jika mengikut Akta Kesatuan Sekerja, pegawai kesatuan tidak boleh disaman kerana tugasnya. Jadi, mengapa ada saman-menyaman itu?
Sementara itu, Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) merupakan program yang memberi tumpuan pada kempen mencintai bahasa Melayu yang penganjurannya dipelopori oleh DBP. Ia bertujuan mendidik masyarakat berbilang bangsa, khususnya di Malaysia agar dapat menyemarakkan, serta memartabatkan bahasa Melayu dalam pelbagai aspek, dan bidang yang boleh membawa ke arah kelestarian bahasa tersebut sebagai bahasa kelas dunia yang praktikal, dan realistik.
Antara tujuan utama penganjuran BBK termasuklah:
i) memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia.
ii) menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.
iii) mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan.
iv) menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara
bangsa.
Walau bagaimanapun, selepas bertahun-tahun, tiada kesan positif dari penganjuran program tersebut. Apa yang tidak kena atau kurang dengannya?
Rakan saya itu berpendapat program BBK boleh diteruskan, tetapi pengurusannya perlu ditambah baik. Jika tidak, ia akan terus menjadi program ‘syok sendiri’.
‘Syok sendiri’? Menurut mantan pegawai DBP itu, ‘syok sendiri’ kerana kewujudannya yang telah sekian lama tidak pun disedari, apatah lagi dihormati/dipedulikan. Keadaan itu berlaku kerana banyak pihak yang bertanggungjawab dengan masalah kebahasaan tanah air tidak dilibatkan.
Belum selesai isu BBK, Hatta semasa majlis ramah mesra itu membentangkan perancangan program Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK). Menurut beliau, Maszlee telah mengemukakan DBK yang dianggap sebagai gagasan besar yang diterajui DBP untuk memastikan bahasa kebangsaan menjadi pilihan utama rakyat Malaysia, dan salah satu bahasa utama dunia.
Jelas Hatta, gerakan awal DBK ialah pada tahun 2018 sehingga 2020 yang lebih menumpukan perancangan gerak kerja awal, memberikan pemahaman dan kesedaran kepada seluruh rakyat Malaysia, dan pada tahun 2020-2030 diisytiharkan sebagai DBK.
DBP sedang menyediakan kertas rangka tindakan untuk dibentangkan bagi mendapat pandangan Menteri Pendidikan, dan pihak-pihak lain yang berkepentingan bagi memastikan gagasan besar kerajaan dapat dilaksanakan.
Banyak pendekatan yang perlu diambil dalam usaha pelaksanaan DBK dalam dan luar negara sedang dirangka.
Antara pendekatan dalam negara ialah menjadikan DBP sebagai wadah dalam penyemaian budaya intelektual melalui bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia; memartabatkan bahasa, sastera, dan persuratan kebangsaan melalui sokongan padu semua pihak yang melibatkan kementerian, agensi kerajaan, dan swasta bagi memastikan segala program yang dilaksanakan mencapai matlamat yang telah ditetapkan; melantik duta DBK yang merangkumi pelbagai bidang sebagai promosi; menggiatkan penterjemahan bahan ilmu ke dalam bahasa Melayu; dan menjadikan DBP sebagai pusat pembelajaran bahasa dan budaya Melayu kepada pekerja asing sebagai syarat bekerja di negara ini.
Antara perancangan di luar negara pula termasuklah mewujudkan pusat pengajaran dan pembelajaran bahasa kebangsaan yang unggul di dalam dan di luar negara sebagaimana yang dimiliki oleh bahasa ‘besar’ dunia lain seperti British Council dan Goethe Institute; menggiatkan dan meningkatkan pengajian bahasa kebangsaan di luar negara, dan dilaksanakan secara meluas – dengan dukungan dan iltizam pihak universiti tempatan diberi tumpuan melalui persembahan dan pemantapan Kursi Pengajian Melayu sedia ada di universiti-universiti seluruh dunia sperti di Universiti Leiden, Universiti Ohio, Universiti Victoria, Wellington; Universiti Hankuk, dan Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU); dan menjadikan bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa rasmi dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Selain itu, sesuai dengan saranan Maszlee, DBP akan menghidupkan kembali Kempen Membaca Kebangsaan untuk memberi impak terhadap peningkatan budaya membaca rakyat Malaysia. Ia akan dilaksanakan dalam tempoh 2018-2020 dan seterusnya 2020 sehingga 2030 yang kemudian diisytiharkan sebagai Dekad Membaca Kebangsaan.
Tegas Hatta, semua karyawan DBP perlu bekerja keras memartabatkan kembali agensi tersebut kerana ia agensi kerajaan. Tidak wajar, katanya, agensi kerajaan mengecewakan kerajaan, dan rakyat yang berharap.

No comments:

Powered by Blogger.