SASTERA BUDAYA
R
PERLU TAHU BANYAK PERKARA UNTUK JADI RAJA

Melihat posternya yang gah, saya tidak teruja berlebih-lebihan kerana kerap berlaku ‘indah khabar dari rupa’. Walau bagaimanapun, tanggapan awal saya meleset selepas menonton filem yang berdurasi 143 minit ini.
Persembahan AQUAMAN mengejutkan saya. Bukan sahaja mengagumi visualnya, tetapi juga mesej dan falsafah yang diselitkan. Tahniah kepada pengarah James Wan, serta penulis lakon layar, David Leslie Johnson-McGoldrick, dan Will Beall.
Kehebatan visual AQUAMAN menguatkan bukti bahawa kemampuan imej janaan komputer (CGI) HOLLYWOOD tidak boleh disangkal lagi – semakin maju dan canggih. Saya fikir tiada penonton yang dapat melupakan adegan pertarungan/pertempuran/peperangan di dalam laut – hasil CGI - walaupun ada yang klise. Itu telah memenuhi impian Wan untuk menghasilkan filem ‘a la’ STAR WARS – ‘Star Wars di dalam laut’.
Penampilan Jason Momoa sebagai Arthur Curry/Aquaman, manusia separuh normal dan Atlantean juga mengejutkan, kerana dalam BATMAN V SUPERMAN: DAWN OF JUSTICE (2016) dan JUSTICE LEAGUE (2017) dia tidak begitu memikat - mungkin kerana kurang adegan, dan dibayangi adiwira lain. Momoa memang sesuai sebagai Aquaman.
Cuma, barangkali kerana terlepas pandang atau disengajakan, penampilan Arthur dan Aquaman tidak banyak berbeza – dari cara berpakaian dan bercakap sehingga dia mudah dikenali sebagai adiwira itu – cacah pada tubuhnya kekal kelihatan. Ayahnya, Thomas Curry (Temuera Morrison/manusia normal) mengetahui, dan beberapa pemuda bertubuh besar di dalam bar tidak salah sangka, serta mahu bergambar dengannya.
Ada peminat, pemerhati, dan pengkritik filem mengatakan biasanya filem adwira tiada mesej berguna atau pengajaran/falsafah kemanusiaan. Namun demikian, saya dapat mengambil mesej berguna/pengajaran/falsafah dari filem ini. Satu daripadanya, seseorang raja perlu mengetahui/menguasai semua atau banyak perkara/banyak ilmu untuk tampil sebagai pemerintah/pemimpin berwibawa.
Tentu sahaja AQUAMAN ialah singkatan bagi AQUARIUM MAN yang bererti Manusia Akuarium. Akuarium juga bermaksud atau dikaitkan dengan ikan. Ikan yang mendiami akuarium masih di dalam air, tetapi matanya dapat memandang keluar – dunia luar, sama ada ruang tamu rumah, ruang kedai dan/atau manusia yang melihatnya (tuan rumah/tetamu/tuan kedai/pengunjung/pelanggan).
Arthur ialah anak kacukan manusia dan Atlantean. Ibunya, Atlanna (Nicole Kidman) merupakan Ratu Atlantean. Atlanna diselamatkan oleh Thomas yang bekerja sebagai penjaga rumah api, dan mereka saling jatuh cinta sehingga berkahwin, lalu memperoleh Arthur.
Lantaran ayah manusia biasa dan ibu pula ratu lautan, Arthur hidup di dua dunia – daratan dan lautan. Dia seumpama ikan yang berada di dalam akuarium.
Kekasihnya, Mera (Amber Heard) sendiri ketika mendorong Arthur agar bersemangat, mengatakan pemuda itu ialah raja sejati kerana (mampu) menjadi jambatan antara manusia normal di daratan dengan Atlantean di lautan – hasil pengalaman hidup di daratan dan lautan – pada usia sembilan tahun (lakonan Kaan Guldur), dan 13 tahun (Otis Dhanji).
Berdarah kacukan, tetapi Arthur berhati mulia kerana suka membantu manusia normal yang dalam kesusahan di daratan - seperti yang dikatakan oleh Nuidis Vulko (Willem Dafoe), penasihat yang kemudian menjadi mentornya ketika pertama kali datang ke Antlantis.
Arthur berbeza dengan adik tirinya, Orm/Penguasa Lautan (Patrick Wilson). Orm tidak menyukainya - pendendam dan menyangka melulu. Dia tidak puas hati dan membenci Arthur kerana bukan Atlantean sejati, dan menyangka menjadi punca ibunya (Atlanna) mati. Orm turut mengisytiharkan perang terhadap dunia daratan kerana marah manusia terus mencemarkan lautan.
AQUAMAN didasarkan daripada watak DC Comics yang bernama serupa, edaran Warner Bros. Pictures. Ia sajian keenam dalam DC Extended Universe (DCEU).
Turut dibintangi pelakon veteran Dolph Lundgren, dan bakat baharu Yahya Abdul-Mateen II, AQUAMAN merupakan filem ketiga di pawagam yang menampilkan adiwira itu selepas BATMAN V SUPER: DAWN OF JUSTICE dan JUSTICE LEAGUE, serta filem pertama berpusat pada watak Aquaman.
Arthur ialah waris kerajaan bawah laut yang enggan menjadi Raja Atlantis dan tujuh lautan, perlu berusaha keras memimpin rakyat menentang Orm, yang cuba menyatukan tujuh kerajaan bawah laut menentang dunia daratan. Dia berkemampuan memanipulasi pasang surut lautan, berkomunikasi dengan hidupan laut lain, berenang dengan kepantasan supersonik, dan memiliki kudrat luar biasa. Dia sebenarnya terperangkap antara dunia daratan yang berterusan mencemari lautan dengan Atlanteans yang mahu memberontak, tetapi ingin/perlu melindungi seluruh dunia.
Dalam masa yang sama, Arthur/Aquaman perlu menghadapi David Kane/Black Manta (Yahya Abdul-Mateen II) yang mendendaminya. David ialah perompak laut dalam yang kejam, kemudian menjadi Black Manta dengan inovasi teknologi canggih, hasil pakatan jahatnya bersama-sama Orm. Dia menjadi musuh kekal Aquaman, dan membalas dendam kerana adiwira itu tidak menyelamatkan ayahnya, Jesse Kane (Michael Beach) yang tercedera selepas pertarungan dalam satu rompakan kapal selam. Jesse meletupkan dirinya sendiri.
Mera yang memang pahlawan, merupakan puteri kepada Raja Nereus (Dolph Lundgren), raja puak Xebel. Dia dibesarkan oleh Ratu Atlanna, dan akan diangkat menjadi ratu - bertunang dengan Orm. Dia memiliki kuasa hidrokinetik, dan telepati yang membolehkannya mengawal persekitaran akuatik, dan berhubung dengan Atlantean lain.

7/10

No comments:

Powered by Blogger.