SASTERA BUDAYA

HANG TUAH SELAMATKAN MALAYSIA/DUNIA?


Filem XX Ray (1992) dibintangi Aziz M Osman, Faizal Hussein, Nor Aliah Lee, Sharmaein Farouk, Allahyarham Ibrahim Pendek, Edika Yusof, dan Esma Daniel. Sekuelnya, XX Ray II (1996) sekali lagi menampilkan Lydiawati, Eda Nerina, Dato’ Jalaluddin Hassan, serta Allahyarham Azmil Mustapha, dan Osman Kering. Aziz masih memegang watak Amir.
Kedua filem arahan Aziz itu bercorak fiksyen sains. Selepas kira-kira 22 tahun, muncul pula sekuelnya, XX Ray III. Oleh sebab sudah mesra fiksyen atau cereka sains yang menjadi jenama/sinonim XX Ray, filem XX Ray III juga dianggap penuh sedemikian.
XX Ray III memang masih filem cereka sains. Namun demikian, XX Ray III ternyata lebih daripada itu. Mesej besarnya sangat menonjol. Dengan pesanan utamanya yang begitu ketara, XX Ray III ialah filem patriotik.
Sebagaimana Ola Bola (2016) yang memperoleh RM16.67 juta, dan Paskal the Movie (2018) mengutip RM30 juta, XX Ray III diharap turut/wajar mengikut jejak dua filem patriotik/patriotisme itu.
Dalam XX Ray III, Rayyan, pelajar fizik (lakonan Izzue Islam); Sam, pelajar kejuruteraan zarah (Adam John), dan Lana, pekerja rahsia syarikat perindustrian yang berpangkalan di Jordan/sempadan Israel (Nonny Nadirah) terlibat dalam misi menyelamatkan kerajaan Malaysia daripada disabotaj oleh hartawan muda, Rosman (Dazrin Kamaruddin) yang mengugut untuk mengulangi kejadian kehilangan tenaga elektrik di seluruh negara pada Ogos 1996.
Peristiwa tersebut disebabkan oleh wormhole (lohong ulat) yang menyerap kuasa utama tenaga elektrik dari stesen jana kuasa di Paka, Terengganu. Lohong ulat terjadi disebabkan oleh sebuah probe yang tidak dikenali dari angkasa lepas. Bapa Rosman, Tan Sri Ismail (Dato’ Rahim Razali) telah mengambil probe itu, dan menyembunyikannya.
Pada kenyataannya, probe tersebut ialah satu daripada ribuan probe yang diprogramkan untuk membuka stargate terbesar, dan menyerap tenaga matahari untuk dihantar semula ke alam semesta lain. Rayyan, Sam dan Lana kemudian cuba mencari buku nota yang ditulis oleh Profesor Amir (Aziz/tokoh urban legend) yang dipercayai mempunyai jawapan untuk mengawal probe berkenaan, dan seterusnya menyelamatkan sistem solar.
Kalau mencari logik, memang kita tidak menemuinya dalam dua filem terdahulu. Mustahil manusia/watak dari dua zaman yang sangat berbeza boleh bertemu, dan bekerjasama memusnahkan kejahatan.
Hang Tuah yang sangat terkenal pada zaman Kesultanan Melayu Melaka muncul pada zaman moden. Watak laksamana/pahlawan Melayu Melaka itu mula ditampilkan dalam XX Ray II, lakonan Jalaludin. Tidak masuk akal, tetapi patriotik dan patriotisme ialah perkara nyata, serta masuk akal.
Setelah sekian lama kita menonton dan pemikiran dipantakkan dengan filem keluaran Hollywood yang wira dan/atau adiwiranya menyelamatkan dunia – sehingga ada yang obses, dan beranggapan/berfikiran hanya orang Barat mampu menyelamatkan dunia – wira/adiwira dalam dunia filem, dan pemimpin dalam dunia nyata.
Watak wira fiksyen dalam filem yang terkenal sebagai penyelamat dunia ialah perisik rahsia James Bond (25 filem setakat ini sejak Dr No pada 1962 sehingga Spectre {2015}), dan banyak adiwira rekaan di pawagam seperti Batman, Superman, Spider-man, Iron Man, Captain America, Thor, Incredible Hulk, Wonder Woman, dan Black Panther.
Menerusi XX Ray III yang diharapkan mencapai kejayaan besar/mendapat sambutan hangat, Aziz cuba memberitahu masyarakat bahawa filem Melayu tempatan juga menampilkan wira yang mahu/boleh menyelamatkan dunia. Rayyan, Sam, dan Lana serta rakan-rakan mereka, juga Amir, Rizal (Ashraf Muslim), Azli (Saiful Apek, yang menemui/menyimpan buku nota Amir pada 1996), Adel (Ardell Aryana/adik Rosman dan Lana), dan Harun (Razak Ahmad/ayah Rayyan) merupakan wira besar, dan wira kecil. Mereka yang pada mulanya mahu menyelamatkan Malaysia, secara tidak langsung turut menyelamatkan dunia!
Lebih menarik, Hang Tuah (watak legenda yang dipercayai wujud dan masih hidup kerana sumpahan keris) dijadikan seperti adiwira dengan kesaktian keris beliau, Taming Sari. Aksinya pada penghujung cerita walaupun klise dan diinspirasikan daripada filem-filem adiwira, terutamanya keluaran DC Comics dan Marvel, menunjukkan sifat sedemikian dengan jelas. Apatah lagi dengan latar belakang lagu ciptaan/nyanyian Datuk M Nasir, ‘Mentera Semerah Padi’, selain lagu kempen terkenal mengenai produktiviti (beberapa tahun lalu). Hang Tuah juga tidak mati meskipun ditembak dari jarak dekat oleh orang Rosman.
Mesej lain yang tersirat ialah kiamat sudah dekat. Walaupun tidak diketahui sama sekali tarikh dan masanya, agamawan telah menyatakan zaman kini merupakan akhir zaman. Ada pula manusia (Rosman) yang tamak dan hanya mementingkan wang ringgit, serta cuba menyanggah takdir apabila perlakuannya seperti mahu mempercepatkan kiamat.
Selain itu, mereka yang melupakan Tuhan disindir. Menerusi watak Sam yang kesal kiamat berlaku pada zamannya, Aziz menyindir manusia yang baru mahu mendirikan solat, dan beriktikaf di masjid apabila menjangka kiamat berlaku bila-bila masa. Jika tidak kiamat, tiadalah mahu solat, apatah lagi ke masjid.

















No comments:

Powered by Blogger.