BISNES
SAHABAT AIM DAPAT BANTUAN RM2.5 BILION TAHUN INI
AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) memperuntukkan
RM2.5 bilion bagi pembiayaan mikro dengan sasaran 400,000 Sahabat menjelang
akhir 2019. Ia memberi impak penambahan hampir 80,000 Sahabat baharu di seluruh
Malaysia yang kesemuanya dari golongan B40.
Menurut Pengerusi Lembaga AIM, Datuk Junaidah
Kiting, AIM mengeluarkan pinjaman secara kumulatifnya sehingga ke hari ini
berjumlah RM22 bilion untuk golongan miskin, dan berpendapatan rendah bagi
meningkatkan pendapatan isi rumah mereka.
Ketika berucap semasa Majlis Iftar Ramadan Bersama
Media di Kuala Lumpur pada 17 Mei lalu, Junaidah berharap peningkatan
peruntukan tersebut dapat membantu Sahabat mengembangkan lagi perniagaan, dan
memberi manfaat kepada lebih ramai wanita dari kategori B40 untuk menceburi
bidang perniagaan.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Pembangunan
Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang sudi menyampaikan Sumbangan Iftar
Ramadan AIM berbentuk barangan makanan asas bernilai RM22,200 kepada 111
Sahabat AIM di Kuala Lumpur, dan Selangor.
Sementara itu, dalam ucapannya dalam majlis
berkenaan, Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz memberitahu AIM telah
meluaskan lagi operasinya kepada 136 Pejabat Cawangan di bawah seliaan 30
Pejabat Wilayah Persekutuan di seluruh negara bagi memastikan hasrat, dan
sasaran tersebut tercapai, dan sampai kepada kumpulan sasar dengan perkhidmatan
terbaik.
Tambah Mohamed Shamir, prestasi bagi suku pertama
2019 amat postitif dengan kemasukan 17,192 Sahabat baharu dengan jumlah
pembiayaan yang telah dikeluarkan berjumlah RM515.3 juta.
Dalam majlis tersebut, hadirin turut dihiburkan
dengan persembahan kumpulan nasyid terkenal tanah air, In-Team. Kumpulan yang
dianggotai empat ahli itu menyampaikan beberapa lagu popular mereka, termasuk
‘Nur Kasih’.
No comments: