SASTERA BUDAYA
BELI BUKU ITBM DI PEJABAT POS
SEBAGAI salah satu langkah meluaskan capaian kepada
bahan terbitan berkualiti dan perkhidmatan penterjemahan, Institut Terjemahan
& Buku Malaysia (ITBM) melancarkan kerjasama strategik bersama-sama dengan
Pos Malaysia Berhad (PMB) menerusi penyediaan sudut bacaan, dan penjualan buku
serta khidmat penterjemahan di kaunter PMB di seluruh negara.
Kerjasama pertama kali antara ITBM dengan PMB ini
merupakan langkah menggalakkan budaya pembacaan dalam kalangan masyarakat umum,
selari dengan tanda pagar #MalaysiaMembaca atas inisiatif Kementerian
Pendidikan Malaysia (KPM), sebagai tanda menyokong kempen Dekad Membaca
Kebangsaan 2021-2030. Ia merupakan akses kepada masyarakat untuk mengatasi
halangan, dan penguasaan bahasa bersempena dengan kempen Dekad Bahasa
Kebangsaan.
Usaha ini merupakan langkah terbaik menggalakkan
lebih ramai rakyat Malaysia mengisi ruang masa yang ada dengan membaca. Sebelum
ini tiada siapa pun pernah terfikir pejabat pos boleh menjadi alternatif kepada
perpustakaan dan kedai buku untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti, boleh
membaca dan juga membeli buku.
Tidak keterlaluan jika dikatakan PMB menjadi agensi
pos pertama di dunia yang menyediakan sudut membaca, serta boleh membeli buku di
kaunter pos.
Tidak mustahil jika pejabat pos menjadi tempat
anak-anak mengisi masa dengan membaca buku, sementara ibu bapa berurusan di
kaunter pos. Mungkin pejabat pos di pusat beli-belah boleh turut menjadi salah
sebuah lokasi anak-anak muda melepak. Barangkali juga pejabat pos tidak akan
dicitrakan lagi menjual setem, mengutus surat, dan menghantar bungkusan
semata-mata, malah menjadi salah sebuah ‘kedai ilmu’ di negara kita.
Menurut Pengurus Besar merangkap Pemangku Pengarah
Urusan ITBM, Sakri Abdullah, ITBM berusaha menjalankan gerak kerja mencari dan
mengenal pasti syarikat korporat berpotensi untuk turut sama menjalinkan
kerjasama strategik menjayakan kempen menggalakkan pembudayaan membaca dalam
masyarakat.
Tambah Sakri, hal tersebut dikatakan sedemikian
kerana semua pihak tanpa mengira sektor kerajaan mahupun syarikat korporat
harus melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk memupuk tabiat, dan budaya
membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Tegas beliau lagi, dengan terbentuknya masyarakat yang
suka membaca dan mencintai keilmuan, rakyat negara kita akan menjadi bangsa
yang berjaya, serta berkembang maju daripada aspek pemikiran, dan keperibadian.
PMB sebagai rakan kerjasama strategik berdasarkan
keupayaan agensi tersebut yang memiliki pelbagai kemudahan dan perkhidmatan
yang meluas di seluruh negara. Inisiatif ini juga menyerlahkan keupayaan
pejabat pos yang dikendalikan oleh PMB menjadi penanda aras (benchmark)
bagi mana-mana pejabat pos di dunia sebagai lokasi strategik bagi penyampaian ilmu
kepada seluruh masyarakat.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PMB, Syed
Md Najib Syed Md Noor, usaha membudayakan tabiat membaca dalam kalangan rakyat
Malaysia merupakan tanggungjawab semua pihak. Menyedari kepentingan pembabitan
dan sokongan tersebut, kata beliau, PMB percaya bahawa kerjasama strategik
bersama-sama ITBM ini akan menggalakkan, dan mempromosikan sikap rajin membaca,
serta menyumbang ke arah pembentukan masyarakat berilmu, dan berpengetahuan
tinggi.
Selain itu, tambah Syed Md Najib, ia juga
mempelbagaikan lagi fungsi pejabat pos sebagai pusat komuniti setempat susulan
penyediaan ruang membaca yang boleh dimanfaatkan oleh orang ramai yang
mengunjungi pejabat pos.
PMB, kata Syed Md Najib, melalui cabang premium
kuriernya, telah proaktif dalam menyediakan perkhidmatan tambah nilai dengan
memperkenalkan mekanisme infra e-Dagang, iaitu Pos Laju EziBox, khususnya bagi
golongan siswa-siswi di institusi
pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.
Jelas beliau, Pos Laju EziBox ialah infra berkonsepkan
pengiriman, serta penerimaan item yang telah ditempatkan di sepuluh IPT.
Antaranya ialah di EzBox@UniversitiMalaya, EziBox@UiTM Puncak Alam dan EziBox@.
Empat lagi EziBox dalam masa terdekat di UTEM Melaka, UPNM, MMU Cyberjaya, dan
UTHM.
Jadi, tambah Syed Najib, ITBM boleh menggunakan
infra ini sebagai platform bagi menjual lebih banyak bahan bacaan, serta
rujukan kepada penuntut IPT.
Menerusi kerjasama ini, pejabat pos menjadi
platform mudah bagi masyarakat untuk mendapatkan akses kepada bahan bacaan
berkualiti, serta urusan berkaitan khidmat penterjemahan dokumen kepada umum di
kaunter PMB.
Sebagai permulaan, kata Syed Najib, bahan terbitan
dan khidmat penterjemahan ITBM boleh didapati secara berperingkat-peringkat di
cawangan utama setiap negeri, iaitu 13 Pejabat Pos Besar di seluruh negara,
termasuk Sabah, dan Sarawak. Seterusnya, kemudahan ini akan diperluaskan ke
cawangan-cawangan lebih kecil di setiap daerah, dan kawasan pedalaman.
Pelanggan yang mengunjungi PMB boleh membaca buku terbitan
ITBM yang disediakan sebagai ‘Naskhah
Baca’ di rak buku khas di setiap pejabat pos. Buku berkenaan juga boleh dibeli
atau ditempah terus di kaunter PMB berkenaan.
Bagi khidmat penterjemahan dokumen, pelanggan,
terutamanya di luar Kuala Lumpur boleh menghantar salinan lima dokumen, iaitu
kad pengenalan, sijil kelahiran, sijil pendidikan (Sijil Pelajaran Malaysia,
Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, dan Sijil Tinggi Agama Malaysia), lesen
memandu, dan pasport daripada bahasa Melayu (atau Arab) ke bahasa Inggeris atau
Arab.
Pelancaran kerjasama strategik ini disempurnakan
oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik di Pejabat Pos Besar Kuala
Lumpur, pada 6 Mei lalu.
Dalam ucapannya, Dr Maszlee amat mengalu-alukan
penglibatan lebih banyak syarikat di Malaysia untuk memberikan kerjasama
terhadap pembangunan dan pembentukan budaya Malaysia, khususnya dalam bidang
perbukuan.
Tegas beliau, pelaksanaan oleh PMB dan ITBM
tersebut perlu dicontohi atau dijadikan penanda aras oleh pihak lain seperti
hospital swasta, syarikat telekomunikasi dan syarikat automobil, institusi
kewangan, dan pusat beli-belah untuk bersama-sama mencerdikkan akal budi bangsa
kita dengan menyediakan Sudut Membaca.
Maszlee turut memuji inisiatif penyediaan khidmat terjemahan
ITBM menerusi kaunter pejabat pos. Hal ini dikatakan sedemikian kerana ia
merupakan salah satu matlamat Kementerian Pendidikan Malaysia membantu
masyarakat melanjutkan pendidikan ke peringkat lebih tinggi.
Kata beliau, lokasi ITBM yang merupakan agensi di bawah
KPM, yang hanya di Kuala Lumpur pasti akan menyukarkan pelajar-pelajar yang
mahu menterjemahkan sijil pendidikan bagi tujuan penyambungan pendidikan di
luar negara.
Maszlee mengucapkan terima kasih kepada PMB atas
persetujuan menyediakan khidmat yang memberi manfaat besar ini melalui kaunter
pejabat pos.
Selain Sakri dan Syed Najib, turut hadir
termasuklah Ketua Setiausaha KPM, Dato’ Dr Mohd Gazali Abas; Pengerusi Lembaga
Pengarah PMB, Datuk Yasmin Mahmood, dan Pengerusi Lembaga Pengarah ITBM, Mazmi
Kamal.
No comments: