HOBI


TAMAN PERMAINAN SWAFOTO KUCING PERTAMA DI MALAYSIA


DARI pembukaannya yang pertama di Malaysia pada 2012, lebih banyak kafe kucing dibuka dari semasa ke semasa.
Selepas memperkenalkan Kafe Kucing Pertama di Malaysia, Dr EJ Khew membawa pula Taman Permainan K-U-C-I-N-G Malaysia – Taman Permainan Swafoto Pertama di dunia dengan Kucing!
Pada 26 Julai 2019 lalu, perasmian taman permainan itu disempurnakan oleh waris diraja Selangor, Tengku Munazirah Tengku Abdul Samad Shah al-Haj di premis taman berkenaan, di tingkat 1, Sunway Putra Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur.
Selain Dr Khew sebagai pengasas taman permainan tersebut, turut hadir ialah Pengurus Besar Sunway Putra Mall, Danny Lee, dan Pengurus Pemasaran SEA Hagen, Teo Kia Poh.
Dalam majlis perasmian itu juga, Tengku Munazirah turut menandatangi plak perasmian sambil disaksikan oleh Dr Khew, Danny, dan Kia Poh. Beliau juga menerima momento penghargaan daripada Dr Khew.
Bakat baharu pemuzik yang masih menuntut di Kolej Tun Syed Nasir, Universiti Kebangsaan Malaysia, Jason Tang pula menghiburkan para hadirin dengan tiupan harmonikanya.
Selepas perasmian, Tengku Munazirah bersama-sama Dr Khew, Danny, Kia Poh dan hadirin bermesra dengan kucing-kucing yang menghuni untuk taman permainan itu, serta melawat Pameran Taman Permainan K-UC-I-N-G di Ruang Legar Utama, tingkat bawah Sunway Putra Mall.
Pameran Taman Permainan K-U-C-I-N-G berlangsung dari 26 Julai sehingga 30 Julai 2019. Acara tersebut mempamerkan lukisan-lukisan kucing yang cantik oleh artis Malaysia. Para pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti yang menceriakan seperti kanvas gergasi, skuter, menunggang basikal roda tiga, mewarna terapeutik kucing, dan melukis wajah.
Pameran tersebut turut mengadakan promosi kebenaran masuk (pas) ke Taman Permainan K-U-C-I-N-G, yang merangkumi Pas Beli 1 Percuma 1, Pas Bulanan, dan Pas Hari Ulang Tahun Kelahiran.
Taman Permainan K-U-C-I-N-G tidak hanya dibentuk untuk memberi ruang kepada orang ramai bermesra dengan kucing, tetapi juga berfungsi untuk perkembangan kanak-kanak dalam kemahiran motor, dan penyatuan pancaindera.
Taman tersebut juga dibentuk mengikut tema pemanis mulut rakyat Malaysia yang suka berswafoto. Kesimpulannya, ia amat sesuai bagi mereka yang mahukan kelainan pengalaman untuk acara, atau hari ulang tahun kelahiran masing-masing!
Pemilik kucing boleh membawa rakan-rakan sama minat untuk bersuka ria bermain dengan pelbagai rupa barang permainan kucing dari jenama kucing terkenal dunia, CATIT. Sudah tentu juga melayan pelbagai jenis prop swafoto untuk kucing!
Bagi mereka yang tiada kucing, Taman Permainan K-U-C-I-N-G memelihara 10 ekor kucing (setakat ini) yang boleh dimesrai. Kesemuanya kucing yang diselamatkan dari jalanan yang mesra dengan semua orang.
Bagi mereka yang mencari produk seperti makanan dan asesori untuk kucing mereka, Taman Permainan K-U-C-I-N-G menjual pelbagai produk import berkualiti.
Bayaran masuk ialah RM15 seorang untuk tempoh sejam. Menurut Dr Khew, pihaknya menyedari keperluan tempat terapi untuk kucing. Taman Permainan K-U-C-I-N-G, katanya, boleh membantu perkembangan kanak-kanak, membawa bersama-sama keluarga sambil bergembira, dan menjaga kucing.
 
      
   


No comments:

Powered by Blogger.