SASTERA BUDAYA

 

Malang bahasa hingga ke papan iklan


TELAH lama mata dan hati sakit melihat bahasa Melayu pada papan tanda perniagaan di seluruh negara. Apakah masalah sebenarnya hingga nasib bahasa tersebut begitu malang di negara sendiri?

Saya tidak kisah jika bahasa Melayu bukan bahasa kebangsaan negara kita. Namun demikian, saya peduli dan marah kerana bahasa Melayu langsung tidak seperti bahasa kebangsaan/rasmi/utama negara kita. Seolah-olah bahasa yang kerap/banyak terpampang itulah yang bertaraf sedemikian!

Mengapa terjadi sedemikian, padahal sudah lebih enam dekad negara kita mencapai kemerdekaan? Penggunaan bahasa Melayu yang salah, saiz bahasa Melayu lebih kecil daripada saiz bahasa lain/asing, malah paling menyedihkan/malang, ia tidak terpampang langsung telah lama berlaku!

Banyak papan tanda perniagaan kepunyaan syarikat/swasta seperti enggan menghargai/menghormati bahasa Melayu. Pemiliknya tidak menggunakan bahasa Melayu yang tepat/betul, dan ada antara mereka menganggap penggunaannya yang tepat/betul bukan syarat penting/wajib dalam perniagaan. Bagi mereka, yang utama ialah perniagaan tetap laris, dan maju meskipun tidak menggunakan bahasa Melayu yang tepat/betul.

Kesalahan penggunaan bahasa Melayu pada papan tanda perniagaan merangkumi ejaan, dan nahu, dan bahasa rojak. Amat dibimbangi perkara itu tiada kesudahan, dan tiada jalan penyelesaian. Belum lagi dikira mereka yang langsung tidak tahu/tidak mahu menggunakan bahasa Melayu.

Antara contoh kesalahan ejaan termasuklah pelancungan, kelinik, pamiran, restoren, stesyen, dan perabut. Sepatutnya nama-nama yang disebutkan ini dieja sebagai pelancongan, klinik, pameran, restoran, stesen dan perabot.

Kesalahan juga terlihat pada penggunaan sendi ‘di’. Kesalahan yang tidak pasti adakah si pelakunya tidak tahu, atau keliru kerap ditemui. Contohnya, ‘Ada Di Jual Di Sini’, ‘Ada Dijual Disini’, ‘Rumah Untuk Di Sewa’, ‘Rumah Untuk Di Jual’, dan sebagainya. Sepatutnya yang betul ialah ‘Ada Dijual di Sini’, ‘Rumah untuk Disewa’, dan ‘Rumah untuk Dijual’.

Antara contoh kesalahan nahu (terpaksa menyebut yang memang wujud) ialah ‘Amal Koresponden Sendirian Berhad’, ‘Sarata Ekspres Sendirian Berhad’, ‘Lim Tayar Sendirian Berhad’, ‘Restoran Arsyad Nasi Kandar’, dan ‘Hong Leong Bank’.

Sepatutnya nahu yang betul ialah ‘Koresponden Amal Sendirian Berhad’, ‘Ekspres Sarata Sendirian Berhad’, ‘Tayar Lim Sendirian Berhad’, ‘Restoran Nasi Kandar Arsyad’, dan ‘Bank Hong Leong’.

Dalam hal ini ‘Bank Islam Malaysia Berhad’, ‘Bank Simpanan Nasional’, dan ‘Hotel Istana’ antara yang wajar dipuji kerana menggunakan bahasa Melayu yang tepat/betul ejaan, dan nahunya. ‘Bank Islam’ sendiri turut menyertakan ejaan namanya dalam Jawi.

Satu kecenderungan yang kian menjadi-jadi sekarang ialah nama dalam bahasa bercampur-aduk atau bahasa rojak. Tentulah bahasa Inggeris yang dijadikan ‘rakan’ bahasa Melayu. Kenapa ‘Maju Junction’ dan bukan ‘Simpang Maju’? Ada pula yang menggunakan nama ‘Asam Pedas Claypot’. Tidak lazat agaknya jika dalam bahasa Melayu!

Antara yang paling biasa juga ialah perkataan ‘the’. Kelakarnya, ‘the’ itu pula diubah menjadi ‘de’ atau ‘d’’. Jadi, bukan bahasa Melayu sahaja, bahasa Inggeris pun dicemari. Contohnya ‘D’Saji Panazz’, dan ‘D’Tebing Klasik’. ‘Panazz’ itu asalnya perkataan ‘panas’ - bahasa Melayu. Mengapa menjadi ‘panazz’?

Antara contoh yang tidak menggunakan bahasa Melayu ialah ‘Pertama Complex’, ‘Pak Uda Café’, ‘My Real Café’, ‘Muaz Wholesale Emporium’, ‘Office Space For Rent’, dan ‘New Intake’. Apakah ia akan kurang sambutan jika menggunakan nama ‘Kompleks Pertama’, ‘Kafe Pak Uda’, ‘Kafe Sebenarku’, ‘Emporium Borong Muaz’, ‘Ruang Pejabat untuk Disewa’, dan ‘Pengambilan Baharu’?

Antara contoh saiz bahasa Inggeris lebih besar daripada bahasa Melayu ialah ‘My One Shop’, ‘Madeleine Kindergarten’, dan ‘The Health + Care Shop. Saiz nama ‘Kedai Serbaneka’ untuk ‘My One Shop’, ‘Tadika Madeleine’ (‘Madeleine Kindergarten’, dan ‘Kedai Peralatan Kesihatan’ (‘The Health + Care Shop’) lebih kecil.

Terdapat juga yang berbunyi aneh seperti ‘KL Sentral’ dan ‘Pudu Sentral’ yang bahasa Melayu bukan, bahasa Inggeris pun bukan. Kalau mahu menggunakan bahasa Melayu, sepatutnya ialah ‘Sentral KL’ dan ‘Sentral Pudu’. ‘Sentral’ itu daripada perkataan Inggeris, central yang bermaksud tengah atau pusat. Ia diMelayukan menjadi ‘sentral’.

Justeru, yang sebetulnya ialah ‘Sentral KL’ dan ‘Sentral Pudu’ jika pun tidak mahu menggunakan nama ‘Pusat KL’, dan ‘Pusat Pudu’.

Sepatutnya pihak yang berwewenang seperti pihak berkuasa tempatan mahu/dapat bertindak, atau memiliki/diberikan kuasa menghalang pencemaran bahasa kebangsaan sedemikian. Tidak sepatutnya hal negatif dalam penggunaan bahasa Melayu berlaku.

Tidak bererti selalu menekankan bahawa bahasa Melayu telah diangkat sebagai bahasa kebangsaan jika ia terus lemas dihimpit oleh rakyat yang tidak tahu/tidak mahu mendaulatkannya (menggunakannya dengan betul). Natijahnya, matlamat kerajaan untuk mewujudkan perpaduan kebangsaan tidak akan tercapai.

Impian untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia yang berperibadi sendiri, berjiwa dan memiliki satu bahasa juga tidak akan menjadi kenyataan. Papan tanda perniagaan hanya sebahagian daripada usaha itu, tetapi tetap berperanan besar.

Dalam sebuah wacana bahasa di Rumah PENA tidak lama dahulu, dua daripada tiga orang ahli panelnya turut memberikan pandangan mengenai krisis bahasa Melayu di negara ini. Jamalee Bashah dari The Patriots kesal kerana bahasa Melayu di Malaysia masih menghadapi masalah yang sama. Dengan sikap rakyat yang kelihatan meremehkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Jamalee percaya 50 tahun lagi pun masalah bahasa Melayu tidak akan selesai.

Tegas Jamalee, oleh sebab perjuangan menegakkan bahasa Melayu kini semakin sukar, beliau berharap semua pihak, termasuk pemimpin kerajaan dapat sama-sama memartabatkan bahasa tersebut agar terus mantap sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan.

Dr Muhamad Nadzri Mohamed Noor (pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia) pula kesal kerana bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah kembali menjadi bahasa etnik, iaitu bahasa orang/kaum Melayu sahaja.

Dr Muhamad Nadzri menyetujui pandangan Jamalee bahawa usaha penyatuan rakyat Malaysia boleh lebih mudah menerusi bahasa berbanding yang lain. Bahasa, katanya, seperti kuah kacang yang melazatkan rasa rojak. Rojak dijadikan contoh kerana ia lambang kepelbagaian etnik di negara kita. Kuah kacang yang lazat sebagaimana bahasa (Melayu) yang mantap boleh digunakan oleh semua kaum di Malaysia.

No comments:

Powered by Blogger.