EKONOMI
DEWI Pupuk
Kesedaran Pentingnya Menyimpan Emas Secara Digital
DUA nama
terkenal dalam nyanyian/dakwah dan penyiaran/lakonan tanah air bakal dilantik
sebagai duta dalam usaha menggalakkan masyarakat memiliki emas sebagai aset
masa hadapan.
Penyanyi/pendakwah Da’i Syed dan personaliti televisyen Azrul Zaidi Raja
Lawak diperkenal dalam majlis Pengenalan dan Iftar Bersama-sama Media di Dewan
Acara iFintech Solution Sdn Bhd, Kuala Lumpur pada 27 April lalu.
Majlis tersebut anjuran bersama Dewan Perniagaan Wanita Islam Malaysia
(DEWI), iFintech Solutions Sdn Bhd, iMas Gold Sdn Bhd, dan iGoldaX.
Syed dan Azrul menceritakan serba sedikit pengalaman dan pembabitan
mereka dengan emas sehingga menarik perhatian DEWI, serta disokong oleh iFintech
Solutions Sdn Bhd, iMas Gold Sdn Bhd, iGoldaX, dan Persatuan Rangkaian
Perniagaan yang Teguh (SustNET).
Turut hadir ialah Setiausaha Agung SustNET, Ts Dr Norsaidatul Akmar
Mazelan, dan Pengerusi Kehormat DEWI, Datin Raskidah Ali.
Majlis Pengenalan dan Iftar Bersama-sama Media itu antara lain bertujuan
memperkenal DEWI, projek iGOLDAX, iMAS, dan sustNET; memberi kesedaran kepada
orang ramai berkaitan hal digital, E-wallet, kepentingan menyimpan emas sebagai
aset masa hadapan, serta potensi ekonomi Islam di Malaysia, dan persada
antarabangsa khususnya bidang teknologi digital.
Menurut Azrul, dia sudah lama berminat menyimpan emas dan menyedarinya
boleh menjadi aset penting. Landaan COVID-19 yang banyak menjejaskan sumber
kehidupan, menambah kecaknaannya terhadap barang perhiasan berharga itu.
Jelas Azrul berterus-terang, pada awal Perintah Kawalan Pergerakan ekoran
wabak pandemik tersebut tahun lalu, simpanan emasnya dapat membantu meringankan
sedikit beban akibat kehilangan sumber pendapatan.
Sementara itu, Syed menjelaskan dia membeli emas untuk ibunya yang
tercinta sebagai antara cara membalas jasa, dan pengorbanan wanita tersebut.
Sementelah lelaki Islam tidak boleh memakai emas, tentulah lebih sesuai
ia disimpan ataupun dihadiahkan kepada insan tersayang seperti ibu, dan isteri.
Sebagaimana Azrul, Syed juga bersetuju kaedah dalam talian sekarang yang
semakin rancak boleh membantu menjayakan usaha ini.
Menurut Datin Raskidah atau lebih mesra dipanggil Datin Ras, dalam era
pasca COVID-19 dan juga masa akan datang, ilmu teknologi maklumat (IT) sangat
relevan. Semua orang, kata beliau, perlu mempelajarinya seperti media sosial,
pemasaran dalam talian (online marketing),
blogging, influencing, Youtube, Blockchain, dan aset digital.
DEWI, tambah Datin Ras, memperkasakan para wanita Islam melalui Wanita
Digital (WADI Tijara dan WADI Afiyah).
Jelas beliau lagi, ahli Biro DEWI Remaja yang berumur dari 15 hingga ke
18 tahun berpeluang mendapat pendedahan awal berkenaan perniagaan melalui DEWI.
Mereka akan mempelajari selok-belok perniagaan barang kemas dan
perhiasan, serta memperoleh kesedaran menyimpan emas, dan teknologi digital,
selain menjalani latihan keusahawanan.
Dengan ‘IGOLDAX Jewellers Hub’, mereka akan diberi peluang mempamerkan,
sekali gus mempromosikan barangan kemas, dan ‘jongkong emas; di dalam sebuah
gedung secara percuma.
Antara jenama yang telah berada di gedung berkenaan ialah Suhara Jewel
Art, dan K&EO Jewellery.
Ahli biro tersebut juga dapat bersama-sama dengan Datin Ras menerajui
golongan remaja, terutamanya dalam kempen menangani masalah ‘gangguan & ketagihan
masyarakat’.
Menerusi projek iGOLDAX dan iMAS pula, jelas Dr Norsaidatul, para peniaga
boleh memanfaatkan hub produk perniagaan yang disediakan, di samping boleh
berurus niaga untuk barangan kemas dan perhiasan menerusi platform digital ini.
Katanya, usaha yang dijalankan ini tidak akan menghadapi banyak masalah
kerana sebahagian besar masyarakat sudah menggunakan kemudahan internet.
Hub ini terletak di Wisma Trax, yang beralamat No 1, Jalan 5 off Jalan
Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.
Bersempena dengan Hari Raya Eidulfitri, duit raya digital boleh diberikan
kepada yang berkenaan sewaktu menyambutnya nanti.